Hakikat Kesufian:
Faktor Utama Keberkesanan Tarbiah Ruhiyyah
Dalam Jemaah Al-Ikhwan Al-Muslimun (di Peringkat Awal)
Harum semerbak tatkala angin bertiup di bumi Kinanah. Kenangannya sesegar kecintaanku kepada buminya yang penuh barakah. Ia adalah bumi mahabbah terutamanya kepada para anbiya’, para auliya’, para ahlul-bait, para ulama’ dan para solihin. Persekitarannya yang mengajar kita erti hidup, ditempuhi dengan ketenangan dalam menghirup barakah ukhuwwah fillah sesama solihin. Inilah bumi yang melahirkan seorang insan dalam kenangan, yang menguntum harum di persada sejarah.
Ramai manusia yang mengenal makna dakwah dan pergerakan (haraki), merasa bahagia untuk menisbahkan diri kepada fikrah. Semuanya seolah-olah adalah anak angkat kepada pemikirannya. Namun, tidak ramai yang ingin menisbahkan diri (bergabung) dalam suatu madrasah yang pernah melahirkan beliau, dan kepada madrasah itulah beliau terus menisbah diri.
Beliau adalah Imam Hasan bin Ahmad bin Abdul Rahman Al-Banna, anak seorang ulama’ sufi yang tawadhuk lagi zuhud. Dari rumah sufi yang mulia inilah, lahirnya seorang insan yang melihat makna kehidupan dengan lebih jelas dan memahami suatu hakikat dakwah yang murni. Inilah tabiat manhaj tarbiah sufiyyah yang berjaya, di mana ianya melahirkan usrah islamiyyah yang islami dan berkualiti.
Sudah tentu peranan ayahnda Hasan Al-Banna sangat berperanan dalam mentarbiah anakndanya sehingga keimanan utuh di dalam jiwa. Jiwa yang murni dan kerohanian yang tinggi menyebabkan Imam Hasan Al-Banna sentiasa mendampingi golongan orang-orang soleh khususnya golongan sufi.
Perihal ayahnda beliau sendiri, iaitu Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman As-Sa’ati Al-Banna, memang seorang ulama’ sufi yang masyhur. Beliau sangat terkenal dengan keilmuannya. Beliau mewariskan kepada anakndanya Imam Hasan, ilmu dan tarbiah agar anakndanya dapat menjadi insan yang berguna di masa hadapan. Lalu, disemai manhaj tarbiah sufiyyah dalam usrah mubarakah (keluarga yang penuh keberkatan) sehingga bersemi cinta Allah, Rasul dan cinta solihin dalam diri Imam Hasan Al-Banna.
Dari sudut keilmuan ayahndanya, tidak dapat dinafikan, beliau adalah sangat alim khususnya dalam bidang hadith. Beliau juga banyak meriwayatkan hadith dan ijazah daripad Sheikh Muhammad Sa’id Al-‘Urfi dan Sheikh Al-Hafiz Ahmad As-Siddiq Al-Ghumari [rujuk Tasynif Al-Asma’ oleh Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh: m/s 48]. Antara kitab karangan beliau adalah:-
- Fath Al-Rabbani fi Tartib Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal As-Syaibani
- Bulugh Al-Amani min Asrar Al-Fath Ar-Rabbani
- Minhah Al-Ma’bud fi Tartib Musnad At-Thoyalis Abi Daud
- Bada’ie Al-Minan fi Tartib Musnad As-Syafi’e Wa As-Sunan
- Tanwir Al-Af’idah fi Adillah Azkar Al-Wazho’if Az-Zarruqiyyah
- Tahzib Jami’e Masanid Al-Imam Abu Hanifah
- Ittihaf Ahl Sunnah Al-Bararah Bi Ziyadah Ahadith Al-Usul Al-‘Asyarah
Dan sebagainya.
Ini menunjukkan bahawasanya, Imam Hasan Al-Banna lahir daripada latar belakang keluarga yang mendalam ilmu agamanya. Malah, di samping kesufian Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman, beliau juga dari kalangan ulama’ tradisional dan mempertahankan pegangan tradisional (turath Islami) di Mesir. Ini menjelaskan tentang hubungan baik Imam Hasan Al-Banna dengan para ulama’ sufi dan institusi pengajian Islam tradisional di Mesir iaitulah Al-Azhar As-Syarif.
Hembusan Kebahagiaan dalam Bersama Kaum Sufi yang Berpegang dengan Al-Qur’an dan Sunnah (Sufi Sunni Muhaqqiq)
Adapun sudut kesufian Imam Hasan Al-Banna, maka pengalaman kecintaan Imam Hasan Al-Banna terhadap kesufian dan golongan sufi yang sangat mendalam turut beliau kongsikan dalam buku Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah. Antaranya, beliau berkata:
وظللت معلق القلب بالشيخ حسنين الحصافى رحمه الله حتى التحقت بمدرسة المعلمين الأولية بدمنهور مدفن الشيخ وضريحه وقواعد مسجده الذى لم يكن تم حينذاك , و تم بعد ذلك , و كنت مواظبا على الحضرة فى مسجد التوبة فى كل ليلة , وسألت عن مقدم الإخوان فعرفت أنه الرجل الصالح الشيخ بسيونى العبد التاجر , فرجوته أن يأذن لى بأخذ العهد عليه ففعل ووعدنى بأنه سيقدمنى للسيد عبد الوهاب عند حضوره , ولم اكن إلى هذا الوقت قد بايعت احدا فى الطريق بيعة رسمية وإنما كنت محبا وفق إصلاحهمMaksudnya:“Saya masih terikat hati (kasih) kepada Sheikh Hasanain Al-Husofi (mursyid kepada ayahndanya) sehinggalah saya masuk sekolah Al-Mu’allimin Al-Awwaliyyah di Damanhur, di mana tempat tersebut dikebumikan Sheikh dan kuburnya, begitu juga tiang-tiang asas masjid di sekitarnya yang masih belum siap ketika itu, namun sudah siap setelah itu. Saya sentiasa mengikut Hadrah (majlis zikir) di masjid At-Taubah pada setiap malam. Lalu saya bertanya tentang muqoddam (wakil mursyid) Al-Ikhwan (murid-murid tarikat tersebut), maka saya kenal, beliau seorang yang soleh, iaitulah Sheikh Besyuni seorang hamba soleh lagi peniaga.“Lalu saya mengharapkan agar beliau mengizinkan saya untuk mengambil bai’ah daripadanya (tarbiah sufiyyah) lalu beliau turuti lalu berjanji untuk membawaku kepada As-Sayyid Abdul Wahab (Al-Husofi, iaitu anaknda Sheikh Hasanain Al-Husofi) jika sekiranya beliau hadir. Saya tidak pernah sampai pada waktu ini (waktu ambil bai’ah tersebut), mengambil bai’ah daripada mana-mana murobbi tarikat dengan bai’ah rasmi (sebelum itu), walaupun saya mencintai kebaikan mereka.”
Lalu beliau berkata lagi:
وحضر السيد عبد الوهاب - نفع الله به - إلى دمنهور و أخبرنى الإخوان بذلك فكنت شديد الفرح لهذا النبأ , وذهبت إلى الوالد الشيخ بسيونى و رجوته أن يقدمنى للشيخ ففعل . وكان ذلك عقب صلاة العصر من يوم4 رمضان سنة 1342 هـ , وإذا لم تخنى الذاكرة . فقد كان يوافق الأحد حيث تلقيت الحصافية الشاذلية عنده وأذننى بأورادها ووظائفهاMaksudnya: “Ketika As-Sayyid Abdul Wahab –semoga Allah memberi manfaat dengannya- hadir ke Damanhur, lalu teman-teman memberitahuku tentangnya, maka saya teramat gembira dengan berita tersebut. Maka saya pun pergi kepada ayahnda (gelaran bagi murobbinya) Sheikh Besyuni dan saya harap agar beliau membawaku berjumpa Sheikh (Al-Husofi) lalu beliau melakukannya. Pertemuan itu berlaku setelah solat Asar pada 4 Ramadhan tahun 1342 Hijrah, jika tidak salah dalam ingatan. Hari itu bertepatan dengan hari Ahad di mana saya mula mengambil At-Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah daripadanya lalu beliau memberi izin untuk membaca wirid dan wazho’ifnya (yang mana wazho’if ini dikenali sebagai Ma’thurat oleh Hasan Al-Banna ketika menubuhkan Ikhwan)
. [Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah: 25]
Kerinduan hati dan kecintaan seseorang kepada kelompok sufi khususnya yang berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah adalah antara tanda seseorang itu mendapat bantuan Allah s.w.t. untuk melalui proses tarbiah sufi yang mempunyai dasar dan manhaj tarbiah yang bersambung silsilah tarbiah mereka sehingga kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-.
