Sunday 3 April 2011

FIQH DAKWAH : SATU PEMAHAMAN

 

MUQADDIMAH

( Surah Yusuf ayat 108 )

                Medan dakwah merupakan satu lapangan yang luas selari dengan objek dakwah yang dibawa oleh para rasul iaitu agama Islam. Justeru itu para duat selaku juru dakwah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dalam rangka menyalur dan menyampaikan risalah dakwah dengan lebih terarah dan terencana. Oleh itu pemahaman yang mendalam dan mendasar mengenai “Fiqh Dakwah” adalah perlu agar penyebarluasan risalah ini mencapai tahap yang maksimum.

1. PEMAHAMAN FIQH DAKWAH
                Fiqh dakwah merupakan cantuman dua rangkaikata iaitu Fiqh dan Dakwah. Setiap kalimah mempunyai maknanya tersendiri.

FIQH          : Mengetahui (tahu) dan memahami (faham).
DAKWAH  : Seruan kepada sesuatu iaitu galakkan melakukan sesuatu.

                Dakwah  ilallah : Seruan kepada beriman kepada Allah Taala dan beriman dengan apa yang dibawa oleh para rasul dengan membenarkan segala perkhabaran yang dibawa, patuh dan tunduk dengan segala titah perintah Allah Taala dan meninggalkan segala larangannya, justeru agama Islam merupakan agama penamat, syumul dan lengkap.
                Ini bermakna dakwah ilallah ialah seruan untuk tunduk dan patuh kepada agama Islam secara keseluruhannya  (total). Meyakini Islam adalah agama yang benar, yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad  s.a.w yang diwahyukan oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya : (Surah Fussilat : 43)

Maksudnya : Yang tidak datang kepadanya (Al Quran) kebatilan baik dari depan dan belakangnya, yang diturunkan dari Allah yang maha bijaksana lagi maha terpuji.

                Fiqh Dakwah merupakan satu proses pemahaman secara mendalam dan mendasar terhadap sejarah dakwah, sebab-sebab dakwah dijalankan, rukun-rukun dakwah, matlamat dan tujuan dakwah, uslub dan method yang digunakan, wasilah yang dipraktikkan dan kesan rangka tuju dakwah tersebut.
                Pemahaman yang jelas dan mendasar mengenai Fiqh Dakwah ini memungkinkan juru daie mempersiap siagakan diri dengan ‘senjata’ yang mampan, keupayaan diri, kemampuan mengutarakan bukti dan hujjah untuk berhadapan dengan mad’u yang pelbagai, suasana dan iklim yang berbeza, bangsa keturunan dan bahasa yang berbeza.
                Justeru itu perkara-perkara di atas wajib dikuasai bagi siapa yang mahu menjadi kemudi risalah, pengikut baginda Rasulullah s.a.w. Lantaran itu, ia menjadi satu kewajiban yang tertanggung di bahu manusia selagi ia bergelar muslim, merealisasikan tugas tersebut berdasarkan kemampuan dan keupayaan.

2. KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN DAKWAH
                Sesungguhnya kewajipan menyampaikan dakwah Islamiah merupakan satu tuntutan secara syar’ie. Kewajipan ini tertanggung di atas bahu umat Islam tidak mengira tua atau muda, lelaki mahupun perempuan, kecil atau besar, samada pemerintah atau rakyat jelata secara khususiah atau umum. Tuntutan ini mesti direalisasikan mengikut kadar keupayaan diri, berdasarkan kemampuan tenaga dan darjah kemantapan iman serta rasa sensitiviti terhadap realiti umat Islam di samping iklim persekitaran masyarakat yang dilingkunginya.
                Ini jelas berdasarkan firman Allah di dalam Surah At Taubah ayat 71.


