Tuesday 11 October 2011

KONSEP KEADILAN DALAM ISLAM - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang



ISLAM mewajibkan sikap adil dalam keluarga. Ketua keluarga yang disebut suami wajib berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap mekanisme berkeluarga, memberi nafkah kepada anak isteri dan mendidik mereka supaya menjadi orang yang baik. Maksudnya, manusia bukan sahaja wajib menunaikan keperluan asas, dalam masa yang sama wajib menunaikan keperluan rohani yang menjadi ciri hidup bagi seseorang manusia. Waris lelaki yang terdekat wajib mengambil alih menunaikan kewajipan apabila wanita tiada suami dengan sebab kematian, perceraian dan sebagainya. Di sinilah hikmahnya golongan lelaki mendapat bahagian sekali ganda daripada bahagian perempuan dalam pembahagian harta pusaka.

Islam mengizinkan poligami kerana menangani masalah masyarakat, dengan syarat wajib berlaku adil terhadap keluarga dalam semua urusan secara menyeluruh, meliputi isteri dan anak-anak. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berlaku adil atau zalim maka haram baginya berpoligami.

Allah menegaskan menerusi ayat 3 surah An Nisa' yang bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja".

Isu poligami menjadi sasaran musuh Islam dan mereka yang jahil dan sombong di kalangan umat Islam. Mereka sebenarnya mempertikaikan hukum Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Adil. Poligami adalah penyelesaian daripada Allah bagi menghadapi masalah masyarakat, jangan anggap ia semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Peningkatan jumlah wanita daripada lelaki dengan kelahiran, bencana alam atau peperangan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Itulah penyelesaian daripada Allah dengan alasan wajib yang menjamin keadilan keluarga. Sesiapa yang melanggarnya, terimalah balasannya di dunia dan di akhirat. Pihak kerajaan juga wajib memantau masalah keluarga agar berlaku adil kerana keluarga adalah komponen masyarakat yang wajib keluarga dipelihara dengan baik dan saksama.

Hubungan kejiranan ditegaskan dengan kewajipan yang besar, sehingga kewajipan terhadap jiran digabungkan bersama beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata-kata yang baik atau diam".

Jiran perlu dimuliakan tanpa mengira agama yang dianut kerana Nabi Muhammad S.A.W sendiri memberi hak kejiranan kepada yang bukan Islam. Baginda bangun berdiri apabila jenazah seorang penganut agama Yahudi lalu di hadapan Baginda. Adalah berdosa apabila seseorang yang beriman membiarkan jirannya menderita kesusahan tanpa apa-apa pertolongan.

Dalam masyarakat generasi awal umat Islam, tidak wujud rumah kebajikan bagi orang tua dan anak yatim, kerana mereka tidak ada yang terbiar dalam kelompok masyarakat. Berlaku zalim terhadap anak yatim, ibu tunggal dan jiran adalah dosa besar. Kewajipan dan perintah ini dijaga oleh setiap masyarakat kerana takut berdosa.

Islam juga mewajibkan hubungan secara kemanusiaan, walaupun berbeza agama. Hak rakyat bukan Islam dalam Negara Islam hendaklah dijamin dengan seadil-adilnya, tanpa mengira kaya atau miskin. Penganut agama Islam diwajibkan membayar zakat bagi membela orang-orang yang memerlukan bantuan melalui zakat fitrah, zakat harta simpanan, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat ternakan dan lain-lain.

Penganut bukan Islam pula dikenakan bayaran jizyah (sumbangan diri), kharaj (daripada hasil pertanian) dan usyur (daripada perniagaan) dengan cara yang tidak zalim dan tidak membebankan. Seperti juga harta kutipan zakat, harta ini digunakan bagi membantu mereka yang susah. Jelasnya orang Islam dan bukan Islam tetap dikenakan bayaran. Perbezaannya ialah, amalan zakat bersifat ibadat dan aspek ibadat Islam tidak boleh dipaksa terhadap penganut bukan Islam.

Pada zaman Khalifah Umar berlaku peristiwa menarik, Abu Ubaidah bin Al Jarrah mengambil keputusan membatalkan bayaran jizyah daripada penduduk bukan Islam di wilayah Jordan dan wang yang sudah dipungut juga dipulangkan'semula. Tindakan ini dibuat kerana ancaman tentera Rom Timur menyebabkan kerajaan Islam tidak dapat menjamin keamanan penduduk bukan Islam.

Antara syarat mengambil jizyah, pemerintah hendaklah menjaga keselamatan rakyat dan hak-hak yang lain. Penduduk bukan Islam tersebut tidak mahu mengambil wang tersebut sebaliknya menegaskan mereka lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam. Mereka menyedari keadilan pemerintahan Islam dan kezaliman penjajah Rom Timur yang seagama dengan mereka.