Hal ini sangat jelas sebagaimana menurut Imam Hasan Al-Banna r.a., beliau mencari seorang mursyid murobbi sufi yang benar-benar berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Beliau sangat tertarik dengan Sheikh Murobbi sufi bernama Sheikh Al-Hasanain Al-Husofi. Namun, beliau tidak sempat mengambil tarbiah daripada sheikh tersebut kerana sheikh tersebut sudah meninggal dunia. Namun, beliau mengambil tarbiah sufi daripada anaknda Sheikh Al-Hasanain bernama Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi r.a. yang mengikut jejak langkah ayahndanya yang sangat berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah dalam manhaj tarbiah.
Inilah isyarat Allah s.w.t. dalam diri Imam Hasan Al-Banna. Sebagaimana mujaddid-mujaddid terdahulu yang bermula dengan tarbiah sufi, seperti Imam Al-Ghazali r.a., Imam Fakhruddin Al-Razi, Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a. dan sebagainya, Imam Hasan Al-Banna juga mendapat kemanisan ditarbiah oleh murobbi sufi yang mempunyai rantai izin tarbiah yang jelas bersambung kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Ini membolehkan Imam Hasan Al-Banna mendapat tarbiah daripada sumber tarbiah utama dalam masyarakat Islam sejak zaman salaf lagi.
Imam Hasan Al-Banna mengakui keagungan manhaj tarbiah sufiyyah yang tidak akan dapat diganti oleh mana-mana manhaj lain sebagaimana dalam perkataan beliau dalam buku yang sama:
“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai mertabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).”
Hal ini menunjukkan betapa Imam Hasan Al-Banna, biarpun sudah menubuhkan suatu jemaah yang banyak berperanan dalam masyarakat, namun masih mengakui bidang tarbiah khusus adalah bidang golongan sufi (muhaqqiqin), malah merekalah ahli tarbiah yang mana manhaj tarbiah mereka tidak dapat dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan golongan sufi.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan aspek kerohanian ini ditarbiah oleh murobbi yang sempurna khususnya dari kalangan golongan sufi muhaqqiqin. Dalam ungkapan lain, beliau berkata:
“Tidak syak lagi bahawasanya dengan berpegang kepada kaedah-kaedah tasawwuf dalam bidang tarbiah dan suluk membawa kesan yang sangat kuat dalam jiwa dan hati seseorang. Bahkan, kata-kata para sufi dalam bab tarbiah ini mempunyai kesan yang sangat mendalam, yang tidak akan didapati daripada kata-kata selain daripada golongan sufi…”[ibid]
Imam Hasan Al-Banna juga memberi ruang luas kepada pengikutnya untuk mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi yang kamil. Malah, Imam Hasan Al-Banna juga mempunyai idea yang sangat jelas dalam dakwah iaitu, tidak terlalu pentingkan nama jamaah. Baginya, siapa sahaja yang sama fikrah dengan Ikhwan adalah dari kalangan Al-Ikhwan walaupun bukan dari kalangan ahli Al-Ikhwan. Malah, siapa sahaja yang tidak mempunyai fikrah sebenar ikhwan dianggap bukan daripada Al-Ikhwan walaupun berada dalam jemaah tersebut.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna mempunyai ramai rakan karib khususnya dari kalangan para ulama’. Beliau sendiri tidak menjauhi ulama’ dan merasakan diri boleh berdakwah tanpa bantuan mereka, namun beliau sentiasa mengharapkan kerjasama khusus daripada golongan sufi dan ulama’ Al-Azhar (khususnya di Mesir), agar dakwah mereka terus berkembang.
Antara ulama’ tersebut yang beliau dampingi (khususnya sejak dari awal usia) beliau adalah seperti Sheikh Yusuf Ad-Dijiwi, Sheikh Muhammad Hafiz At-Tijani, Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi, Sheikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan sebagainya. Ini menyebabkan pada awal dakwah Al-Ikhwan, ramai ulama’ Al-Azhar membantu dalam menyebarkan risalah dakwah tersebut. Ini disebabkan eratnya hubungan Imam Hasan Al-Banna dengan ulama’ tradisional di Mesir (kalau di Malaysia, ulama’-ulama’ pondok-lah).
Biarpun Imam Hasan Al-Banna membentuk jemaah dakwah yang baru, namun beliau tetap beriltizam dengan zikir-zikir yang telah beliau ambil daripada tarikat husofiyyah. Sheikhu Sheikhna Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi berkata dalam menceritakan tentang Imam Hasan Al-Banna:
"وقد حدثني كبار رجاله و خواص أصحابه أنه بقى متمسكا بهذة الأأشغال و الأوراد إلى آخر عهدهMaksudnya: “Pemimpin besar dan teman-teman rapatnya (Imam Hasan Al-Banna) memberitahuku bahawasanya beliau (Imam Hasan) sentiasa berpegang dengan wirid-wirid dan amalannya (Tarikat Husofiyyah) sehingga akhir usianya
[At-Tafsir As-Siyasi lil Islam: 130]
Malah, jemaah ikhwan juga dikaitkan dengan sufi sebagaimana diakui oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri dengan slogannya antaranya “hakikat sufiyyah” dan dijadikan antara dua intipati utama jemaah Ikhwan iaitu “Sufi ‘Askari”.
Sudut Kesufian Imam Hasan Al-Banna r.a.: Di sisi Para Ulama’ Ikhwan
Sheikh Sa’id Hawwa, seorang ulama’ sufi dalam jemaah Ikhwan berkata:
ثم إن الإخوان المسلمين نفسها أنشأها صوفي و أخذت حقيقة التصوف دون سلبياتهMaksudnya: “Kemudian Al-Ikhwan Al-Muslimin itu sendiri diasaskan oleh seorang sufi yang mengambil hakikat tasawwuf tanpa sudut negatifnya (yang berlaku dalam sesetengah orang yang menisbahkan diri kepada sufi tetapi jahil).
[Jaulat min Al-Fiqhain: 154]
Dalam penggunaan jemaah Ikhwan juga, mereka mengambil istilah golongan sufi iaitu istilah mursyid yang digunakan oleh madrasah tarbiah sufiyyah sejak zaman berzaman. Ini merupakan isyarat yang jelas pengaruh manhaj sufi dalam Ikhwan walaupun sebahagian golongan pemuda yang menisbahkan diri kepada dakwah Hasan Al-Banna menjauhi golongan sufi muhaqqiq (berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah). Mereka dan Imam Hasan Al-Banna jauh masyrabnya (minuman kerohanian) yang sangat cenderung kepada mencintai kaum sufi.
Oleh kerana itu juga, Sheikh Sa’id Hawwa menjelaskan bahawasanya, Imam Hasan Al-Banna sudah mencapai tahap mursyid kamil, suatu tahap yang melayakkan Imam Hasan Al-Banna memberi tarbiah khusus (kerohanian) kepada muridnya (ahli Al-Ikhwan), di sisi manhaj tarbiah sufi. [rujuk Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah: m/s 21] Malah, menurut Sheikh Sa’id Hawwa lagi, sememangnya mursyid kamil (di sisi manhaj tarbiah kaum sufi) adalah pewaris Nabi –shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang sempurna khususnya dalam bidang tarbiah. [Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah: 159]
Sheikh Sa’id Hawwa berkata lagi secara khusus tentang tasawwuf dan kesufian dalam Ikhwan Muslimin dengan berkata:
ولقد كتبت كتاب (تربيتنا الروحية) لتوضيح أحد مواضيع الفقهين الكبير و الأكبر وهو موضوع التصوف المحرر لأضع الأمور في مواضعها في قضية الحقيقة الصوفية التي هي إحدى السمات الرئيسية لدعوة الأستاذ البنا رحمه اللهMaksudnya: “Saya telah menulis kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah untuk menjelaskan salah satu daripada dua F iqh samada Fiqh Al-Kabir dan Fiqh Al-Akbar iaitulah perbahasan “Tasawwuf Al-Muharrar” (yang bebas daripada sudut pandang yang samar-samar) untuk menjelaskan beberapa perkara khususnya melibatkan topik Hakikat Kesufian yang merupakan salah satu ciri-ciri khusus yang utama bagi dakwah Ustaz Al-Banna r.a..”
[Al-Jaulaat: 17]
Pengaruh Latar Belakang Sheikh Muhammad Abduh di Sebalik Imam Hasan Al-Banna
Imam Hasan Al-Banna dinilai sebagai antara individu yang terpengaruh dengan idea islah dan tajdid Sheikh Muhammad Abduh, iaitu seorang tokoh dan pemikir di Mesir sebelum Hasan Al-Banna. Tidak dapat dinafikan, latar belakang Sheikh Muhammad Abduh mempunyai persamaan dengan Imam Hasan Al-Banna khususnya dalam mengambil tarbiah sufi.
