Showing posts with label Pemikiran. Show all posts
Showing posts with label Pemikiran. Show all posts

Sunday, 10 July 2011

Kuasa Politik dan Kuasa Agama


 Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata :
Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini…
Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?
Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila ‘iman rakyat’ dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan ‘Tuhan’atau ‘pegangan agama’ adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.
Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai ‘tuhan’ atau ‘jelmaan Tuhan’ adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai ‘iman rakyat’.
Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau‘Tuhan’, tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.
Orang Agama
Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian ‘penguasaan politik’ atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.
Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang ‘senior’ tidak mahu memberi laluan kepada ‘imam junior’ di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun ‘pengaruh politik agama’ amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?
Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana ‘kemaruk kuasa’ seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka. Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):
“Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).
Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.
Perkongsian dan pertarungan kuasa
Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.
Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.
Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.
Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.
Islam Dan Pemerintah
Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.
Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teks al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.
Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya)
“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).
Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).
Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara ‘membabi buta’ (blind imitation). Antaranya, sabda Nabi s.a.w:
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Islam dan ulama
Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-’Araf ayat 75-76.
Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman. Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran:
“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)”. Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).
Pemerintah dan ulama
Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu. Sabda Nabi s.a.w:
“Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah”. (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).
Inilah Perbezaannya…
Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.
Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!
Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan ‘tidak boleh mengkritik mufti’ atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan ‘tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!
Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan ‘panel kurang selesa’ atau ‘panel agama merasa keliru’ maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!
Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama ‘adat menyembah raja sehingga merangkak’ direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan ‘sambungan jawatan’! Demikianlah seterusnya..
Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama ‘pintar dan putar’ antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku…

Saturday, 26 March 2011

Jangan Robohkan Doktrin Wala', Taat dan Thiqah Dalam PAS

Ustaz Idris Ahmad

Wala’, taat, thiqah adalah kalimah yang begitu popular dalam gerakan Islam seperti Pas. Doktrin inilah yang menjadikan asas dan tiang kepada perjuangan Pas sehingga mampu bertahan sampai hari ini.

Setiap ahli Pas sudah berbai’ah ketika mengisi borang ahli Pas. Walaupun ada pemimpin yang cabut lari, ahli tetap bersama dengan roda putaran Pas. Mereka tetap dengan Pas, kerana mereka taat selagi pemimpin tidak menyelewing dengan menyertai pihak musuh.

Mereka sudah diajar oleh baginda nabi SAW ketika melakukan Baiat al-Aqabah yang terkenal sebelum baginda berhijrah. Rasulullah s.a.w bersabda Maksudnya,

“Berbaiahlah kepadaku di atas ketaatan dan mendengar (perintah) di atas cergas dan malas, bersedia bernafkah (memberi sumbangan harta benda) di masa susah dan senang, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, bangun untuk menegakkan agama Allah swt tanpa mengendahkan celaan orang yang mencela, dan kamu berbaiah untuk menolongku apabila aku tiba ke negeri kamu dan mempertahankan aku apa yang kamu lakukan untuk mempertahankan diri kamu sendiri, isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu, jadi untuk kamu ialah balasan syurga”.

Hebat macam mana seorang pemimpin kalau ia telah keluar dari Pas ia tidak akan ditaati. Contoh yang boleh kita lihat Datuk Asri haji Muda orang yang hebat ketika itu dengan kelicikan berpolitik dan seorang pidato yang ulung di negara ini. Tetapi apabila beliau keluar daripada Pas maka ia menjadi melukut di tepi gantang.

Apakah kita hendak kata bodoh kepada ahli Pas yang wala’ kepada arahan pimpinan apabila calon yang bertanding di kawasan itu bukan calon Pas. Walaupun peringkat jentera parti bermatian mahu calon Pas yang bertanding. Tetapi kepimpinan tetap juga hendak meletakkan calon di kalangan rakan Pakatan Rakyat (dulunya Barisan Alternatif).

Walaupun peringkat akar umbi tahu bahawa kekuatan jentera dan ahli di tangan Pas. Tetapi apabila keputusan sudah dibuat maka ia dipatuhi oleh ahli Pas. Mereka bertungkus lumus untuk memastikan calon rakan menang. Semuanya ini adalah contoh wala dan thiqah kepada pemimpin.

Dalam berjamaah mana ada keputusan yang diputuskan oleh jamaah semuanya ahli bersetuju. Kalau hendak tunggu semuanya bersetuju maka tidak akan bertemu keputusan.

Sama seperti dalam syarikat mana ada keputusan yang 100% di setujui oleh ahli mesyuarat. Hatta di zaman nabi SAW pun apabila keputusan diputuskan oleh nabi SAW ada yang tidak berpuas hati contohnya, peristiwa pembahagian ghanimah selepas daripada peperangan Hunaian.

Rasulullah saw telah berkenan untuk menyerahkan ghanimah kepada orang Quraisy yang baru memeluk Islam. Tindakan ini telah menyebabkan kaum Ansar kurang senang dan ada antara mereka mengatakan;

“Semoga Allah mengampuni Rasul-Nya, dia memberi Quraisy dan membiarkan kita padahal pedang-pedang kita masih menitiskan darah mereka”

Rasulullah saw mendengar berita tersebut dan baginda mengumpul kaum Ansar dan bersabda;

“Hai kaum Ansar, aku telah mendengar perkataan kamu! Bukankah ketika aku datang kamu masih dalam keadaan sesat kemudian Allah memberikan hidayah kepada kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu saling bermusuhan kemudian Allah menyatukan hati kamu dengan perantaraan aku? Bukankah ketika itu kamu masih hidup menderita kemudian Allah mencukupkan kamu dengan perantaraan aku?”

