Sunday 3 April 2011

FIQH DAKWAH : SATU PEMAHAMAN 2


4. RUKUN DAKWAH
                Sejajar dengan konsep dakwah iaitu seruan kepada agama Islam selaku penamat yang dibawa oleh junjungan besar Muhammad s.a.w, yang merupakan wahyu daripada Allah s.w.t. Ia selari dengan apa yang dijelaskan oleh Al Quran dan Sunnah Nabawiyyah dengan skop perbincangan yang luas yang merangkumi peristiwa-peristiwa yang terjadi kepada Rasulullah dan sirah perjalanannya yang panjang, maka rukun dakwah yang terbina adalah diasaskan di atas dasar agama Islam itu sendiri.
                Rukun dan asas tersebut (secara teori dan praktikal) adalah :
‌أ.                     Aqidah
‌ب.                  Ibadah
‌ج.                   Akhlak

Ketiga-tiga asas di atas terikat dengan ikatan yang kukuh di antara satu sama lain dimulai dengan asas aqidah yang sahih  mencernakan ibadah yang sejahtera. Binaan ibadah yang sejahtera melahirkan peribadi yang luhur dalam konteks individu dan masyarakat. Amal soleh tercetus apabila ibadah yang dilakukan berdasarkan akidah yang murni.

1)                   Aqidah
Aqidah ialah perkara yang wajib dipercayai oleh setiap individu muslim dengan keyakinan yang thabat untuk didirikan di atasnya konsep ibadah, akhlak bagi setiap individu dan masyarakat. Ruang lingkup perbicaraan aqidah adalah :

1.       Beriman kepada Allah.
2.       Beriman kepada para Malaikat.
3.       Beriman kepada para Rasul.
4.       Beriman kepada Kitab.
5.       Beriman kepada Hari Qiamat.
6.       Beriman kepada Qada’ dan Qadar.

2)                   Ibadah   
Iaitu penerjemahan  daripada aqidah yang murni, merealisasikan  konsep aqidah dalam bentuk yang praktikal. Ibadah tersebut ialah yang di fardukan oleh Allah Taala kepada setiap individu muslim. Dasar-dasar ibadah adalah:
1.       Dua kalimah syahadah (Syahadatain)
2.       Mendirikan solat
3.       Mengeluarkan zakat
4.       Puasa di bulan Ramadan
5.       Mununaian haji bagi sesiapa yang berupaya
6.       Ibadah dalam pengertian yang luas

3)                   Akhlak
Iaitu perilaku yang murni dihiasi dengan norma-norma akhlak muslim yang mesti diimplimentasikan dalam kehidupan masyarakat individu muslim adalah seperti berikut:
1.       Cabang iman
2.       Amar ma’ruf dan Nahi mungkar
3.       Al-Adlu Wal-Ihsan
4.       Jihad fisabillah
Di dalam hal di atas (konsep akhlak) perkara-perkara di atas kadang-kadang menjadi fardhu di dalam keadaan tertentu, kadang-kadang pula menjadi sunat di dalam keadaan yang tertentu. Dalam keadaan yang lain pula ia terkadang menjadi amalan yang biasa dan pilihan. Namun begitu kesemuanya merupakan akhlak-akhlak Islam yang luhur.


5. MATLAMAT (TUJUAN ) DAKWAH
               Hala tuju dakwah yang hendak dicapai secara umumnya adalah senada dan seirama dengan tujuan agama Islam diturunkan kepada Bani Basyar iaitu untuk mencapai kemaslahatan manusia dan menyingkirkan sebarang agen-agen perosak dan pembinasa yang boleh  mencacatkan keharmonian kehidupan manusia samada di dunia dan akhirat. Imam Al Izz bin Abd  Dissalam mengatakan :
“Sesunguhnya syariat itu adalah kemaslahatan baik mencegah dari kerosakan maupun mencapai kemaslahatan“

        Tuju sasar dakwah secara umum terbahagi kepada dua: Fardi dan Jamai’e
Di antara matlamat dan rangka tuju dakwah yang hendak dicapai adalah seperti berikut :