Sheikh Muhammad Abduh yang membesar di Tanta bersahabat dengan seorang murobbi sufi di Masjid Ahmad Al-Badawi iaitu Sheikh Darwish yang mengajarkan kata-kata mutiara golongan sufi dan kepentingan dakwah dan islah dalam masyarakat. Sudah tentulah, pengaruh Sheikh Darwish yang merupakan seorang sufi dalam masa yang sama menyeru ke arah islah masyarakat, menyumbang kepada pemikiran islah dalam Sheikh Muhamamd Abduh. Malah, Sheikh Darwishlah yang menyeru agar Sheikh Muhammad Abduh mendalami Al-Qur’an dengan penuh penghayatan. [Tarikh Al-Ustaz Al-Imam 1/23 dan Ulum Al-Qur’an oleh Sheikh Dr. Abdullah As-Syahatah m/s 32]
Imam Hasan Al-Banna juga mengambil idea Islah dengan mafhum yang menyeluruh (syumul) dan usul dakwah yang berkesan daripada mursyid beliau, Imam Abdul Wahab Al-Husofi r.a.. Maka, dengan bimbingan kerohanian yang mendalam melalui madrasah sufi inilah akhirnya membuka ruang pemikiran yang luas dengan disinari suluhan limpahan cahaya Allah s.w.t..
Kesufian Umar At-Tilmisani (Mursyidul Am Ketiga bagi Al-Ikhwan Al-Muslimun)
Al-Ustaz Umar At-Tilmisani (Mursyid Am Ikhwan Muslimin ketiga) juga seorang tokoh Ikhwan yang sangat mencintai golongan sufi dan para wali. Pada asalnya, beliau sendiri membesar dalam keluarga yang kuat mengikut fikrah Muhammad Abdul Wahab. Menurut beliau, datuk beliau sendiri kuat berpegang dengan fikrah Muhammad Abdul Wahab sehingga selalu berdebat dengan golongan sufi. Namun, cucunya (Umar At-Tilmisani) pula berbeza dengan pendirian datuknya dari sudut itu. Beliau lebih terbuka dengan golongan sufi khususnya setelah beliau terlibat dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun.
Pengaruh sufi sangat kuat dalam diri beliau yang sering menziarahi maqam para wali sebagaimana yang dijelaskan dalam Syahid Al-Mihrab Umar bin Al-Khattab. Dalam buku tersebut juga mempunyai banyak amalan tawassul yang disyariatkan dalam Islam di samping saranan ke arah menziarahi kubur untuk tujuan mengingatkan kita kepada kematian dan sebagainya. Malah, dalam buku tersebut membahaskan tentang kehidupan Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di alam Barzakh, keutamaan mencintai para wali Allah dan sebagainya.
Sheikh Umar At-Tilmisani pernah berkata dalam mengungkapkan kecintaannya kepada kaum sufi secara jelas:
بقيت لدينا طائفة من المسلمين هم من أحب الناس إلى قلبي، ومن أقربهم إلى نفسي، أولئك هم أصحاب الطرق الصوفية، ولست أقصدهم جميعًا على إطلاقهم، وإنما عنيت منهم من صفت سريرته وطابت بالتقوى دخيلته، وحسنت بالإيمان نيته، أقصد منهم من عرف طريق التصوف حق معرفته فأخلص لله عمله وألزم نفسه سبيل المؤمنين"Maksudnya: “Masih kekal di sisi kami (Ikhwan Muslimin menurut beliau) suatu kelompok dalam kalangan umat Islam, yang mana mereka adalah manusia yang paling saya cintai dihatiku dan yang paling dekat kepada diriku. Mereka adalah ahli-ahli tariqat sufiyyah. Saya tidak bermaksud keseluruhan mereka secara mutlak. Tetapi, yang saya maksudkan adalah golongan yang bersih sirr (hati)nya, yang disulami taqwa dalamannya dan baik keimanannya dalam niatnya dalam kalangan mereka (sufi). Saya maksudkan daripada mereka adalah orang yang mengenali jalan tasawwuf dengan sebenar-benar pengenalan, maka dia mengikhlaskan amalannya kerana Allah dan beriltizam dengan jalan orang-orang beriman (syariat dan hakikat).”
[Al-Ikhwan Al-Muslimun: Mabda’ wa Fikrah wa Aqidah tahun 1936]
Sungguh sepertimana biasa, buku Syahid Al-Mihrab juga menjadi tempat kritikan sebahagian besar pengaku salafi lalu menghukum jemaah Ikhwan Muslimin sebagai jemaah sesat. Banyak fitnah dan salah tafsir terhadap ungkapan-ungkapan dalam buku ini dilakukan demi memburukkan Ikhwan Muslimin yang secara khusus mempunyai hubungan dengan kaum sufi yang mereka benci.
Sheikh Sa’id Hawwa: Ulama’ Sufi Berpengaruh dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun
Sheikh Sa’id Hawwa merupakan seorang tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimun yang sangat dekat dengan kaum sufi. Malah, beliau antara tokoh yang sangat berperanan dalam memasukkan ilmu tasawwuf islami ke dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya melalui kitab beliau Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah.
Beliau berkata lagi:
“Saya telah mengambil ilmu tasawwuf daripada beberapa ulama’ sufi yang menurut saya antara ulama’ agung tasawwuf pada zaman ini, juga ulama’ yang paling teliti dalam ilmu tasawwuf ini. Sebahagian masyaikh sufi memberi izin kepadaku untuk memberi tarbiah, membimbing murid-murid dan aku tidak bergantung dalam urusan tarbiah ini melainkan hanya kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah…”[Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 16]
Beliau berkata lagi:
“Saya –dengan sifat pemurah Allah- diberi izin atas tariqah sufiyyah untuk memberi talqin wirid-wirid yang umum ataupun talqin ism Mufrad (lafaz ALLAH) maka saya katakan: “Sesungguhnya Sheikh tidak patut bergantung melainkan kepada As-Sunnah.”[Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 301-302]
Antara murobbi Sheikh Sa’id Hawwa adalah Sheikhu Sheikhna Sayyidi Abdul Qadir Isa Al-Halabi, pengarang kitab Haqo’iq ‘Ani At-Tasawwuf, yang juga merupakan murobbi kepada murobbi kami Sheikhna As-Syarif Yusuf bin Muhyiddin Al-Bakhour Al-Hasani.
Peranan Sheikh Said Hawwa dalam jemaah Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya dalam bidang tarbiah ketehui umum. Beliau terlibat secara langsung dalam bidang tarbiah jemaah Al-Ikhwan berteraskan kelayakan beliau dalam bidang tarbiah kerohanian.
Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud Al-Azhari: Murobbi Ikhwan yang Sufi
Adapun Sheikhul-Azhar terdahulu iaitu Sheikh Abdul Halim Mahmud, maka beliau ialah seorang ulama’ sufi yang masyhur. Beliau sangat berperanan dalam mengembangkan islah dalam kaum sufi dan ilmu tasawwuf. Beliau banyak mengarang kitab-kitab yang membela ilmu tasawwuf dan kaum sufi. Antara kitab tasawwuf karangan beliau adalah seperti Madrasah As-Syaziliyyah, tahqiq kepada Latho’if Al-Minan dan sebagainya.
Beliau membantu Imam Hasan Al-Banna dalam dakwah haraki beliau kerana dasar keterbukaan Imam Hasan Al-Banna yang mendekati para murobbi sufi untuk mentarbiah ahli Al-Ikhwan Al-Muslimun. Antara buku Sheikhul Azhar yang menjelaskan pendirian beliau terhadap Al-Ikhwan adalah: Al-Ikhwan Al-Muslimun: Ahdaath Sana’at At-Tarikh.
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi: Sudut Kesufian yang Tersembunyi
Inilah ungkapan yang diberikan oleh Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dalam menilai Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau (Al-Qaradhawi) sendiri meriwayatkan perkataan Dr. Al-Buti yang berkata: “Al-Qaradhawi sufi yang menerima (tasawwuf) di sebalik zahir kesalafian (kerana selalu menggunakan lafaz-lafaz seperti Salafiyyah, Ibn Taimiyyah dan sebagainya)” [Al-Hayah Al-Rabbaniyyah wa Al’Ilm: muqoddimah dan Ahl Al-Qaryah wa Al-Kuttab]. Ini kerana, Dr. Al-Qaradhawi lebih cenderung menilai ilmu tasawwuf dari kaca mata Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim walaupun beliau akui, Imam Al-Ghazali adalah antara sufi terawal yang mempengaruhi beliau menerusi kitab-kitab beliau antaranya Ihya’ Ulumiddin dan Minhaj Al-‘Abidin. [Al-Hayah Ar-Rabbaniyyah wa Al-‘Ilm: ibid]
Adapun dari sudut praktikal, maka murobbi rohani Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi adalah Sheikhul Azhar sendiri iaitu Imam Abdul Halim Mahmud dan Sheikh Al-Bahie. Ini menunjukkan juga bahawasanya Sheikh Al-Qaradhawi mendapat bimbingan kaum sufi walaupun bukan dalam sistem tarbiah tarikat sufiyyah.
* * *
Antara tokoh-tokoh Ikhwan yang mempunyai latar belakang tarbiah sufi sebelum memasuki Al-Ikhwan adalah seperti Ustaz Al-Haj Farj Al-Najjar, Ustaz Mahmud Abu Riyyah, Sheikh Muhammad As-Sanusi dan sebagainya.
