Sunday, 6 February 2011

HARI ESOK UNTUK ISLAM 2_HASSAN AL BANNA


Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.



Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama: Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt "Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"(Al A'araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."



Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.



Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.


Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.



Sikap kita


Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.


Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omar pun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini.

Wallahu A'alam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...