Showing posts with label Renungan. Show all posts
Showing posts with label Renungan. Show all posts

Friday, 1 July 2011

PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ





PENGERTIAN ISRA' DAN MI'RAJ
Isra' bererti perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis Palestin. Peristiwa ini ada terakam di dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Israa: ayat 1)
Sementara itu Mi'raj pula merujuk kepada perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjid al-Aqsa ke Sidrat al-Muntaha di langit ketujuh dekat singgahsana Allah Taala sepertimana yang digambarkan oleh Al-Quran. 
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan sesungguhnya (Muhammad) telah melihat (Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) pada waktu yang lain. (iaitu) Sidrat al-Muntaha. Di dekatnya terletak syurga tempat tinggal (Jannat al-Makwa). (Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal) ketika Sidrat al-Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling daripada yang disaksikannya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) TuhanNya yang paling besar. (Surah an-Najm: ayat 13-18)
Dapatlah disimpulkan di sini bahawa peristiwa Isra' Mi'raj adalah sebagai satu perjalanan kilat Nabi Muhammad SAW pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

SEBAB KEPADA ISRA' MI'RAJ
Bulan Rejab iaitu tahun ke-11 dari kerasulan Nabi Muhammad SAW disifatkan oleh ahli sejarah sebagai tahun dukacita bagi baginda berikutan dengan dua musibah yang menimpa baginda secara berturut-turut. Iaitu kehilangan dua insan yang baginda sayangi berikutan kewafatan Khadijah (isteri baginda) dan kemudian disusuli pula dengan pemergian Abu Talib (bapa saudara baginda).