Antara tokoh-tokoh Al-Ikhwan lain yang turut mempertahankan sudut Haqiqah Sufiyyah dalam Al-Ikhwan adalah seperti Sheikh Musthofa As-Siba’ie, Sheikh Abdul Rahman Al-Banna, Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti, Sheikh Dr. Ali bin Abdul Halim Mahmud, Al-Ustaz Taufiq Al-Wa’ie dan sebagainya (yang mana sesetengahnya dikafirkan atau dituduh sesat oleh sesetengah Jemaah Takfiriyyah).
Begitu juga beberapa tokoh Al-Ikhwan yang mempertahankan tasawwuf sunni dalam tarbiah Al-Ikhwan seperti Sheikh Dr. As-Sayyid Nuh, Sheikh ‘Abduh Musthafa Dasuki (rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun wa As-Shufiyyah), Ustaz Abdul Aziz Kahil (rujuk: Hasan Al-Banna Al-Murobbi Al-Mujaddid), Ustaz Jum’ah Amin (rujuk risalah Halawah Al-Iman Wa Nur Al-‘Ibadah), Dr. Khalid Fahmi (rujuk Zahirah Ad-Du’ah Al-Judud… Ar-Ru’yah Al-Mu’arradhah), Dr. Mamduh Al-Munir (rujuk: Ar-Rajul Allazi Ahya Fikratahu bi Mautihi), Dr. Rafiq Habib, Dr. Jabir Qamihah, Dr. Muhammad Badi’e, dan sebagainya
Seruan Imam Hasan Al-Banna Agar Pengikutnya Mendampingi Kaum Sufi Muhaqqiq
Imam Hasan Al-Banna tidak mengasaskan jemaahnya tanpa tujuan. Malah, beliau sangat terkesan dengan dakwah tarikat husofiyyah yang beliau sertai. Ini kerana, manhaj tarbiah sufiyyah melahirkan masyarakat Islam yang menghayati makna hidup yang tinggi, yang membentuk sebuah bi’ah sholehah.
Ketika meningkat remaja, Imam Hasan Al-Banna mencapai kematangan hidup dengan tarbiah rohani kaum sufi. Lalu, beliau mula memikirkan suatu idea untuk mengislah masyarakat Islam secara lebih progresif dan lebih meluas.
Imam Hasan Al-Banna mengasaskan suatu jemaah di bawah Tarikat Husofiyyah dengan dikenali sebagai Jam’iyyah Al-Husofiyyah Al-Khairiyyah untuk meluaskan dakwah kepada mengajak masyarakat ke arah menghayati hidup dengan kefahaman Islami. Dakwah tersebut diterima secara meluas menjangkau pengikut Tarikat Al-Husofiyyah tersebut. Ini memberi isyarat halus dalam diri Imam Hasan Al-Banna untuk meluaskan skop dakwahnya, daripada batasan nama kumpulan atau tarikat tertentu.
Disebabkan itulah, Imam Hasan Al-Banna menubuhkan jemaah Ikhwan Muslimin untuk meluaskan dakwah yang pernah dibawa oleh kaum sufi secara juz’ie (berpisah-pisah dan bercabang-cabang) berdasarkan kefahaman beliau. Dari sudut manhaj dakwahnya, Imam Hasan Al-Banna menyeru ke arah cara berdakwah sebagaimana salafus-soleh (bukan pengaku salafi moden) yang menjangkau batasan nama-nama pertubuhan dan sebagainya.
Namun, jalan amalan yang dipegang adalah jalan sunni, iaitu yang menepati Al-Qur’an dan As-Sunnah. Namun, jalan sunni ini bukanlah sebagaimana yang difahami oleh sesetengah golongan yang menyempitkan makna bid’ah. Imam Hasan Al-Banna sendiri memahami makna bid’ah dan sunnah yang lebih luas. Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna tidak menganggap tawassul sebagai syirik, dan beliau sendiri menyambut maulidul Rasul. Jalan sunni yang beliau fahami adalah sebagaimana yang difahami oleh Al-Azhar As-Syarif sendiri yang tidak jumud dalam membid’ahkan masalah-masalah khilafiyyah.
Namun, apa yang lebih penting, beliau tetap tidak mahu terpisah daripada manhaj kaum sufi yang pernah berperanan penting dalam membentuk syakhsiyyah beliau lalu menisbahkan jemaah beliau kepada sufiyyah dengan mengatakan bahawasanya, hakikat jemaah Al-Ikhwan adalah hakikat yang dimiliki oleh kaum sufi (haqiqah sufiyyah). Ini kerana, beliau sedar, walaupun beliau dapat melahirkan ramai ‘amilin yang terlibat dalam melakukan ‘amal islami, namun tanpa tarbiah para murobbi sufi yang kamil, pergerakan Islam beliau tidak akan membawa kepada natijah yang besar.
Oleh kerana itulah, dalam Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah, beliau berharap agar kesatuan dapat diwujudkan antara kaum sufi yang muhaqqiq, para ulama’ Al-Azhar (merujuk kepada persekitaran Imam Hasan di Mesir) dan para penggerak dalam haraki. Menurut beliau, tanpa kesatuan antara ketiga-tiga kelompok terbesar ini, maka tidak dapat membentuk kekuatan besar dalam membawa kepada islah dunia Islam.
Berdasarkan roh kesatuan inilah, Imam Hasan Al-Banna mengambil sikap terbuka dan sentiasa mendekatkan diri dengan para murobbi sufi dan menggalakkan para Ikhwan mengambil tarbiah sufiyyah khusus daripada kaum sufi agar mereka mendapat apa yang pernah beliau sendiri dapati daripada tarbiah sufiyyah.
Di samping itu juga, beliau sangat mengharapkan agar para ulama’ sufi khususnya, membaiki keadaan yang berlaku dalam kelompok orang-orang awam yang menisbahkan diri kepada sufi, namun melakukan banyak penyelewengan dan kerosakan. Beliau sangat kagum kepada Sheikh Taufiq Al-Bakri dan Sheikh Abdullah Al-‘Afifi yang cenderung untuk melakukan islah dalam kelompok sufiyyah. Beliau juga sering mengunjungi para murobbi sufi terutamanya Sheikh Sayyid Muhammad Uthman dan sebagainya sepertimana yang diriwayatkan dalam Al-Ikhwan Al-Muslimin Al-Ahdaath Sona’at At-Tarikh [2/20].
Antara tanda-tanda Imam Hasan Al-Banna r.a. tidak memisahkan diri daripada manhaj sufiyyah adalah dengan menggunakan kitab-kitab turath kaum sufi dalam manhaj tarbiahnya dalam jemaah Ikhwan seperti kitab-kitab:
- Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari oleh Imam As-Sakandari As-Syazili r.a.
- Ihya’ Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali r.a.
- Risalah Al-Mustarsyidin oleh Imam Al-Muhasibi r.a.
- Al-Mawahib Al-Ladunniyyah oleh Imam Al-Qostollani r.a.
- Al-Anwaar Al-Muhammadiyyah oleh Imam An-Nabhani r.a.
- Ar-Risalah Al-Qusyairiyyah oleh Imam Al-Qusyairi r.a.
Dan sebagainya [Al-Ikhwan wa As-Shufiyyah Maadhin ghair Musta’ad oleh Husam Tamam]
Sikap Imam Hasan Al-Banna yang mendekati para murobbi sufi memberi impak besar dalam perkembangan jemaah beliau. Beliau tahu, tanpa bantuan para murobbi sufi dalam jemaah beliau, maka manhaj tarbawi dalam Ikhwan tidak akan mencapai tahap yang tinggi. Ini kerana, sememangnya bidang tarbiah adalah pengkhususan bagi para murobbi sufi.
Dengan kepentingan inilah, Imam Hasan Al-Banna memberi dua cara untuk tidak memisahkan Ikhwan daripada para murobbi sufi. Pertama: Beliau mendekati para murobbi dan ulama’ sufi agar mereka membantu sudut tarbiah Ikhwan walaupun mereka tidak berintima’ kepada jemaah tersebut secara langsung. Kedua: Beliau memberi galakan kepada para ahli jemaahnya untuk mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi kerana para murobbi sufilah golongan yang ahli dalam tarbiah kerohanian.
Pendirian Imam Hasan Al-Banna dalam mengalu-alukan bantuan para ulama’ murobbi sufi mendapat sambutan dari kalangan para murobbi sufi tempatan dan antarabangsa. Ramai para ulama’ sufi membantu Imam Hasan Al-Banna dalam sudut tarbiah khusus terutamanya seperti Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud dan sebagainya.
Setelah itu juga, para ulama’ sufi seperti Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim dan Sheikh Mutawalli As-Sya’rawi juga turut terlibat membantu sudut tarbiah jemaah Ikhwan Muslimin. Sheikh Sa’id Hawwa di Syria juga mengembangkan ilmu-ilmu tasawwuf dalam institusi rujukan jemaah Ikhwan Muslimin.
Fokus Utama Pada Tarbiyyah Ummah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun
Menanamkan penghayatan terhadap makna kehambaan diri, makna ketuhanan Allah s.w.t. dalam diri dan makna kehidupan adalah antara fokus utama dalam dakwah Ikhwan Muslimin, sebagaimana yang sangat ditekankan oleh para ulama’ mereka seperti Imam Hasan Al-Banna sendiri, Sheikh Sa’id Hawwa, Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud, Sheikh Muhammad Al-Ghazali dan sebagainya.