                Islam juga menjelaskan kaedah penyebarluasan dakwah ini adalah merangkumi semua golongan muslimin.     ( Surah Ali Imran : 110 )


               
Di dalam ayat di atas para ulama’ menjelaskan ibarat merangkumi seluruh umat muslimin tidak mengira jenis keturunan, bahasa, budaya, warna kulit dan bangsa. Kesemuanya adalah sama menerima tuntutan tersebut. Tidak syak lagi di sana terdapat banyak nas dari Al Quran dan As Sunnah yang menjelaskan kewajipan menyampaikan risalah dakwah Islamiah secara qat’ie (dalil qat’ie). Nas Al Quran : (Surah Ali Imran : 104)



                Di dalam ayat di atas pada kalimah (ولتكن) adalah menunjukkan kata perintah dan perintah untuk melakukan sesuatu menurut kaedah usul adalah suatu yang wajib dilakukan. Ibarat di dalam ayat yang dimaksudkan daripadanya adalah sekelompok atau segolongan daripada ulamak dan du’at yang bertugas untuk menyeru amar ma’ruf dan mencegah amal mungkar dan menjaga pandangan umum di setiap rantau dan ceruk mujtamak Islam sekalipun kewajipan tersebut pada asalnya tertumpu kepada setiap individu daripada umat Islam mengikut kadar kemampuan, persediaan dan momentum iman.
                Ibnu Katsir di dalam mentafsirkan ayat di atas menyatakan perlunya satu kelompok di kalangan umat Islam memikul tugas mencegah kemungkaran dan menyeru kepada ma’ruf sekalipun tugas tersebut terbeban kepada setiap individu muslim, setiap daripada mereka melaksanakan tugas tersebut mengikut keupayaan mereka
Di dalam hadis rasul, apakah yang dimaksudkan dengan taat dan wala’ dan juga ibarat ini. Bukankah ia bermakna setiap individu yang berintima’ dengan jemaah muslimin mesti memberi janji setia dan patuh taat kepada ketua/amir? Anggota mesti mendengar dan patuh kepada setiap arahan di dalam keadaan senang ataupun susah dan tidak sekali-kali bertindak keluar dari jemaah kecuali arahan yang dikeluarkan berbentuk maksiat atau menyeru kepada kekufuran. Justeru ia menyatakan kebenaran di mana sahaja ia berada tanpa menghiraukan celaan dan kejian melainkan hanya takut kepada Allah.
Jelasnya, kewajipan menyampaikan risalah dakwah Islamiah ke serata pelusuk rantau adalah satu tuntutan sebagaimana wajibnya beriltizam terhadap jemaah Islam di atas dasar wajibnya memberi peringatan kepada manusia.



3. SEBAB DAKWAH
                Sebab ialah setiap sesuatu yang terhasil daripadanya kesan atau perubahan ataupun pergerakan. Dengan erti kata lain ia merupakan satu hal keadaan yang didahului dengan hajat atau keperluan iaitu samada peristiwa, perubahan atau pergerakan. Sebagaimana yang kita ketahui sesuatu keputusan yang berlaku dihukumkan dengan sebab dan diikat dengan logikal akal. Asbab dakwah terbahagi kepada dua :
1.          Terbit daripada akidah yang mantap dan nas agama.
2.          Pemahaman yang sahih mengenai dakwah berdasarkan akidah.

1.       Sebab yang pertama ( Terbit Daripada Akidah yang Mantap)
a)       Tuntutan pengabdian manusia hanya kepada Allah.
Allah s.w.t menuntut manusia dan jin supaya meletakkan ubudiah hanya kepadanya tanpa ada unsur pensyirikannya. Allah s.w.t tidak meninggalkan tuntutan tersebut begitu sahaja tetapi Allah s.w.t mengutuskan kepada manusia para rasul untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang berupa suruhan dan larangan untuk disampaikan kepada manusia.
               Di antara tugas tersebut ialah menunjukkan akal manusia kepada mengenal Allah s.w.t samada zat, sifat dan nama, mengajar manusia perkara-perkara ghaib, menjelaskan perkara-perkara halal dan haram guna untuk kesempurnaan hidup, menjelaskan konsep ukhuwwah di dalam kehidupan dan mendidik diri serta akhlak yang baik.
               Tugas tersebut dijelaskan dengan firman Allah Taala di dalam Surah Az Zariat ayat 56-57 :


