Sunday 27 February 2011

Tarbiyyah sebelum jihad





Mengapa Tarbiyyah mesti diutamakan?

Ada beberapa sebab mengapa hal ini mesti diberikan perhatian.

Pertama: Jihad di dalam ajaran Islam memiliki konsepnya yang tersendiri, bukan sebarang jihad. Ia mesti dilakukan dengan niat yang suci dan untuk tujuan yang tertentu pula, iaitu jihad fi sabilillah.

Baginda Rasulullah saw pernah disoal mengenai mereka yang berperang kerana dorongan perkauman, mereka yang berperang kerana ingin dipuji sebagai wira dan mereka yang berperang kerana mengharapkan harta rampasan, yang mana satukah merupakan fi sabilillah? Baginda  menjawab, maksudnya:

“Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah, itulah dia yang berada dijalan-Nya.” Riwayat Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Ashab Kutub al-Sittah, daripada Abu Musa al-Ash’ari r.a.

Ini membawakan erti bahawa untuk melahirkan mereka yang mencapai tahap niat yang suci ini bukanlah secara tiba-tiba boleh terhasil melainkan perlu melalui proses pertarbiyyahan/pendidikan, bimbingan yang cukup panjang dan intensif, sehingga dia benar-benar mencintai Allah dan RasulNya dengan sepenuh kecintaan.

Kedua: Sesungguhnya hasil buah perjuangan dan jihad seorang Muslim adalah kejayaan, kemenangan Islam di atas muka bumi ini. Kemenangan ini tidak akan tercapai melainkan kepada Mukmin yang benar-benar berhak memperolehi kemenangan tersebut, sehingga mereka dapat melaksanakan kewajipan-kewajipan yang dibebankan ke atasnya. Golongan seperti ciri-ciri inilah yang akan beroleh kemenangan yang gemilang.

Firman Allah taala yang berbunyi:
"Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuasa, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
–Surah al-Hajj:40-41

dan

"Dan Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak menyengutukan sesuatu yang lain denganKu."
 – Surah An-Nur:55

Sesungguhnya, orang-orang yang mendapat kemenangan dan kejayaan dalam sesuatu perjuangan, sebelum mereka mendapatkan tarbiyyah, pembinaan dan pendidikan yang sewajarnya, maka akan lebih banyak menyebabkan kerosakan daripada perbaikan yang diharapkan.

Ini bermakna, jika tarbiyyah diabaikan, tidak bermakna mereka tidak mendapat kemenangan, tetapi kemenangan yang diperolehi itu akan membibitkan pelbagai permasalahan dan bibit-bibit kerosakan. Benarlah bahawa kemenangan sebegini rupa akan menghadapi cabaran besar untuk mereka mengisi kemenangan lalu.

Ketiga: Mengikut sunnatullah, kemenangan dan kejayaan itu belum akan dapat dicapai melainkan setelah kita lulus daripada pelbagai ujian dan dugaan. Semua ujian dan dugaan tersebut bertujuan untuk membersihkan dan menyucikan diri dan jiwa kita dari pelbagai jenis penyakit dan kuman sehingga nampaklah yang tulen dan yang palsu.

Hal ini merupakan satu jenis tarbiyyah amali yang pernah berlaku ke atas para nabi, rasul dan penyeru-penyeru ke jalan Allah di sepanjang jalan kehidupan manusia.

Imam As-Syafie rh pernah ditanya: “Wahai tuan guru, manakah yang lebih baik bagi Mukmin: mendapat bala(dugaan) atau mendapat kejayaan(kemenangan)? Jawab beliau: Bukankah kemenangan itu hanya akan diperolehi setelah lulus ujian? Allah taala menguji Nabi Yusuf as terlebih dahulu, barulah kemudiannya diberikan kejayaan, sebagaimana firmanNya:

“Dan demikianlah Kami memberikan kedudukan(kemenangan) kepada Yusuf di negeri Mesir, (dia berkuasa penuh) pergi menuju ke mana sahaja ia kehendaki di bumi Mesir itu.”
 – Surah Yusuf:56

Sesungguhnya kemenangan dan kejayaan yang diraih dengan sangat mudah dan singkat sangat dikhuatiri akan segera berakhir dan lenyap kembali, berbeza jikalau ianya diperolehi dengan usaha yang gigih, penuh pengorbanan harta, jiwa dan tenaga serta dalam masa yang begitu lama, maka ianya akan terus dipertahankan dan dipelihara keutuhannya.


Rujukan: Fiqh Al-Awlawiyyat, Prof. Dr. Yusuf Qardhawi

1 comment:

  1. sebab itulah Islam mewajibkan menuntut Ilmu kan
    cumanya
    dunia hari ini, manusia tak tahu mana patut didahulukan
    pulak tu, ramai juga dapat sijil, diploma, degree, master, phd tapi tak beramal sekehdak ilmunya, maklumlah kan, Hikmah itu barang yang hilang dari dada umat islam..............

    jika tuan dalam PAS, saya cadangkan Jujur dan sucilah memberikan tarbiah, kepada saudara Islam kita naa

    inshallah dari blog ini dapat juga pelajaran bagi yang mahukannya

    inshallah

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...