1)       Menunjuk manusia kepada pengabdian yang total kepada Allah s.w.t bertepatan dengan apa yang disyariatkan kepada mereka. Ini merupakan tugas asas dan asal kebangkitan para rasul di muka bumi ini. Namun begitu tugas tersebut berpindah kepada para duat selaku galang ganti kepada tugas yang ditinggalkan oleh para rasul seraya para du’at merupakan pewaris para nabi dan rasul.
Justeru itu, para du’at berperanan sebagai penerang, penafsir dan petunjuk jalan kepada manusia kepada persoalan dasar dan asas iaitu konsep tauhid dan menjelaskan konsep Islam sebagai satu cara hidup.
2)       Menunjuk manusia agar berta’aruf (kenal mengenal) di antara satu sama lain. Ia merupakan satu perintah dari Allah Ta’ala untuk dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.
Para du’at diwajibkan menjelaskan perkara tersebut kepada manusia tidak boleh hidup berseorangan. Interaksi dan komukasi di antara manusia merupakan naluri yang ada di dalam jiwa manusia.
3)       Mengubah suasana yang buruk dan iklim yang bejad di dalam realiti kehidupan manusia kepada iklim Islamiah bagi menjamin kemaslahatan kehidupan yang sejahtera di dunia dan akhirat.
                Para du’at diperlukan untuk mencernakan misi tersebut. Menjelaskan konsep Jahiliyyah kepada manusia agar mereka berupaya menanggapi perkara tersebut sehingga mereka dapat menyusun kehidupan dengan teratur.         
4)       Mendidik individu muslim dengan tarbiyyah Islamiah Syumuliah yang merangkumi tarbiah rohiah, jasadiah, fikriah dan ‘aqliah.
5)       Membentuk Bait Muslimah dengan mendidik individu-individu tersebut bertepatan dengan Manhaj Islam dan system kekeluargaan yang berteraskan kepada roh Islami. Justeru itu institusi ini dapat melahirkan jil muslim yang bersifat taqwa, menjadi tunas baru demi terbentuknya masyarakat Islam yang diimpikan.
6)       Membentuk Mujtamak Muslim yang merealisasikan norma-norma Islam dari segi dasar dan akhlak. Dengan erti kata lain, masyarakat yang mengimplimentasikan system dan peraturan mengikut neraca timbangan Islam yang mampu mengaplikasikan konsep amar ma’ruf dan nahi mungkar, al ‘adl wal ihsan di dalam kehidupan masyarakat.
7)       Usaha untuk mewujudkan Negara Islam yang melaksanakan syariat Allah  terhadap manusia. Negara Islam yang mengamalkan keadilan individu, menjaga maslahat umum, mengekang fasad dan melaksanakan amanah, menyebar agama Islam kepada seluruh manusia dan menyebarluaskan  pendidikan Islam.
8)       Usaha untuk membebaskan negara Islam keseluruhannya daripada cengkaman mana-mana musuh dalam realiti yang ada atau keadaan yang melingkunginya. Membebaskannya daripada mengikut arus atau perancangan oleh pemuka-pemuka arkitek barat.
                 Negara yang awal yang mesti dibebaskan ialah Palestin di mana ramai di kalangan manusia tertipu dalam tempoh yang panjang.
9)       Usaha untuk mewujudkan kesatuan yang jitu di antara negara-negara Islam dalam konteks kesatuan fikrah dan ilmu, kesatuan matlamat dan hadaf, kesatuan ekonomi dan siasah di antara negara Islam.
                  Satu impian untuk meletakkan negara-negara Islam di bawah “Payungan Khilafah Islamiah” iaitu daulah Islamiah yang menjalankan syariat dan perundangan Islam.
10)   Usaha untuk melebarluaskan Dakwah Islamiah seluruh alam maya, timur dan barat, di negara Islam dan bukan Islam sejajar dengan “Agama Basyariah”.

6. USLUB DAKWAH DAN WASILAH
Perbezaan di antara USLUB dan WASILAH :
Uslub (Jalan Dakwah) ialah amal yang dilakukan oleh da’ei untuk menjayakan misi operasi dakwah.             
Wasilah (Media Dakwah) ialah amal yang dilakukan oleh para da’ei untuk menjayakan uslub dakwah.

USLUB merupakan strategi/cara untuk sampai kepada matlamat dakwah. WASILAH pula merupakan perlaksanaan strategi (amalan perlaksanaan itu sendiri). Garis panduan bagi kedua-duanya adalah Al Quran, Sunnah Nabawiyyah dan Sirah Nabawiyyah. Method/uslub dakwah adalah tidak jumud dan kaku tetapi ia bersifat pragmatif yang berubah mengikut keadaan tuju sasar iaitu mad’u berdasarkan : Watak, Suasana, Pemikiran dan Kefahaman.
                Method dakwah akan berubah berdasarkan watak yang didokongi oleh mad’u, biah yang berbeza-beza, kadar pemikiran yang dimiliki seperti golongan intelektual, golongan pelajar, orang kampung dan lain-lain serta kapasiti kefahaman yang dimiliki oleh kelompok-kelompok tersebut.
Ini merupakan satu realiti yang mesti ditanggapi oleh para da’ei. Lantaran itu para da’ei mesti bersikap rasional dan matang untuk menentukan method mana yang perlu diambil dalam rangka menjayakan misi suci ini.
                                  