Dalam marhalah ini, para ulama’ Ikhwan khususnya memfokuskan kepada proses tarbiah ruhiyyah dalam masyarakat Islam. Ini dikuatkan lagi dengan perkataan Sheikh ‘Abduh Mustofa Dusuki yang berkata:
وهكذا كانت تربية الأمة أول اهتمامات جماعة الإخوان المسلمين،
Maksudnya: “Begitulah sesungguhnya tarbiah Ummah adalah fokus yang paling utama bagi jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin” [Al-Ikhwan wa As-Siyasah Al-Hizbiyyah (1)]
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi turut menjelaskan hal yang hampir serupa ketika membandingkan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan Al-Jamaah Al-Islamiyyah di India yang diasaskan oleh Sheikh Abu Al-‘Ala Al-Maududi. Beliau berkata:
“Sebenarnya, tiada beza dari sudut tujuan-tujuan antara Al-Ikhwan dan Al-Jama’ah melainkan Al-Ikhwan lebih mementingkan sudut tarbiah sedangkan Al-Jama’ah lebih menumpukan sudut pemikiran…” [Ummatuna Baina Qarnain: m/s 67]
Fokus utama kepada tarbiah ummah inilah sebenarnya inti dalam ungkapan haqiqah sufiyyah (hakikat kesufian) kerana fokus utama tersebut diambil dari manhaj tarbiah golongan sufi. Cuma, Imam Hasan Al-Banna cuba meluaskan skop dakwah kepada seluruh umat Islam dan meluaskan fokus kepada segenap aspek kehidupan.
Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna menjelaskan, ketika ditanya adakah Al-Ikhwan Al-Muslimun itu suatu tarikat sufiyyah, maka beliau menjawab:
طريقة صوفية نقية: لإصلاح النفوس وتطهير الأرواح وجمع القلوب على الله العلي الكبير.Maksudnya: “(Benar). Tariqah Sufiyyah yang bersih: iaitu untuk memperbaiki jiwa, membersihkan rohani dan menghimpunkan hati-hati kepada Allah s.w.t. yang Maha Tinggi lagi Maha Besar.
[ucapan beliau pada اجتماع رؤساء المناطق والشعب (perhimpunan pemimpin-pemimpin tempatan dan masyarakat)]
Penulis melihat, hatta manhaj dakwah kaum sufi juga mempunyai skop dan fokus yang luas menjangkau sempadan jama’ie dan hizbi sebagaimana yang diinginkan oleh Imam Hasan Al-Banna. Cuma, penerapan terhadap penghayatan Islam dalam masyarakat oleh para ulama’ sufi berlaku secara tidak langsung dengan slogan dakwah mereka ke arah “satu ummah muhammadiyyah”. Mereka memfokuskan kepada “menuju Allah s.w.t.” dalam setiap gerak geri manusia. Namun, pergerakan dakwah golongan sufi tidak terungkap dengan slogan-slogan dalam muktamar-muktamar rasmi kerana mereka adalah suatu golongan yang lebih banyak “perlaksanaan” daripada “berkata-kata”. Oleh kerana itu, berdasarkan kajian dari sudut sejarah sahaja, didapati dakwah golongan sufi (sunni) meluas ke serata dunia di setiap zaman.
Hal ini diakui oleh Imam Hasan Al-Banna sendiri dalam Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah. Sejarah telah membuktikan, terutamanya kedatangan Islam ke Nusantara, semuanya adalah daripada usaha dakwah para sufi khususnya dari Hadramaut dan sebagainya. Dakwah mereka dibantu oleh Allah s.w.t. kerana sekian lama, sememangnya golongan sufilah yang berperanan penting samada dalam menyebarkan dakwah mahupun tarbiah ummah.
Kita dapat melihat pengaruh kesufian dalam para ulama’ Nusantara khususnya yang mengambil ilmu agama dari Tanah Haramain dan Mesir yang pada ketika itu dipenuhi para ulama’ sufi yang kamil. Agama Islam dikembangkan terutamanya dalam Nusantara dengan tangan-tangan para ulama’ sufi ini, yang dibantu oleh bantuan Allah s.w.t..
Oleh kerana itu, tidak timbul sebenarnya, dakwah sufiyyah tidak menyeluruh ke segenap aspek kehidupan, kerana dakwah sufiyyahlah yang melahirkan Imam Hasan Al-Banna itu sendiri dan beberapa mujaddid lain seperti Maulana Ilyas (pengasas jemaah Tabligh) dan sebagainya. Mungkin sebahagian orang awam yang menisbahkan diri kepada sufi menggambarkan suatu gambaran yang ganjil, namun para ulama’ dan murobbi sufi di serata dunia sangat berperanan dalam segenap aspek dalam masyarakat.
Namun, berdasarkan ijtihad Imam Hasan Al-Banna, beliau ingin menjadikan wadah dakwah sufiyyah lebih meluas dengan tidak menggunakan nama tarikat sufiyyah namun mengekalkan intipati kesufian lalu menubuhkan jemaah Ikhwan Muslimin. Imam Hasan Al-Banna menyeru masyarakat Islam umumnya ke arah kefahaman “Islam syumul” yang difahami oleh beliau daripada tarbiah sufiyyah.
Tradisi Menyambut Maulid Nabi -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di Sisi Pelopor-pelopor Al-Ikhwan Al-Muslimun
Antara ciri-ciri utama tarbiah Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya di sisi para pelopornya adalah, menjadikan tradisi menyambut Maulidul Rasul sebagai suatu yang sangat digalakkan dan amalannya dilakukan secara meluas. Ini kerana, tradisi tersebut justeru adalah antara wasa’il (cara-cara) mendekatkan masyarakat Islam dengan “kecintaan kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Ini juga antara tradisi yang diamalkan oleh majoriti umat Islam khususnya para sufi. Antara pengisian-pengisian majlis Maulidul Rasul adalah seperti bacaan Al-Qur’an, bacaan Hadith-hadith, memberi pengisian tentang sirah Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- dan membaca qasidah-qasidah memuji Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang mana semua pengisian tersebut ada sandarannya dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Antara keganjilan lagi adalah, mereka yang terlibat dalam dakwah yang kononnya menisbahkan diri kepada Imam Hasan Al-Banna, namun menjauhi tradisi menyambut Maulidil Rasul -shollaLlahu ‘alaihi wasallam-. Malah, lebih menghairankan, jika ada dari kalangan mereka berbangga tidak menyambut Maulidil Rasul -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- malah menyamakannya dengan amalan golongan Kristian (Na’uzubillah).
Bukanlah perbahasan hukum menyambut Maulid Ar-Rasul -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang ingin dibahas di sini. Ianya sudah jelas hukum kebolehan mengamalkannya melainkan di sisi segelintir orang yang mengingkarinya -hanya kepada Allah s.w.t.-lah kita serahkan urusan mereka-.
Imam Hasan Al-Banna menceritakan kecintaannya kepada amalan menyambut Maulid dengan berkata:
وأذكر أنه كان من عاداتنا أن نخرج فى ذكرى مولد الرسول صلى الله عليه وسلم بالموكب ونحن ننشد القصائد المعتادة فى سرور كامل و فرح تامMaksudnya: “…dan saya sebut bahawasanya antara adat kebiasaan kami adalah dengan kami keluar memperingati Maulid Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di suatu tempat, lalu kami bernasyid dengan qasidah-qasidah yang biasa dibaca pada menzahirkan kegembiraan yang penuh dan keriangan yang sempurna.”
[Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah: 48 dan 54]
Sheikh Abbas As-Sisi menceritakan tentang sambutan Maulid bersama Imam Hasan Al-Banna r.a. di Masjid Nabi Daniel di Iskandariyyah, Mesir. Malah, Imam Hasan Al-Banna sangat menggalakkan amalan menyambut dan memperingati Maulid Rasulillah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- [Fi Qofilah Al-Ikhwan Al-Muslimin 1/48]
Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud r.a. juga menceritakan tentang tradisi menyambut Maulid Rasul dalam kalangan Ikhwan:
كنا نذهب جميعا كل ليلة إلى مسجد السيدة زينب فنؤدي صلاة العشاء، ثم نخرج من المسجد، ونصطف صفوفًا، يتقدمنا الأستاذ المرشد حسن البنا، ينشد نشيدًا من أناشيد المولد النبوي، ونحن نردده من بعده بصوت جهوري جماعيMaksudnya: “Kami selalunya pergi beramai-ramai pada setiap malam menuju Masjid As-Sayyidah Zainab lalu kami menunaikan solat Isya’. Setelah itu kami keluar daripada masjid lalu membentuk beberapa saf (barisan) yang dipimpin di hadapan oleh Imam Mursyid Hasan Al-Banna, lalu beliau bernasyid dengan nasyid daripada nasyid-nasyid maulid Nabawi lalu kami mengikutinya (dalam bernasyid) dengan suara yang kuat secara berjamaah”
[Al-Ikhwan Al-Muslimun Ahdaath Sana’at At-Tarikh 1/109]
Amat malang bagi sesetengah pemuda yang menisbahkan diri kepada dakwah Imam Hasan Al-Banna namun tidak pernah menghadiri acara-acara maulid yang mengandungi bacaan qasidah-qasidah memuji Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sebagaimana yang menjadi amalan golongan ulama’ tradisional, golongan sufi dan para pelopor Ikhwan Muslimin suatu ketika dahulu. Mereka ini seolah-olah terasing daripada masyrab (minuman kerohanian) para penghulu Al-Ikhwan Al-Muslimun dan pengasasnya, bagaikan mereka di suatu lembah dan Imam Hasan Al-Banna di suatu lembah yang lain. Ini membawa kepada perwatakan baru dalam kelompok yang menisbahkan diri kepada dakwah Imam Hasan Al-Banna setelah generasi Imam Hasan Al-Banna r.a..