Suatu ketika Khalifah Umar bertemu dengan seorang tua penganut agama Yahudi yang meminta sedekah. Peminta sedekah itu lalu dibawanya kepada pengawal Baitulmal dan meminta supaya diberi bantuan yang cukup kepadanya sehingga akhir hayat. Khalifah Umar berkata, "Alangkah tidak baiknya kerana kita mengambil bayaran jizyah pada masa muda dan sihatnya, kemudian kita biarkan dia apabila dia tua".

Institusi Kehakiman Teraju Utama Masyarakat Bersih & Adil

Institusi kehakiman adalah perkara penting bagi menegakkan keadilan sebenar dalam masyarakat secara praktikal. Undang-undang yang adil sekalipun, kadang-kadang menjadi tidak adil dengan sebab pelaksanaannya pincang. Hukum Islam yang dinyatakan oleh Allah Yang Maha Adil, dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasul yang bersifat adil perlu dilaksanakan dengan adil juga. Islam menetapkan cara yang menjamin dan mengukuhkan tegaknya keadilan dalam aspek kehakiman. Antaranya menetapkan pemisahan kuasa kehakiman daripada dipengaruhi oleh badan yang lain.

Syarat hakim, saksi, keterangan dan adab mahkamah dan hakim mestilah dengan cara yang jelas dan wajib. Mereka yang terlibat dalam bidang ini mestilah seseorang yang sanggup bertanggungjawab dengan Allah dan sesama manusia. Badan kehakiman adalah satu kewajipan yang ditetapkan oleh Al Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan ijma'. la termasuk dalam urusan ibadah, pemerintahan dan memikul amanah besar dalam Islam, walaupun ianya fardu kifayah.

Banyak ayat Al Quran yang mewajibkan melaksanaan hukum Allah dengan adil, disertakan dengan amalan Nabi Muhammad dan Para Sahabat.

Hukum yang berkait dengannya dan adab-adabnya, menjadi fardu ain kepada orang yang ditugaskan menjadi hakim.

Badan kehakiman diberi hak mengendalikan pertelingkahan dalam masyarakat dengan kebebasan yang tersendiri, tanpa diganggu oleh pihak yang lain. Nabi Muhammad sebagai Rasul pilihan Allah menjadi contoh yang ulung dan unggul, tidak menyalahgunakan haknya menjadi ketua negara apabila berlaku pertelingkahan antara manusia dan dalam banyak perkara.

Baginda S.A.W berjaya memisahkan kedudukannya sebagai ketua negara dan tidak mempengaruhi kehakiman dengan melantik orang lain menjadi hakim dalam perkara yang melibatkan peribadinya tanpa apa-apa gangguan. Keadaan ini menyebabkan orang Yahudi dan Musyrikin yang paling bermusuh dengan Islam berubah menjadi penganut dan sahabat yang setia. Mereka melihat keadilan Islam secara langsung terhadap diri mereka sendiri dan perkara ini tidak berlaku di kalangan mereka sebelum kedatangan Islam.

Sebelum wafat, ketika dalam keadaan uzur, Nabi Muhammad S.A.W. datang ke masjid. Setelah menunaikan solat, Baginda menyampaikan pidatonya yang berbunyi; "Sesiapa yang aku pernah jatuhkan maruahnya sila tampil untuk beritahu, supaya aku dihukum kerana menzalimi maruahnya. Sesiapa yang pernah aku zalimi hartanya, sila nyatakan, supaya aku boleh membayar gantinya. Sesiapa yang aku pernah pukul belakangnya, ini dia belakangku silalah balas ke atas belakangku ini".

Khalifah Umar bin Al Khattab pernah bertelingkah dengan seorang Arab Badwi selepas membeli kudanya. Beliau menyedari kuda itu cacat sewaktu menunggangnya dan ingin membatalkan pembelian. Khalifah Umar memulangkan kuda itu kepada tuannya dan meminta kembali harga yang dibayar, tetapi si Badwi itu menolak. Khalifah Umar tidak memaksanya tetapi menyerahkan hal ini kepada Badan Kehakiman supaya hak mengendalikan pertelingkahan dalam masyarakat dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan tanggungjawab, dengan kebebasan yang tersendiri, tanpa diganggu oleh pihak yang lain.

Generasi Sahabat yang awal menerima tarbiyah yang menanamkan iman, melahirkan takwa dan menjadikan mereka pemimpin yang paling berwibawa yang pernah dilahirkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W, bertindak dengan adil serta memantau badan kehakiman di semua peringkat perkara ini di hadapan Hakim Syuraih yang dilantiknya. Oleh kerana kecacatan berlaku di luar tempoh membatalkan jualan, Hakim Syuraih memutuskan jualan itu tidak boleh dibatalkan.