A. Uslub Dakwah.
Di antara uslub dakwah :
1.       Menerangkan dan menafsirkan usul dakwah.
Usul dakwah ialah usul agama itu sendiri iaitu satu ilmu yang menentukan padanya bagi menetapkan hakikat agama dengan mendatangkan dalil dan hujah ke atasnya dan menolak segala syubhat daripadanya. Ia merangkumi :    
i.    Perkara-perkara aqidah : zat Allah s.w.t, sifat dan nama serta perbuatan. Percaya kepada malaikat, kitab, rasul-rasul, hari akhirat serta qada’ dan qadar.
ii.   Perkara-perkara ibadah : persoalan tauhid, solat, puasa, zakat dan haji.
iii. Perkara-perkara muamalat : akad, nikah, talak, jual beli, gadaian, syafaah, salam, sewa menyewa, wakalah dan kifalah.
iv. Perkara-perkara hudud dan kisas, jihad, harabah.
v.   Persoalan fadhilat-fadhilat pada perkara yang diwajibkan daripadanya dan perkara-perkara sunat seperti sedekah, amanah, silaturrahim, kasih sayang, sabar dan lain-lain lagi.

Uslub Al Quran menjelaskan dan menerangkan perkara-perkara tersebut, di mana :
                i.     Surah-surah yang diturunkan di Mekah menjelaskan perkara akidah
               ii.     Surah-surah yang diturunkan di Madinah menjelaskan perkara syariat dan manhaj du’at tidak dapat tidak perlu merencanakan uslub tersebut dengan mengenal pasti mad’u untuk mengeluarkan mereka daripada kesesatan kepada jalan petunjuk.
2.       Membandingkan di antara dakwah yang benar dan batil.
Satu uslub yang baik untuk mengiqnakkan mad’u menerima dakwah Islamiah. Bentuk-bentuk muqaranah :
                                 i.             Berhadapan dengan ahli kitab Yahudi dan Nasrani.
                                 ii.            Berhadapan dengan golongan yang sesat dan mengikut hawa    nafsu.
Justeru itu dalam berhadapan dengan mereka, para da’ei perlu meraikan perkara-perkara tersebut :
                                                 i.              Dilaksanakan / berhadapan dengan topik-topik yang ditentukan dengan adil. Tujuan muqaranah adalah untuk mencari kebenaran.
                                                ii.              Jidal dilaksanakan dengan baik, bukan semata-mata untuk mengalahkan dan membantah hujah. Mengiqnakkan perbalahan dengan hujah dan dalil.
                                              iii.              Melazimkan dengan akhlak-akhlak Islam.
                                              iv.              Merupakan orang yang ahli iaitu orang-orang yang betul-betul fakeh dan alim dalam perbahasan.

