Tugas Apakah Perlu Kita Lakukan Sekarang?
Ramai dari kalangan angkatan muda tertanya-tanya tugas apakah yang dituntut dari kita sekarang setelah kita thiqah (percaya) pada jalan dakwah supaya waktu dan usaha kita tidak hilang sia-sia di dalam perkara yang tidak berfaedah. Kita merasa bahagia dan bangga dengan semangat begini, kerana jiwa yang demikian menunjukkan sikap positif yang dipunyai oleh beberapa ramai putera puteri kita kita yang muslim. Kita menghargai dan berbangga dengan mereka kerana mereka meminati Islam dan melibatkan diri mereka dengan bekerja untuk Islam dalam menentang kebatilan walaupun mereka telah mendengar dan membaca apa yang terjadi ke atas saudara-saudara mereka yang telah mendahului mereka di atas jalan dakwah ini.
"Mereka tidak menjadi lemah kerana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak pula menyerah (kepada musuh)". Ali-lmran:146
Sebelum saya menjawab soalan ini, saya perlu mengingatkan supaya kita kembali mengingati apa yang telah disentuh terlebih dahulu tentang penentuan objektif-objektif yang ingin kita capai dan merealisasikannya, menentukan berbagai-bagai peringkat jalan, penyelewengan dan rintangan-rintangan, dan apa yang telah kita terangkan berkenaan dengan tabiat peringkat yang kita sedang lalui sekarang.
16.1 Tabiat Marhalah Ini
Sesungguhnya kita sedang berada di dalam peringkat meneguhkan dasar (tapak) mukmin yang di atasnya nanti akan kita bangunkan daulah Islam. Dasar itu kemudiannya akan menjelma di dalam diri individu muslim para pendokong akidah; keluarga Islam yang menjelmakan dan menterjemahkan Islam di dalam rumahtangganya dan beriltizam dengan segala ajaran dan pendapat umum Islam yang sedar, atau masyarakat Islam. Inilah tiga lapangan: iaitu individu, rumahtangga dan masyarakat, itulah bidang kerja yang sangat penting diusahakan sekarang. Inilah asas yang kuat untuk pembangunan Islam yang agung. Syiar kita, cogan kata pada peringkat ini ialah "perbaiki dirimu dahulu dan kemudian serulah orang lain". Ini adalah dua tuntutan yang pokok dan penting di dalam lapan perkataan sahaja tetapi kesimpulan amal dan asasnya, pencapaian menegak (vertical): Perbaiki dirimu dan pencapaian melintang (horizontal): Serulah orang lain. Sesungguhnya ia telah menjadi sunnah Allah, tidak akan merubah di dalam makhluknya:
"Sesungguhnya Allah tidak akan merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri". Ar-Ra'd: 11
Itulah realiti yang telah rosak, kecelakaan dan kesempitan, kemusnahan dan kebinasaan yang dialami manusia zaman ini. Ia tidak akan berubah kecuali apabila kita merubah apa yang ada pada diri kita di samping beriltizam dengan jalan Allah.
16.2 Banyak dan Sedikit
Sesungguhnya bilangan muslim hari ini sungguh ramai sekali, tetapi mutunya rendah. Kita kekurangan pendokong-pendokong akidah yang mempunyai peribadi mukmin yang kuat yang berpengaruh yang mampu merubah realiti yang rosak dan merosakkan, yang mampu merubah kenyataan yang buruk, yang mampu membangunkan umat Islam yang baik. Saya teringat kata-kata hikmat dari Imam Hassan al-Hudaibi, "Tegakkanlah daulah Islam dalam hati kamu supaya daulah Islam tegak di bumi kamu". Inilah bentuk dan mutu laki-laki akidah, mutu yang terbentuk di dalam madrasah Rasululiah s.a.w., terbentuk di bawah naungan Al-Quran dan terus bertambah baik melalui dakwah menyeru manusia kepada agama Allah, mempersaudarakan mereka pada jalan Allah yang terikat dengan ikatan akidah Islam dan inilah ufuk ikatan. Akhirnya madrasah Rasulullah s.a.w. itu berjaya membentuk peribadi muslim di kalangan sahabatnya dengan pertolongan dan ketentuan Allah dan mereka terus membangunkan daulah Islam, negara Islam yang agung.
Di atas jalan itulah kta mesti berjalan, terdidik dan terbentuk bawah naungan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w. dan di atas jalan inilah kita seru manusia pada jalan Allah, di atasnyalah kita bersaudara dan bersatu.
No comments:
Post a Comment