Musibah yang menimpa itu mempunyai pengaruh besar terhadap diri Nabi Muhammad S.A.W. Baginda merasakan ruang untuk pergerakan dakwah di Makkah semakin sempit dan keselamatan diri turut terancam. Keadaan ini mendorong baginda untuk berpindah ke Thaif dengan harapan agar penduduknya menerima seruan dan bersedia membantu perjuangannya. Namun segala harapan baginda hancur kerana penduduk Thaif bukan saja tidak mahu memberi perlindungan kepada baginda malah baginda dicaci dan dihina dan pelbagai lagi.
Nabi Muhammad SAW kembali semula ke Makkah dengan perasaan hampa dan dukacita. Lalu Allah Taala menganugerahkan Isra' Mi'raj yang antara lain bertujuan untuk menghibur dan memantapkan iman Nabi Muhammad SAW. Sebab kepada Isra' Mi'raj ini adalah antara sebab musabab berlakunya peristiwa ini namun semuanya di atas kehendak dan ketetapan dari Allah Taala.
PERJALANAN ISRA' DAN MI'RAJ
Telah disebut pada suatu ketika Nabi Muhammad SAW sedang duduk di tepi Kaabah lalu datanglah malaikat Jibril AS dengan seekor Buraq untuk membawa Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Isra' Mi'raj ini. Dari segi bahasa Buraq bererti kilat cahaya. Ia sejenis makhluk menyerupai haiwan. Saiznya besar sedikit dari khimar dan kecil sedikit dari baghal. Buraq dijadikan oleh Allah Taala dari cahaya. Ia boleh melangkah sejauh mata memandang.
Setelah itu berangkatlah Nabi Muhammad SAW dengan ditemani oleh malaikat Jibril AS menuju ke Bait al-Maqdis dan baginda solat dua rakaat di situ dan menjadi imam kepada para nabi lain. Setelah selesai solat maka Nabi Muhammad SAW telah dihidangkan dua bejana yang mengandungi dua jenis minuman iaitu satu bejana mengandungi susu dan satu bejana lagi mengandungi arak. Setelah itu Nabi Muhammad SAW mengambil bejana yang mengandungi susu dan tindakan baginda memilih bejana mengandungi susu mendapat sanjungan dari Jibril AS kerana menepati fitrah manusia. Kemudian baginda dan Jibril AS meneruskan Mi'raj ke langit pertama hingga ke tujuh.
KEJADIAN SEPANJANG ISRA' MI'RAJ
Di sini Allah Taala memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan dari Allah Taala kepada hamba-hambaNya mengikut apa sahaja perbuatan yang telah dilakukan. Di antara yang kejadian yang diperlihatkan kepada baginda sepanjang Isra' dan Mi'raj adalah:
Baginda melihat orang yang bercucuk tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Inilah gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah Taala.
Baginda mencium bau yang amat wangi dari kubur Masyitah. Ceritanya: Sedang Masyitah menyikat rambut anak Firaun maka sikat yang digunakan itu terjatuh lalu Masyitah menyebut: Dengan nama Allah. Bertanyalah anak Firaun kepada Masyitah tentang tuhan selain bapanya. Masyitah menjawab: Tuhanku dan tuhan bapa kamu adalah Allah. Anak Firaun memberitahu bapanya akan hal ini lalu Masyitah diugut oleh Firaun supaya kembali ke agama asalnya. Masyitah enggan dan tetap dengan pendiriannya. Lalu Firaun mencampakkan seorang demi seorang anaknya ke dalam air yang mendidih sehingga tiba giliran anak terakhirnya yang sedang disusui olehnya. Masyitah merasa sangat bimbang dan kesian akan anak kecilnya itu lalu Masyitah cuba melengah-lengahkan masa. Dengan kuasa Allah Taala maka bayi tersebut dapat berkata-kata lalu menyebut: Wahai ibuku! Sesungguhnya azab akhirat itu jauh lebih pedih dari azab dunia maka usahlah ibu menjauh-jauhkan diri kerana ibu di pihak yang benar. Lalu Masyitah melepaskan bayinya dan Firaun dengan segera mencampakkan bayi itu ke dalam didihan air. Masyitah berkata: Aku mempunyai permintaan iaitu supaya engkau (Firaun) mengumpulkan semua tulang dan menanamnya. Firaun berkata: Aku akan melakukannya. Lantas Firaun pun mencampakkan Masyitah ke dalam air didihan itu.
Baginda melihat sekumpulan manusia berpakaian compang-camping sambil memakan sampah-sarap serta rumput. Itulah gambaran golongan manusia yang enggan mengeluarkan zakat dan tidak bersedekah kerana sayangkan harta yang dimiliki.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang mempunyai perut yang besar sehingga tidak terdaya lagi untuk bangun dan berdiri. Inilah gambaran manusia yang memakan hasil daripada perbuatan riba.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang asyik memakan daging mentah dan busuk sedangkan di sisi mereka juga terdapat daging yang telah dimasak dan berkeadaan baik. Inilah gambaran manusia yang telah melakukan zina dalam hidup mereka sedangkan mereka sudah pun mempunyai isteri yang telah dikahwini secara sah.
Baginda turut melihat sekumpulan manusia yang sedang memecahkan kepalanya sendiri. Inilah gambaran manusia yang terlalu sibuk dengan hal-hal keduniaan sehingga lalai menunaikan kewajipan bersolat.
Baginda melihat sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri secara berterusan. Inilah gambaran manusia yang dalam hidup mereka suka menabur fitnah dan berbohong apabila berkata-kata.
Baginda melihat wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Inilah gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.
Baginda melihat wanita tergantung pada rambutnya serta otaknya menggelegak dalam periuk. Inilah gambaran balasan wanita yang tidak menutup auratnya.
Baginda melihat wanita berkepala seperti babi dan badannya seperti kaldai dan menerima berbagai-bagai balasan. Inilah gambaran wanita yang suka membuat fitnah dan bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.
DIFARDHUKAN SOLAT LIMA WAKTU
Daripada pelbagai kejadian yang disaksikan sendiri oleh Rasulullah SAW ini ada suatu hal yang amat besar dan penting yang melibatkan proses peribadatan umatnya iaitu perintah Allah Taala agar melakukan ibadat solat fardu.
Sewaktu tiba di Sidrat al-Muntaha maka Rasulullah SAW telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam. Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Jibril A.S. bersiap sedia untuk turun ke bumi.
Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa AS yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad SAW maka Nabi Musa AS berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.
Nabi Muhammad SAW dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa AS kemudiannya maka Nabi Musa AS meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad SAW berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.
Apabila kembali semula maka Nabi Musa AS masih merasakan umat Nabi Muhammad SAW masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 itu. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk memintaNya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala.
PERTIKAIAN KAFIR QURAISY
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Isra' Mi'raj yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsra' dan diMi'rajkan oleh Allah Taala. Sekalipun peristiwa Isra' Mi'raj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah Taala Yang Maha Berkuasa maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagiNya.