Muqaranah yang digambarkan di dalam Al Quran, Sunnah dan Du’at sepanjang zaman dan tempat adalah melingkungi perkara tersebut :
-          Supaya manusia menggunakan akal mereka untuk merenung dan menghayati sesuatu perkara / fenomena yang berlaku lantas bersedia menerima kebenaran dan menolak kebathilan.
-          Memberi peringatan kepada manusia dengan apa yang telah berlaku kepada umat Islam yang terdahulu dengan menggunakan pertimbangan akal sehingga mereka menerima cahaya keimanan bilamana mereka menerima kebenaran tersebut sebaliknya tetap di dalam kesesatan dan kekufuran bila masih berpegang teguh dengan kejahilan.
3.       Menolak syubhat dan tipu daya.
Telah berlaku sejak dibangkitkan para rasul dan nabi-nabi sehingga kini. Di antara bentuk-bentuk syubhat yang dilakukan adalah :
                            a.       Terhadap Al Quran itu sendiri : bukan daripada Allah.                          
                            b.      Terhadap Islam dari sudut manhaj dan nizam :
- bersifat tempatan dan daerah.
- pemisahan di antara agama dan daulah.
- tersebar dengan pedang, fundamentalis.
- hudud dan kisas – keji.
- poligami - pemuas nafsu.
c.      Terhadap Rasulullah :
-   mereka Al Quran.
-   wahyu bukan daripada Allah.
-   kahwin ramai.
                            d.       Terhadap peribadi sahabat dan salafussalih.
4.       Mengikat persaudaraan dan tarbiyyah dan mempersiap siagakan (mad’u).
Mengikat mad’u dengan hubungan baik, ditaut dengan konsep dakwah di antara da’ei dan mad’u dengan ukhuwahfillah. Seterusnya diikat dengan tarbiah yang selari dengan manhaj Islam dari aspek spritual, mental dan syakhsiah. Justufikasinya mad’u dapat melaksanakan setiap perintah yang dituntut oleh Islam di dalam semua lapangan dan bidang. Justeru itu mereka dapat disediakan untuk melaksanakan tugas dakwah ini. Ini merupakan Uslub Qurani iaitu Allah Ta’ala telah mendidik kesemua para rasul dengan proses tadi sebelum mereka ditaklifkan dengan tugas membawa risalah tauhid. Firman Allah s.w.t : (Surah Al Qasas : 14) dan (Surah Thaha : 22)
5.       Pengumpulan, pembikinan dan pelaksanaan tugas.
Uslub ini merupakan pelengkap kepada proses sebelumnya iaitu dalam 3 peringkat :
-          Pengumpulan  - proses ta’aruf, taqarrub dan kasih sayang kerana Allah Ta’ala dari segi ruhiah, jasadiah dan aqliah.
-          Pembentukan  - mengikat kecenderungan untuk diketengahkan bila diperlukan.
-          Pelaksanaan   - meletakkannya di tempat yang telah ditentukan sebelum ini berdasarkan pengkhususannya sebelumnya.
6.       Berita gembira dan balasan kebaikan.
Merupakan Uslub Qurani untuk mengubati jiwa manusia agar cintakan keamanan dan kesejahteraan, justeru menjauhkan diri mereka daripada kemerbahayaan diri dengan uslub ini (takhwif dan tahdid). Lantaran itu ia mampu menarik manusia untuk menerima kebenaran dan takut akan balasan buruk di samping takut akan hilangnya keamanan dan kesejahteraan daripada dirinya.
7.     Ancaman dan ingatan

B. Wasilah Dakwah
Wasilah ialah satu amalan (media) yang merealisasikan matlamat dakwah seperti mana yang digariskan sebelum ini, justeru itu secara umumnya wasilah dakwah Islamiah dan penyampaian media kepada manusia boleh diskopkan kepada tiga bahagian/aspek :
Ø  Media perkataan.
        Merupakan jihad dengan kalimah dan media penyampaian adalah melalui khutbah, pengajian, risalah, makalah, majalah, kitab dan seumpamanya.
Ø  Media amal.
        Penyampaian melalui amal perbuatan merangkumi aspek tersebut :
‌أ.                     Amar ma’aruf nahi mungkar.
‌ب.                  Mendirikan institusi perkhidmatan.
Ø  Media qudwah.
        Ia merupakan wasilah secara praktikal yang meletakkan juru dakwah sebagai cermin yang mampu diteladani secara praktis. Penonjolan peribadi syakhsiah muslim sejati yang ditunjukkan oleh para da’ei mampu menarik mad’u untuk menerima dakwah dengan lebih efektif.

8.  KEWAJIPAN PARA DU’AT

Di antara beberapa tugas yang mesti dilakukan oleh juru dakwah ialah :

a)     Menyampaikan risalah dakwah kepada manusia.
Sesungguhnya du’at ilallah merupakan pewaris para nabi pembawa ilmu, pemegang amanah agama. Oleh kerana itu mereka merupakan golongan pilihan untuk menyampaikan risalah dakwah iaitu untuk membawa manusia kepada pengabdian yang total kepada Allah Ta’ala. Para du’at ilallah merupakan kurnia nikmat kepada manusia kerana akan berterusan sepanjang zaman satu kelompok manusia yang mewakafkan diri untuk dakwah. Mereka tidak sekali-kali menyembunyikan kebenaran. Firman Allah Ta’ala : (Surah Al Baqarah : 146)

b)    Menjelaskan kepada manusia hanya agama Islam sahaja merupakan agama ikutan. Warid daripada nas Islamiah daripada Al Quran dan Sunnah Nabawiyyah, tuntutan agar manusia meletakkan agama Islam sebagai agama penamat dan lengkap. Firman Allah Ta’la : (Surah As Saba’ : 28) dan (Surah Al A’raf : 158)

c)     Mengajar manusia perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia. Perkara-perkara agama yang wajib diajar :1.Konsep Tauhid : Tiada pengabdian kecuali kepada Allah.2.Cabang-cabang iman. 3.Rukun Islam, makna ihsan, penjelasan mengenai halal dan haram dan sebagainya.