b)       Tuntutan bertaaruf / kenal mengenal.
Sesungguhnya Allah s.w.t menghendaki manusia agar bertaaruf di antara satu sama lain untuk melengkapkan konsep kemasyarakatan dalam bentuk yang lebih berfaedah dan bermakna, iaitu konsep faham memahami, tolong menolong, ziarah menziarahi yang akan membangkitkan suasana harmonis di dalam kelompok masyarakat. Firman Allah Taala : (Surah Al Hujrat : 13)



Nas tersebut menjelaskan :
1.                 Allah Taala telah menjadikan manusia daripada asal yang satu iaitu Adam ‘Alaihissalam dan Hawa.
2.                 Fitrah kejadian manusia adalah berhajatkan kepada persaudaraan iaitu memerlukan orang lain semenjak tarikh kemanusiaan yang awal iaitu Adam ‘Alaihissalam.
3.                 Taaruf merupakan maslahat kepada manusia dalam pola kehidupan masyarakat.

c)       Tuntutan menjadi khalifah di muka bumi dan megimarahkannya.
Allah s.w.t telah melantik manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Justeru terbeban kepada mereka tanggungjawab dan kewajipan mengimarahkan bumi dan seisinya dengan melaksanakan garis panduan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t yang berupa syariat dan perundangan Islam.
Firman Allah Taala : (Surah An Nur : 55) dan (Surah Hud : 61)

Nas di atas menerangkan  :
‌أ.                     Allah s.w.t telah menjanjikan kepada orang mukmin untuk menjadikan mereka ‘khalifah’ di muka bumi sebagaimana sebelumnya Allah telah melantik orang-orang mukmin dan mereka yang beramal soleh.
‌ب.                  Allah s.w.t menegaskan akan menegakkan bagi mereka agama yang diredhoi olehnya.
‌ج.                   Tuntutan mengimarahkan muka bumi.

2.       Sebab Yang Menuntut Kefahaman Mengenai Dakwah Dengan Pemahaman Yang Sahih Berdasarkan Akidah dan Agama.

Kefahaman yang sahih terhadap akidah dan agama adalah bertitik tolak atau terbit daripada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah s.a.w, merangkumi skop yang menyeluruh daripada keduanya samada dari sudut ilmu, penafsiran dan penjelasan daripada keduanya.
Kefahaman yang jelas terhadap akidah dan agama ini berdiri di atas asas dan rukun yang melingkari individu muslim tersebut sejak zaman berzaman. Asas dan rukun tersebut adalah :

2.1 Sesungguhnya umat Islam keseluruhannya adalah umat yang satu dalam konteks akidah, ibadah, muamalah dan akhlak. Kesatuan yang terbina ini merentasi sempadan daerah dan tempat, warna kulit dan bangsa, budaya dan bahasa. Di atas faktor yang berlaku konsep dakwah perlu dimainkan kembali untuk mengikat kesatuan yang sedia ada.

2.2 Fenomena yang melingkari umat Islam dengan perspektif kehidupan yang berbeza dari aspek pemerintah, kemasyarakatan, keintelektualan, dan sosio ekonomi dalam konteks bernegara menyebabkan mereka terhalang untuk meletakkan syariat Islam sebagai perundangan yang tertinggi. Ini mengakibatkan berlakunya pelbagai masalah dan kezaliman lantaran mereka jauh daripada perundangan yang sebenar. Kesannya gejala kerosakan dan kebejadan semakin bertambah, begitu juga perpecahan dan kemunduran.

2.3 Sesungguhnya umat Islam dituntut untuk beramal mengikut kemampuan yang ada dengan berpandu arah oleh Al Quran dan Sunnah. Justeru itu ia menuntut untuk merubah suasana yang tidak baik yang berlaku di dalam kehidupan masyarakat sekitarnya dengan uslub yang dibenarkan oleh Islam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...