Jika kita singkapi tradisi sebahagian ulama’ besar Ikhwan seperti Sheikh Musthafa As-Siba’ie, beliau sendiri sebagaimana dalam majalah Hadharah Al-Islam [562-563 edisi khas sempena pemergian Sheikh Musthafa] menyusun qasidah-qasidah indah memuji dan bertawassul kepada Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- di maqam Baginda -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam berdasarkan dalil-dalil yang jelas.
Amalan tawassul dan sebagainya turut dibela oleh ulama’ besar Ikhwan iaitulah Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Beliau mengarang suatu fasal khusus dalam kitabnya bertajuk Fusulun Fi Al-Aqidah dalam menyenaraikan hujah-hujah dari Al-Qur’an dan As-Sunnah tentang keharusan amalan tawassul dengan kedudukan para nabi dan para solihin yang telah meninggal dunia. Ia demi membela usul Imam Hasan Al-Banna yang menganggap tawassul adalah kaifiyyat berdoa, bukan maslalah aqidah sebagaimana yang dituduh oleh sesetengah Mutasallif.
Ini antara lain menunjukkan secara jelas sudut kesufian dalam dakwah awal Al-Ikhwan Al-Muslimun sebelum bercampur dengan beberapa pemikiran asing ke dalam sesetengah kelompok dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun.
Tarbiah Sufiyyah Sunniyyah: Keperluan Utama dalam Harakah Islamiyyah
Al-Ikhwan Al-Muslimun, suatu jemaah atau kumpulan muslimin yang berhimpun dalam sebuah organisasi untuk merealisasikan risalah Islam ke segenap sudut kehidupan masyarakat Islam, dari setiap peringkat (individu muslim, keluarga Islami, masyarakat islami, negara Islami dan seterusnya khilafah Islamiyyah), sudah tentu sangat perlu kepada tarbiah rohani yang sempurna.
Oleh yang demikian, ilmu tasawwuf dengan maknanya yang asal, iaitulah ilmu Tazkiyyah An-Nufus yang berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah, sangat diperlukan dalam sesebuah jemaah yang ingin menterjemahkan Islam dalam kehidupan dan meluaskan peranan Islam ke dalam segenap lapisan hidup. Malah, bimbingan para ulama’ dan murobbi sufi yang muhaqqiqin sangat diperlukan bagi membimbing para ‘amilin yang terlibat dalam Amal Jama’ie dan dakwah.
Imam Hasan Al-Banna menceritakan kepentingan dan keagungan manhaj tarbiah kaum sufi dengan berkata:
“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).”[Muzakkirat Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah]
Beliau berkata lagi:
“Cara menghadapi segala kesukaran dalam amal, fikrah dan segala prinsip-prinsipnya yang ditempuh (dilakukan) oleh golongan sufi, semuanya itu termasuk uslub mentarbiah (mendidik) dan cara berpolitik Ikhwanul Muslimin” [ibid]
Sheikh Sa’id Hawwa berkata lagi secara khusus tentang tasawwuf dan kesufian dalam Ikhwan Muslimin dengan berkata:
“Saya telah menulis kitab Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah untuk menjelaskan salah satu daripada dua Fiqh samada Fiqh Al-Kabir dan Fiqh Al-Akbar iaitulah perbahasan “Tasawwuf Al-Muharrar (bebas dari sudut negatif)” untuk menjelaskan beberapa perkara khususnya melibatkan topik Hakikat Kesufian yang merupakan salah satu ciri-ciri khusus yang utama bagi dakwah Ustaz Al-Banna r.a..”
[Al-Jaulaat: 17]
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:
“Apa yang saya dapati daripada pengalaman sendiri dan berdasarkan kebiasaan turun ke lapangan bersama orang-orang awam mahupun ahli ilmu, bersama orang-orang yang lalai, bersama orang-orang yang terlibat dalam jemaah-jemaah Islam yang pelbagai (du’at dan ‘amilin) dan sebagainya, bahawasanya mereka semua memerlukan kepada tarbiah iman yang benar untuk menyucikan hati mereka daripada cinta kepada dunia, daripada cintakan nafsu diri, yang mampu membawa mereka kepada Allah sw.t., yang mampu membebaskan manusia daripada kehambaan kepada kebendaan, nafsu dan khayal agar mereka berpegang dengan kehambaan hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata yang mana ianya dapat menyucikan akal mereka daripada syirik, hati mereka daripada nifaq, lidah mereka daripada dusta mata-mata mereka daripada khianat, perkataan-perkataan mereka daripada kelalaian, ibadah mereka daripada riya’, muamalah mereka daripada tiput dan kehidupan mereka daripada pertembungan (dengan nafsu). [Muqoddimah dalam Al-Hayah Al-Ruhiyyah wa Al-‘Ilm]
Beliau berkata lagi:
(Setelah menyebut beberapa aspek keperluan seperti penyucian jiwa dan sebagainya lalu beliau berkata) “Inilah dia kesimpulan daripada ilmu tasawwuf…” [ibid]
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata lagi:
إننا نريد التصوف السني الملتزم بالنهج القرآني النبوي المتوازنMaksudnya: “Kita mahukan tasawwuf sunni yang berpegang dengan manhaj Al-Qur’ani An-Nabawi (Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang seimbang…”
[Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah: 25]
Begitu juga yang dijelaskan oleh Al-Ustaz Taufiq Al-Wa’ie bahawasanya, apa yang dipertahankan oleh Imam Hasan Al-Banna dan tokoh-tokoh Ikhwan adalah sufi yang berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah[rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun: Kubra Al-Harakat Al-Islmiyyah- Syubhat wa Rudud].
Secara jelasnya, Tarbiah Sufiyyah yang dimaksudkan oleh para tokoh Al-Ikhwan adalah tarbiah sufi yang bertepatan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Tarbiah ini juga yang dimaksudkan oleh para murobbi sufi yang muhaqqiqin dalam manhaj tarbiah mereka dalam madrasah tarikah sufiyyah. Hanya apa yang terzahir daripada keganjilan dan kepincangan yang dilakukan sesetengah kelompok awam yang menisbahkan diri kepada sufi dan tasawwuf, maka kesalahan tersebut tidak boleh dinisbahkan kepada kaum sufi keseluruhannya atau kepada ilmu tasawwuf keseluruhannya.
Ia sangat jelas daripada ungkapan Sheikh Sa’id Hawwa yang berkata, sebagai kesimpulan fasal ini:
والحركة الإسلاميه اعتمدت التربية الصوفية فكرًا وسلوكاً بشكل مجمل!Maksudnya: “Harakah Islamiyyah bergantung kepada Tarbiah Sufiyyah dari sudut fikrah dan suluk secara umumnya!”
[Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 17]
Inilah kepentingan ilmu tasawwuf Islami yang berteraskan Al-Qur’an dan As-Sunnah yang sangat diperlukan dalam masyarakat Islam umumnya, dan gerakan-gerakan dakwah khususnya. Sudah tentulah, ilmu tasawwuf ini perlu diambil daripada para murobbi sufi yang muhaqqiqin (berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang mewarisinya secara ilmu dan amal daripada para murobbi sufi muhaqqiqin terdahulu.
Suhbah (Persahabatan) dengan Murobbi Kamil: Intipati Tarbiyyah Sufiyyah
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata:
ونريد لباب التصوف الذي كان عليه الزهاد الأوائل، كالحسن البصري والفضيل بن عياض، وإبراهيم بن أدهم، وأبي سليمان الداراني، وأبي القاسم الجنيد، وأمثالهمMaksudnya: “Kami mahukan adalah intipati tasawwuf yang dipegang oleh golongan ahli zuhud terdahulu seperti Hasan Al-Bashri, Fudhail bin ‘Iyad, Ibrahim bin Adham, Abu Sulaiman Ad-Darani, Imam Junaid Al-Baghdadi dan sebagainya…”
[Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah 25].