d)    Menggalakkan manusia agar melakukan amal kebajikan. Supaya manusia dapat hidup dengan harmoni jauh daripada kacau bilau, huru-hara dan ketakutan. Lantaran itu Allah s.w.t menyuruh orang-orang mukmin supaya melakukan kebajikan. Firman Allah Ta’ala : (Surah Al Hajj : 77)


e)    Menanamkan di jiwa manusia konsep / hakikat penggabungan diri mereka kepada Islam. Para du’at dituntut agar menanamkan sifat penggabungan yang global terhadap Islam di kalangan umat Islam. Hakikat Islam yang bersifat universal harus dijelaskan untuk mengikis sebarang pesimis yang negatif terhadap Islam.

9.  SIFAT PARA DA’EI
Terbahagi kepada dua :
*       Sifat Fitriah : Iaitu sifat yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Di antaranya : iman, ikhlas, taqwa, cerdik, sabar dll.
*       Sifat Muktasabah : Iaitu sifat yang perlu dicari. Di antaranya : keilmuan, kefaqihan, cergas di medan dakwah, keyakinan dan cita-cita tinggi.

10.   PERSIAPAN PARA DA’EI
Persiapan di dalam sesuatu pekerjaan sebelum melaksanakannya adalah perkara yang penting untuk mencapai sesuatu matlamat. Lebih-lebih lagi di dalam konteks dakwah. Persiapan secukupnya kepada para du’at adalah perlu sebagai benteng untuk membawa beben dakwah. Di antara persiapan-persiapan tersebut ialah :

v  Persiapan Diri dan Akhlak.




a.   Persiapan diri :
                                             i.                        Menyucikan diri dengan berpaling daripada dosa dan maksiat.
                                            ii.                        Menyucikan diri dengan melakukan ketaatan.
                                          iii.                        Sifat wara’ dan Sifat redha.

b.   Persiapan akhlak :        
                                             i.                        Menyucikan diri daripada sifat marah. Firman Allah Ta’ala :(Surah Al Anfal : 16)
                                            ii.                        Beriltizam dengan adab-adab Islam.(Surah Al Mukminun : 1-4)
                                          iii.                        Membiasakan diri dengan sifat tasamuh dan sabar.
                                          iv.                        Tetap berakhlak dengan akhlak Islam di mana jua berada.

v  Persediaan Keilmuan Yang Berbentuk Teori dan Praktikal.

a.   Cabang ilmu secara teori :

i.                     Ilmu-ilmu Islam samada usul dan furu’.1. Ilmu Usul adalah Al Quran, Sunnah, Sirah, Lughah dll. 2. Ilmu Furu’ adalah fiqh, akhlak, tarikh Islam, tarikh para sahabat dan tabien dll.
ii.                    Ilmu Dakwah.
iii.                  Ilmu Fiqh dan Usul.

 b.  Cabang ilmu secara praktikal :

                                b.i.       Khusus untuk pendakwah.
i.    Menziarahi tokoh-tokoh pendakwah untuk mengambil faedah dan manfaat daripadanya.
                                                                       ii.     Menziarahi tokoh-tokoh pendakwah untuk mendengar taujihat secara waqie’.
                                                                      iii.     Menghadiri tamrin atau nadwah yang berbentuk dakwah.
                                                                      iv.     Latihan secara amali dalam lapangan dakwah.
                                b.ii.          Khusus untuk mad’u.
                                                i.   Mempelajari ilmu kemasyarakatan / sosiologi secara praktikal menurut teori Islam.
                                                ii.  Mempelajari ilmu psikologi secara praktikal menurut teori Islam.
                                                iii. Mempelajari ilmu kemahiran berbahas.


11.   PENUTUP

Skop perbicaraan dakwah adalah terlalu luas sebagaimana luasnya medan dakwah itu sendiri dalam realiti yang sebenar. Para du’at mesti memahami dengan jelas “Fiqh Dakwah” agar perjalanan yang dilalui menepati matlamat yang digariskan berdasarkan wahyu hidayah Allah s.w.t.
Sekian, wassalam.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...