Kalaulah peristiwa Isra' Mi'raj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad SAW pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit tujuh maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Isra' Mi'raj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad SAW ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsra' dan diMi'rajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Ini kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa dan tidak menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.
Sekiranya Nabi Muhammad SAW itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.
Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad SAW kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad SAW sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad SAW adalah seorang ahli sihir.
Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd SAW tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Jibril AS untuk menunaikan solat dua rakaat. Bagaimanapun Allah Taala tidak akan membiarkan RasulNya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala datangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad SAW. Justeru itu Nabi Muhammad SAW dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.
Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.

PENGAJARAN
Dari segala apa yang telah dinyatakan ini maka sudah tentulah pelbagai pengajaran dapat diambil dari peristiwa Isra' Mi'raj ini. Ia bukanlah hanya sekadar cerita untuk didengar dan dibaca semata-mata namun jauh dari itu ia dapat dijadikan pedoman hidup selama kita di dunia ini. Semoga kita semua mendapat manfaat dari tulisan ringkas ini. InsyaAllah.

Friday, 3 June 2011

kemerdekaan negara mengilas sejarah

Kemerdekaan adalah nikmat yang paling tuntas yang dianugerahkan oleh Ilahi kepada setiap makhluk kerana secara dasarnya setiap dari kita dilahirkan untuk menghirup udara segar kemerdekaan, tidak dipasung akal dan jasad, serta tidak memperhambakan diri kepada makhluk selain daripada Allah S.W.T. Kemerdekaan adalah amanah yang perlu dipertahankan kerana penjajahan mampu berulang malah boleh menyerkap manusia dengan penjajahan dalam versi baru tanpa kita sedari.
Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kemerdekaan sebenar dalam Islam adalah merdeka dari sudut fizikal dan spiritual, iaitu tidak membenarkan manusia menghambakan diri sesama manusia, ini jelas menunjukkan Islam berbeza dengan ideologi-ideologi lain. Islam juga tidak membenarkan umatnya menjajah manusia lain kerana Islam lebih mementingkan keluhuran, berdisplin dan pemurah. Perkara ini dapat dilihat melalui usaha-usaha Rasulullah S.A.W, membebaskan manusia dari segala bentuk kejahilan dalam amalan kehidupan seharian
Di Tanah Air tercinta ini, denai sejarah telah merakamkan perjuangan suci para ulama membentengi aqidah umat Islam semenjak Negara kita menerima pengaruh Islam pada abad ke-13. Ulama kita yang berkubu di Pusat-pusat Pengajian Islam telah memancar kekuatan kepada umat Islam bagi berhadapan dengan serangan pemikiran ‘ghazwatul fikri’ penjajah Barat. Dalam cerminan sejarah ini, tersuluh kehabatan Tuan Guru Haji Hassan bin Munas ( Tok Janggut ) yang bangkit bermandi darah di Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 1915. Di Terengganu pula, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong telah memimpin kebangkitan ummah, menentang kemaraan penjajah British yang cuba memijak kemuliaan Syariat Islam.