Sudah tentulah, intipati tasawwuf yang dipegang oleh para sufi terdahulu sewajarnya diambil daripada tarbiah murobbi sufi yang muhaqqiq yang bersambung silsilah tarbiah tersebut sampai kepada para ulama’ sufi tersebut. Ilmu tasawwuf bukanlah ilmu teori semata-mata, tetapi suatu ilmu penerapan kerohanian dan rawatan yang mendalam. Ia tidak boleh dipraktikkan hanya dengan membaca buku-buku akhlak dan tasawwuf. Bukan begitu Imam Hasan Al-Bashri mencapai kesempurnaan akhlak. Begitu juga Fudhail bin ‘Iyadh, Imam Junaid dan sebagainya. Mereka menerima tarbiah di bawah seorang murobbi yang sempurna. Inilah manhaj ‘amali (praktikal) dalam Tazkiyyah An-Nufus.
Ustaz Muhammad Sholeh bin Ahmad berkata:
وقد كان أوائل الصوفیة حالھم وعلمھم في صدورھم یأخذھما الطالب عن شیخھ شفاھا ومجالسة وصحبة، ویتربى على شیخھ؛ ثم یأخذھما عنھ تلمیذهMaksudnya: “Hal (keadaan hati) dan ilmu para ulama’ sufi terdahulu (salaf) tersimpa dalam dada mereka. Maka, murid mengambil kedua-duanya (hal keadaan hati dan ilmu tasawwuf) daripada Sheikhnya secara langsung, dalam majlisnya dan dengan bersahabat (suhbah). Maka, murid menerima tarbiah daripada Sheikhnya kemudian muridnya tersebut mengambil kedua-duanya (hal hati dan ilmu) daripada Sheikhnya (secara pewarisan rohani)”.
[At-Tasawwuf wa Harakah Al-Islah wa At-Tajdid oleh Muhammad Sholeh bin Ahmad Al-Gharsi: 15]
Oleh kerana itu, Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata lagi:
ولقد فكر الأستاذ البهي في أن يصطفي نخبة من خيرة شباب الإخوان، يدنيهم منه، ويربيهم في مدرسته، ويلقنهم فكره وذوقه، ويأخذهم بعزائم السلوك. فقد أكد رجال التربية الروحية حاجة المريد إلى شيخ يأخذ عنه، ويقتبس من نوره، وأن صحبة الشيخ لا يغني عنها قراءة الكتب...Sheikh Al-Ustaz Al-Bahiy (murobbi Sheikh Al-Qaradhawi dalam Ikhwan) telah memikirkan untuk memilih Nukhbah dari kalangan pemuda Ikhwan yang terpilih, yang mana Sheikh akan mendekatkan mereka kepadanya, lalu memberi tarbiah kepada mereka dengan manhaj tarbiahnya lalu menyemai fikrah dan zauq (perasaan hubungan seseorang dengan Allah)-nya kepada mereka lalu mentarbiah mereka dengan latihan tarbiah akhlak (tarbiah sufi). Para ulama’ Tarbiah (ulama’ sufi muhaqqiqin) menetapkan bahawasanya seseorang murid itu memerlukan kepada seorang Sheikh (Murobbi) yang membimbingnya, yang memindahkan cahayanya, yang mana (kesan daripada) bersahabat dengan seorang Sheikh Murobbi tidak dapat dicapai dengan hanya sekadar dengan membaca kitab…”
[Ibn Al-Qaryah wa Al-Kuttab: 283]
Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna r.a. berkata, beliau banyak mendapat manfaat daripada bersahabat dengan mursyidnya dengan berkata:
فقد أفادتني صحبتُه أعظم الفائدةMaksudnya: “Aku telah mendapat manfaat yang terbesar dengan bersahabat dengannya (Sheikh Abdul Wahab Al-Husofi)…”
[Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah]
Oleh yang demikian juga, menurut Sheikh Sa’id Hawwa, Imam Hasan Al-Banna sendiri adalah seorang murobbi sufi yang mendapat izin untuk memberi tarbiah kerohanian dengan berkata:
إن الصوفية عندهم اصطلاح المرشد الكامل، ولقد كان الأستاذ البنَّا مرشداً كاملاً بشهادة كبار الصوفية أنفسهم، وكان كذلك مجدداً والإخوة النواب هم خلفاؤه الحقيقيون، وهي قضية يجب أن تأخذ مضمونها الكامل في الدعوةMaksudnya: “Sesungguhnya golongan sufi menggunakan istilah Mursyid Kamil di sisi mereka. Maka, Imam Hasan Al-Banna r.a. adalah seorang mursyid yang kamil sebagaimana diakui sendiri oleh para ulama’ sufi yang besar sendiri. Beliau adalah Mujaddid sedangkan para naib beliau adalah khalifah beliau yang hakiki. Inilah aspek yang sangat penting untuk diambil intipatinya secara keseluruhan dalam sesuatu usaha dakwah.
[Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah: 21]
Aspek mendapat izin dan pengakuan daripada para murobbi sufi dalam tarbiah adalah intipati asas dalam bidang tarbiah khususnya di sisi Imam Hasan Al-Banna t.a. sendiri. Maka, inilah antara faktor penyumbang kepada keberkesanan dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun di awal penubuhannya.
Sudut Kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun: Antara Kejahilan Sesetengah Pemuda dan Kebencian Golongan Anti-Sufi
Apa yang dapat dipastikan, sudut kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun ini samada sudah mula pudar dalam pandangan sesetengah pemuda yang jarang meneliti sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun atau mula dipinggirkan. Ia berlaku samada kerana sesetengah pemuda banyak membaca buku-buku terkini dalam sesetengah jemaah dakwah yang tidak banyak menyentuh mengenainya atau terpengaruh dengan pemikiran Salafi moden (istilah Dr. Al-Qaradhawi: Az-Zhahiriyyah Al-Judud). Ini kerana, sesetengah penulis dan tokoh Ikhwan lebih banyak membahaskan perkara-perkara yang mereka anggap sebagai lebih penting berbanding membahaskan sudut kesufian dalam Al-Ikhwan samada kerana tidak mempedulikan hal tersebut atau menganggapnya sebagai suatu sejarah yang hampir terhakis.
Kita lihat sesetengah mereka yang terlibat dengan dakwah ala-Ikhwan di sesetengah tempat tidak mengamalkan lagi dasar “mengadakan hubungan baik dan suhbah” dengan para murobbi sufi yang muhaqqiqin. Seolah-olah, hampir tiada para murobbi sufi yang terlibat dalam sesetengah jemaah tersebut samada secara langsung ataupun tidak. Ini mungkin kerana kejahilan mereka (sesetengah pemuda tersebut) tentang tradisi dan manhaj golongan salaf (secara bahasa: golongan terdahulu) Ikhwan yang sangat mendekati para murobbi sufi di zaman mereka.
Berdasarkan sedikit pemerhatian, sudut kesufian dalam sesetengah jemaah berdakwah ala-Ikhwan mungkin hanya tinggal dalam lipatan sejarah atau dalam tulisan-tulisan turath mereka, bukan lagi secara praktikal. Barangkali, ianya membawa kepada kejatuhan dari sudut tarbiah dalam sesetengah jemaah tertentu kerana tidak mengambilnya daripada para murobbi sufi muhaqqiq sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah pengasas dan tokoh Ikhwan terdahulu.
Penulis yang faqir melihat antara tulisan-tulisan yang ditulis oleh sesetengah aktivis Ikhwan sendiri yang kelihatan memandang atau menghukum kaum sufi secara umum sebagai suatu kelompok yang tidak melakukan usaha dakwah dan islah dalam masyarakat Islam, lalu sekadar berseronok-seronok dengan ibadah siang dan malam sahaja, tanpa menonjolkan ratusan malah ribuan ulama’-ulama’ sufi yang sudah menyebarkan dakwah Islam ke serata dunia sejak sebelum kelahiran Ikhwan lagi sehingga hari ini, antara punca sesetengah pemuda yang terlibat dengan dakwah Al-Ikhwan agak bersifat menjauhi para murobbi sufi secara menyeluruh.
Antara tulisan-tulisan tersebut adalah seperti tulisan Kaifa Nad’u An-Nas oleh Muhammad Qutb, Azmah Muslimi Amrika Al-Latiniyyah fi Hadith Syamil oleh Ahmad Ali As-Saifi, Najm Ad-Du’ah Hasan Al-Banna oleh Dr. Taufiq Ulwan dan sebagainya yang menisbahkan kejahilan sesetengah masyarakat awam sufi kepada keseluruhan kelompok sufi sedangkan dalam kalangan mereka, masih ramai ulama’ sufi yang sangat giat dalam dakwah dan islah.
Arus atau gelombang fikrah baru “ala-salafi” dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun mungkin antara punca menyebabkan wajah Al-Ikhwan kelihatan menjauhi para sufi muhaqqiqin, bukan sahaja dapat dikesan oleh para pemerhati dari luar, namun juga ianya dapat dikesan oleh para tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimun sendiri.
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi misalnya turut menyebut tentang gelombang baru ini dengan menyebutnya sebagai Tayyyar Salafi lalu berkata:
“Telah masuk juga dalam Al-Ikhwan fikrah yang baharu, yang mana sebahagiannya adalah aliran Salafi yang mana ramai daripada mereka yang berpegang dengannya (salafi tersebut) mempunyai gejala Tasyaddud (melampau) dan Harfiyyah (terlalu berpegang kepada zahir daripada nas-nas)… Ramai orang yang terpengaruh dengan arus pemikiran Salafi ini adalah mereka yang tinggal di Arab Saudi dan Kuwait.