Setiap kali Rasulullah saw bertanya, mereka menjawab,

“Benar! Sesungguhnya Allah dan RasulNya lebih pemurah dan utama”.

Rasulullah saw meneruskan,

“Hai kaum Ansar, apakah kerana kamu marah kerana tidak menerima sampah dunia yang tiada nilainya? Dengan “sampah” itu aku hendak menjinakkan suatu kaum yang baru sahaja memeluk Islam sedangkan kamu semua telah lama Islam. Hai kaum Ansar, apakah kamu tidak puas melihat orang membawa pulang kambing dan unta sedangkan kamu pulang membawa Rasulullah saw? Demi Allah, apa yang kamu bawa pulang adalah lebih baik dari apa yang mereka bawa.”

Ini berlaku di zaman nabi SAW yang masih menjadi contoh yang hjidup pada ketika itu. Maka apalah sangat di zaman kini yang semakin jauih daripada contoh nabi SAW.

Kerana itulah perjuangan Pas memastikan keimanan sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjuangan Pas yang dapat membentuk jiwa dan roh yang hidup dengan sinar islam. Kerana dalam perjuangan yang panjang dan jauh pasti akan hanya mendatangkan keletihan bagi jiwa-jiwa yang tidur dan lemah, kosong daripada nilai keimanan.

Namun diyakini, jiwa yang hidup dan tersinar darinya pancaran Islam yang tidak putus pasti akan dapat mendatangkan kekuatan yang akan memastikan setiap ahli itu akan terus berada di dalam jalan juang yang panjang dan jauh ini. Dalam medan pertempuran kita menghadapi musuh, kita memerlukan persiapan dari pelbagai segi: bilangan yang cukup, keperluan yang lengkap dan kesediaan fizikal yang mantap. Namun jangan kita lupa akan persiapan dasar yang paling utama iaitu ketaqwaan dan keimanan.

Maka jangan kita abaikan bekalan paling utama dalam perjuangan kita iaitu tarbiyah ketuhanan. Kerana ini adalah pendorong yang dijanjikan jaminan kejayaan oleh Allah sebagaimana firmannya:

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebajikan” (An-Nahl:128)

“Katakanlah: Semuanya (datang) adalah dari sisi Allah” (An-Nisaa:78)

Kalau pemimpin tidak ikhlas mereka akan lari, kerana Pas bukan sesuai untuk orang jahat. Jangan pula kita menuduh bahawa wala’ , thiqah ini candu dalam Pas untuk membolehkan pemimpin melalikan pengikut.

Ini satu tuduhan yang berat. Perlu disedari kebanyakan ahli Pas ini mereka juga pemimpin, sekurang-kurangnya pemimpin di peringkat cawangan atau lajnah Kalau kita tidak taat nanti orang pula tidak taat kepada kita, akhirnya yang hancur ialah Pas, yang ketawa ialah umno BN Walaupun kita marah kepada pemimpin tetapi jangan kita merobohkan “Intitusi” wala’ taat dan thiqah.

Kita boleh melahirkan rasa tidak puas hati kepada jamaah di majlis yang sepatutnya, tetapi bukan dalam blog. Menceritakan keaiban parti dalam blog sama seperti mendedahkan keaiban suami isteri kepada musuh dan musuh akan adu domba supaya ia menceraikan isteri dan dia akan berkahwin dengan bekas jandanya.

Faedah Taat, wala’ dan thiqah -Ahli dapat menunai tugas mengikut arahan parti supaya tidak menyalahi strategi parti

* Pas mampu mengerahkan ahli untuk turun demo yang besar seperti BERSIH, Mansuh ISA, PPSMI
* Pas mampu mengerahkan tenaga dalam setiap kali pilihanraya tanpa diupah -Supaya tidak timbul jamaah dalam jamaah.
* Dapat bertindak secara jama’i bukan individu. -Supaya kesannya terasa kepada jamaah dan masyarakat kerana ia dilakukan oleh parti.
* Seandainya berlaku kegagalan ia tanggung oleh jamaah bukan oleh individu.
* Dapat mengimbangkan di antara sikap yang berbagai-bagai di dalam parti, kerana ada orang yang keterlaluan, ada orang yang lambat dan ada yang sederhana.

Sejarah membuktikan mereka tidak taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah akhirnya menyertai umno. Teringatkah kita tokoh-tokoh seperti ustaz Mohd Nor Idris, ustaz Mustafa Taib, Wan Ismail Machang yang lantang mengkritik Pas dan pemimpin kerana bertahalluf dengan Parti Semangat 46 kerana parti ini adalah warisan umno. Akhirnya mereka bersama dengan umno apabila Pas berpisah dengan parti Semangat 46.

Adakah mampu Pas untuk melakukan demikian kalau kita cuba memusnahkan “institusi doktrin” yang sudah lama dibina. Umno gagal meroboh daripada luar, jangan pula kita sendiri yang hendak membantu merobohkan. Umno gagal hendak membina doktrin ini, mereka hanya boleh hidup dan bernafas dengan wang dan kuasa sahaja. Umno tidak ada wala’, taat dan thiqah, tetapi Pas ada perkara ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...