Sejarah telah membuktikan perjuangan para alim ulama’ memikul beban amanah yang di tinggalkan oleh Rasulullah S.A.W , untuk meninggikan Islam di atas semua kepercayaan dalam menggalas perjuangan menentang penjajah samada Barat atau Timur. Penjajahan Barat penuh dengan palitan noda hitam yang bernuansakan penyebaran ajaran Kristian tidak dibiarkan percuma oleh para alim ulama’ di setiap inci bumi umat Islam. Mereka telah bangkit dengan gagah meniupkan api perjuangan kepada umat yang sedang lena diulit mimpi. Para ulama’ yang dianugerahkan dengan ilmu benar dari Allah S.W.T telah mencetuskan kesedaran untuk membebaskan diri dari penjajah jauh lebih awal daripada kelompok nasionalis sekular yang telah merampas buah kemenangan dari alim ulama’. Malah hari ini mendabit dada dengan seluruh kepungan media bahawa merekalah pembebas Tanah Air dari belenggu penjajah. Sedangkan sebahagian alim ulama’ ini telah menjadi korban penjajah samada syahid di tali gantung seperti Sheikh Umar Mukhtar atau di penjarakan tanpa perbicaraan seperti Ustaz Abu Bakar Al Baqir,malah di buang negeri seperti Imam Diponegoro, Uthman Den Fodio dan Tuan Guru Abdul Rahman Limbong. Malangnya hari ini, paparan sejarah skrin telah memadamkan kebaktiaan mereka dan generasi muda dipaksa menerima versi sejarah baru bahawa kemerdekaan Tanah Air telah diperjuangkan oleh golongan elit sekular yang sememangnya menjadi anak asuhan penjajah.
Rentetan sejarah diatas, maka PAS yang ditubuhkan pada 1951 oleh para alim ulama’ dan guru-guru agama yang tegas memperjuangkan kemerdekaan juga turut dipadam oleh sejarah citra dan nuansa ini dari catitan sejarah. Sebahagian dari pimpinannya telah mendekam dalam penjara British seperti Dr Burhanuddin Al Helmy, Khaijah Sidek dan lain-lain.
Pada hari ini, kita dapat melihat pelbagai penyakit dan musibah kepada umat Melayu Islam di sebabkan golongan pemerintah yang berkiblatkan Barat sekular menafikan pegorbanan dan perjuangan para alim ulama’ dalam mempertahankan Islam serta memerdekakan Tanah Air. Akibat dari tindakan golongan pemerintah sekular, kita dapat melihat fakta-fakta kes kerosakan umat yang tidak putus-putus menimpa kita semua. Disini dinyatakan beberapa fakta kes yang menjadi bukti kepada kita semua.
Di antara 1997-1999, jumlah kes rogol yang melibatkan orang Melayu ialah 859 kes (1997), 946 kes (1998) dan 949 kes (1999). Dikalangan orang Cina ialah 146 kes (1997), 160 kes (1998), dan 154 kes (1999). Orang India mencatatkan 95 kes (1997), 106 kes (1998), dan 82 kes (1999). Pada 1992, bilangan mak nyah atau pondan Melayu ialah sebanyak 77.5%, India 10.84%, Cina 8.33% dan lain-lain ialah 33.3% (Majalah Umi,Julai 1993).
Bermula 1991 hingga Mac 1994 kes juvana yang di catatkan berjumlah 9505 kes. Daripada jumlah itu sebanyak 5477 kes melibatkan lelaki Melayu yang ditahan di Pusat Pemulihan manakala bagi remaja perempuan Melayu juga mencatatkan jumlah kes yang paling ramai berbanding kaum-kaum yang lain Bilangan penduduk Malaysia yang terlibat dalam penagihan dadah ialah sekitar 500 ribu orang. Remaja Melayu yang dikatakan terlibat dengan kegiatan penagihan dadah adalah dianggarkan seramai 350 ribu orang, atau 70% (Sunday Mail, 6/2/94), (Utusan Malaysia 10/2/96), (Berita Harian, 8/4/96) dan (New Straits Times, 11/7/96). Anggaran perbelanjaan untuk dadah di kalangan penagih Melayu setiap bulan ialah RM105 juta dengan purata RM10 sehari. Ini bermakna dalam tempoh setahun wang yang di belanjakan untuk dadah ialah RM1.26 billion, (Sunday Mail, 6/2/94), (Utusan Malaysia, 10/2/96), (Berita Harian, 8/4/96) dan (New Straits Times, 11/7/96).
Ini berdasarkan fakta terdahulu, namun secara rasionalnya peningkatan kes semestinya meningkat dari masa ke masa yang tidak boleh dinafikan oleh semua pihak. Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Malaysia perlu kembali kepada hakikat perjuangan kemerdekaan yang telah diperjuangkan para ulama’ untuk mencapai kemerdekaan yang hakiki, kerana para ulama’ yang telah berjuang bermati-matian untuk mempertahankan tanah air serta membebaskan belenggu pemikiran dari kuasa penjajah. Maka menjadi kewajipan dan kemestian rakyat malaysia untuk bersama-sama kembali menjulang panji perjuangan para alim ulama’ dengan memberikan sokongan sepenuhnya kepada Parti Islam Semalaysia (PAS), yang secara jelas memperjuangkan kemerdekaan sepertimana rentetan awal yang dipelopori oleh para alim ulama’. Bukan sahaja untuk umat Islam, bahkan seluruh umat manusia dapat merasai kenikmatan berada di bawah pimpinan sistem kehidupan Islam yang sempurna