Menurut satu peristiwa lain, baju rantai besi kepunyaan Khalifah Ali hilang, tiba-tiba dijumpai berada di tangan seorang Yahudi kafir yang paling bermusuh dengan umat Islam. Khalifah Ali tidak merampasnya secara paksa, tetapi dibawa ke mahkamah. Apabila Khalifah Ali tidak dapat mengemukakan saksi, hakim tidak membenarkan baju rantai besi itu dirampas, sebaliknya diserahkan kepada Yahudi itu.

Setelah keluar dari mahkamah, lelaki Yahudi itu menghadap Khalifah Ali. Dia mengaku baju rantai besi itu sebenarnya kepunyaan Khalifah Ali, lalu menyerahkannya kepada khalifah dan berikrar masuk Islam kerana melihat keadilannya.

Kesemua cerita ini dan banyak lagi cerita sepertinya menunjukkan kerajaan Islam adalah kerajaan yang paling awal melaksanakan sistem pemisahan kuasa badan kehakiman daripada badan yang lain dalam kerajaan. Tujuannya bagi menegakkan keadilan dalam aspek perundangan.

Ini menunjukkan bahawa keadilan Islam dalam aspek kehakiman adalah menyeiuruh terhadap semua makhluk tanpa mengira anutan agama, pangkat dan kedudukan seseorang.

Keadilan Undang-Undang Islam

Nabi Muhammad adalah contoh umat yang terbaik, dilantik oleh Allah mengikut pilihan-Nya, ditarbiyah dan dikawal dengan sifat-sifat yang wajib pada diri-Nya. Benar, amanah, menyampaikan semua ajaran Allah, bersifat bijak dan terpelihara daripada melakukan kesalahan.

Sekiranya berlaku kesilapan juga, itu adalah kerana Allah ingin menunjukkan hikmah di sebaliknya dan dengan tujuan Allah ngin membetulkannya dengan wahyu dan sebagainya. Sesungguhnya Rasul itu memiliki sifat manusia, tetapi dikawal selia oleh Allah bagi menjadi contoh kepada orang lain. Melalui Nabi Muhammad S.A.W, Allah peringatkan manusia dan menunjukkan cara beramal dengan Al Quran.
Sesungguhnya Allah Taala menegaskan di dalam Surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud, "(Kami utuskan Para Rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, 'supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya".

Penjelasan dan penerangan daripada Nabi Muhammad itu dinamakan hadis atau sunnah, ia menjadi pentafsir secara praktikal dan tepat.

Golongan yang menolak hadis adalah golongan yang sesat kerana bercanggah dengan kenyataan Al Quran sendiri, serta hakikat yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad yang mewajibkan para sahabat mengumpulkan hadis dengan amanah. Banyak perintah Al Quran yang tidak menyatakan cara amalannya seperti ibadat dan Iain-lain dan ini memerlukan penjelasan cara amalannya daripada Nabi Muhammad S.A.W.

Walaupun hadis yang banyak itu sudah bercampur dengan perkara-perkara yang tidak sihat dari segi kesahihannya, tetapi Allah Taala melahirkan para sarjana berwibawa lagi amanah daripada segi ilmu dan akhlaknya supaya dapat mengumpulkan semuanya dengan cermat dan bertanggungjawab. Mereka memilih dan menapis hadis tersebut dengan teliti berpandukan ilmu, amanah dan akhlak mereka Al Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.

Mereka mengkaji dan meneliti semua hadis tersebut yang terkumpul di dalamnya segala ucapan, amalan, keputusan dan pengakuan Nabi Muhammad S.A.W dalam masa 23 tahun melaksanakan tugas menjadi Rasul.

Para sarjana juga merekodkan secara khusus hadis yang berkait dengan aspek cara hidup dari segi individu, keluarga, masyarakat dan negara, ini termasuklah bidang perundangan dan kehakiman bagi melaksanakan keadilan, selama tempoh pemerintahan Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat di seluruh wilayah Islam pada zamannya.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam Al Quran menerusi ayat 7 surah Al Hasyr maksudnya, "Apa-apa yang dibawa oleh Rasul, hendaklah kamu mengambilnya".

Apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah itu bukan sahaja apa yang disebut dalam Al Quran, tetapi termasuk juga perkara yang tidak disebut di dalamnya. Setiap orang di kalangan Khulafa' Rasyidin bertindak bertanya kepada Para Sahabat berkaitan tindakan Nabi Muhammad S.A.W apabila mereka tidak mendapatinya dalam Al Quran. Apabila pasti tidak ada maklumat, barulah mereka akan bertindak menceri penyelesaian dengan kebijak^naan tersendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...