Friday 4 February 2011

HARI ESOK UNTUK ISLAM_ HASSAN AL BANNA


Setelah kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan kembali membawa kegemilangan Islam. Pukulan hebat dan penangkapan serta penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang begitu hebat.

Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.

Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala." Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)

Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.

Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.

Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.

Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.




Fajar menyinsing


Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.

Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.

Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...