Monday, 17 January 2011

..Silent of Nowhere...



Beberapa kali dalam sebuah renungan 'admin' menasihati diri sendiri dengan kalimat ini; ali, embun itu datang bukan untuk membasahi, tetapi untuk menyejukkan. Nasihat ini muncul setiap kali 'admin' terjebak dalam ruang peristiwa yang begitu jauh perbezaan antara harapan dan kenyataan. Atau ketika memori-memori masa lalu muncul meminta kembali untuk dinikmati dengan kata-kata "andaikan", "kalau saja", "seandainya" atau  apapun yang membuat kita berimaginasi pada kenyataan-kenyataan lain yang mungkin kita harapkan seharusnya terjadi. Kenyataan yang sepatutnya tak jauh dari harapan.

Dengan nasihat tadi, 'admin' ingin kembali membawa kesedaran untuk menyelami peristiwa yang ada di depan mata, kerana boleh jadi peristiwa itu sejatinya memiliki makna yang tak berbeza dengan harapan meskipun penampakannya jauh dari harapan. Tetapi 'admin' juga mahfum jika nasihat renungan tadi dapat dianggap sebagai dalih dari ketidakmampuan mendapatkan kenyataan sesuai dengan harapan. Namun bukankah mampu, tidak mampu, tidak melulu bergantung pada upaya 'admin', kerana ketika 'admin' meyakini ada kekuatan "prima kausa" yang selalu menyelimuti hidup manusia, maka sesungguhnya ada senario-senario hidup yang sudah ditetapkan dan akan berjalan.

Maafkan jika tulisan ini seperti tidak jelas pangkalnya dari mana dan hujungnya mahu kemana. 'Admin' hanya ingin menulis saja apa yang ada dibenak. Mungkin akhir-akhir ini, diri 'admin' tengah dihadapkan oleh kejadian-kejadian yang mengaduk-aduk logika dan rasa. dan hampir kesemua kejadian itu hakikatnya hanyalah "pertempuran" antara harapan dan kenyataan. Kadang kenyataan sama dengan harapan, atau satu kali kenyataan lebih besar dari harapan, tetapi seringkali kenyataan lebih kecil dari harapan.

Nasihat renungan tadi mungkin ingin mengingatkan bahawa kenyataan boleh jadi penampakannya lebih kecil dari harapan, tetapi boleh jadi ia sama dengan harapan atau bahkan lebih besar dari yang diharapkan, yaitu ketika kita memandang dari perspektif yang berbeza, dari perspektif yang tidak sama dengan perspektif ketika pertama kali kita menetapkan harapan. wallahu a'lam
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...