“Pemikiran lain (dalam Al-Ikhwan) adalah perkembangan daripada pemikiran As-Syahid Sayyid Qutub melalui buku beliau: Ma’alim Fi At-Tariq…Pemikiran ini membawa kepada bibit-bibit mengkafirkan umat Islam… Kedua-dua fikiran ini adalah Salafiyyah dan Qutubiyyah (yang menyelinap masuk dalam Al-Ikhwan)” [Ibn Al-Qaryah wa Al-Kuttab: juzuk 4, Isnin 1 September 2008].
Kemungkinan juga, sesetengah ahli dalam jemaah dakwah yang terpengaruh dengan pemikiran Salafiyyah atau Qutubiyyah yang dimaksudkan oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi inilah yang sangat berperanan membuang sudut kekuatan asal yang utama bagi Al-Ikhwan suatu ketika dahulu iaitulah sudut Haqiqah Sufiyyah atau Tarbiah Sufiyyah Sunniyah.
Mungkin juga, dari minda baru dalam Al-Ikhwan inilah, sesetengah pengkaji dan ahli ilmu mengaitkan Al-Ikhwan (dengan minda baru ini) sebagai Tasyaddud, Salafiyyah Wahhabiyyah ataupun “garis keras” (merujuk istilah dalam buku Ilusi Negara Islam oleh Abdul Rahman Wahid yang dianalisis secara kritis di banyak lapangan kajian di serata Nusantara). Namun, bagi penulis, itu mungkin hanya merujuk kepada sesetengah mereka yang berpegang dengan Salafiyyah atau Qutubiyyah dalam Al-Ikhwan dan anak-anak fikrahnya, sedangkan golongan veteran (Salaf) terutamanya, atau sebahagian ahli ilmu (ulama’ dan cendikiawan) dalam Al-Ikhwan masih lagi berpegang dengan fikrah Hasaniyyah (Imam Hasan Al-Banna) dan mempertahankan sudut kesufian dalam Al-Ikhwan.
Dari suatu sudut yang lain pula, sesetengah golongan yang terkenal sebagai anti-tasawwuf secara mutlak menolak Ikhwan Muslimin sehingga ada sampai menganggap Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai kelompok yang sesat kerana melihat sudut kesufian dan aqidah Al-Asya’irah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Sehinggakan, sesetengah mereka menggelar Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai Al-Ikhwan Al-Muflisun (Na’uzubillah). Adakah mereka tidak melihat hatta Sheikh Ibn Taimiyyah dan Sheikh Ibn Qayyim Al-Jauziyyah sendiri mempunyai sudut kesufian mereka yang tersendiri? Adakah kedua-dua tokoh ini juga sanggup mereka tuduh sebagai sesat kerana sudut kesufian mereka?
Kalaulah golongan sufi secara mutlak dan golongan Al-Asya’irah secara mutlak, yang merupakan majoriti umat Islam sejak zaman berzaman pun, mereka dituduh sesat, maka setakat Al-Ikhwan Al-Muslimun yang majoritinya mempertahankan kedua-duanya (sufi yang benar dan Al-Asya’irah), begitu mudah lagilah untuk dituduh sesat dan dikafirkan. Berbahagialah bersama-sama dengan majoriti umat Islam (As-Sawad Al-A’zhom) dan malang sungguhlah bagi mereka yang terpinggir dari golongan As-Sawad Al-A’zhom (Man Syazza Syazza fi An-Nar).
Al-Ikhwan Al-Muslimun Menolak Sufi kerana Menentang Bid’ah?
Sesetengah pihak melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun tidak sepatutnya disamakan dengan golongan sufi atau sekurang-kurangnya berusaha menafikan sudut kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun atas alasan Al-Ikhwan Al-Muslimun menentang bid’ah. Persoalannya, adakah dengan menentang bid’ah dholalah khususnya, membawa kepada menentang tasawwuf dan kesufian secara mutlak?
Ini suatu hal yang tidak benar sama sekali. Sesetengah pengkaji menilai tiada sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun kerana mereka menentang bid’ah samada tidak faham hakikat ilmu tasawwuf dan kesufian ataupun tidak faham mafhum bid’ah di sisi Al-Ikhwan Al-Muslimun (merujuk kepada fikrah para pelopornya), ataupun tidak faham kedua-duanya.
Ilmu tasawwuf dan tarbiah kaum sufi sebenarnya adalah tarbiah yang bertepatan dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah. Malah, ianya adalah ijtihad para ulama’ dan murobbi sufi dalam mengambil sudut tarbiah daripada kedua-dua nas Islam tersebut. Maka, apa sahaja amalan dan perlaksanaan yang bercanggah dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah lalu dinisbahkan kepada tasawwuf dan sufi, maka tasawwuf dan sufi yang sebenar berlepas tangan daripada amalan-amalan tersebut. Inilah pegangan majoriti ulama’ Islam termasuklah Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhammad Abduh, Sheikh Rasyid Redha dan sebagainya.
Sheikh Rasyid Redha yang kuat menentang bid’ah juga turut mengakui peranan kaum sufi muhaqqiqin dengan berkata:
“Kaum sufi satu-satunya telah memiliki salah satu rukun agama yang agung yang tidak seorang pun dapat mengalahkan mereka dalam hal ini, iaitu -rukun- mendidik berdasarkan ilmu, ahlak dan hakikat. Lalu, tatkala ilmu-ilmu dalam agama dikategorikan, para sheikh sufi menulis tentang akhlak dan muhasabah diri (muhasabatun nafsi) [Majalah liwa' Al-Islam bil. 10 thn. 9 bertajuk Nadwah Liwa' Al-Islam: Shufiyah wa 'alaqatuha fil Islam m/s 494].
Maka, seseorang itu tatkala menentang bentuk-bentuk bid’ah dholalah terutamanya, tidak bermakna dia juga menolak tarbiah sufiyyah dan ilmu tasawwuf secara menyeluruh. Begitulah sikap para ulama’ yang faham tentang hakikat sebenar tarbiah sufi dan ilmu tasawwuf Islam seperti Sheikh Ibn Taimiyyah dan sebagainya. Mungkin perbezaan pendapat tentang beberapa masalah cabang timbul antara sesetengah ulama’, khususnya tentang kebid’ahan sesuatu amalan, namun tidak membawa kepada saling bermusuhan secara besar-besaran.
Ia kembali kepada bagaimana seseorang itu memahami bid’ah itu sendiri. Majoriti ulama’ memahami bid’ah secara lebih luas seperti Imam As-Syafi’e r.a., Imam Al-Izz bin Abd As-Salam, Imam An-Nawawi, Imam As-Suyuti, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dan sebagainya, berbanding sesetengah ulama’ yang memahaminya secara sebaliknya seperti Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhamamd Abduh dan sebagainya.
Adapun para pelopor Al-Ikhwan Al-Muslimun seperti Imam Hasan Al-Banna, Sheikh Umar At-Tilmisani, Sheikh Sa’id Hawwa dan sebagainya, memahami mafhum bid’ah sebagaimana difahami oleh majoriti ulama’ Islam khususnya di Al-Azhar, iaitu dengan maknanya yang lebih luas. Oleh sebab itu kita dapati, Imam Hasan Al-Banna tidak menolak amalan tawassul dalam berdoa malah menyambut Maulidul Rasul dan sebagainya.
Malah, dari sudut lain juga, para ulama’ sufi muhaqqiqin juga sangat cenderung menolak bid’ah seperti yang dilakukan oleh Imam Junaid Al-Baghdadi r.a., Imam Al-Ghazali r.a., Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a., Imam Ahmad Ar-Rifa’ie r.a., Imam Ahmad Az-Zarruq r.a., Imam Abdullah bin Alawi Al-Haddad r.a. dan sebagainya yang giat menentang bentuk-bentuk bid’ah dholalah. Namun, mereka memahami bid’ah berbeza dengan sesetengah kelompok yang menyempitkan kefahaman terhadap bid’ah lalu mudah membid’ahkan perkara-perkara khilafiyyah.
Kesimpulan
Penulis tidak cenderung untuk membandingkan beberapa pemikiran-pemikiran cabang (sub) dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun yang berbeza dengan fikrah “sudut kesufian dalam Al-Ikhwan” (atau Haqiqah Sufiyyah) yang dipegang oleh para pelopor Al-Ikhwan Al-Muslimun seperti Imam Hasan Al-Banna, Ustaz Umar At-Tilmisani, Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud, Sheikh Sa’id Hawwa, Sheikh Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan Al-Buti dan sebagainya yang kuat mempertahankan haqiqah sufiyyah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Ini kerana, tujuan penulisan ini hanyalah untuk mendedahkan sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya berdasarkan tokoh-tokoh awal Al-Ikhwan Al-Muslimun, samada ianya kini sudah tinggal sejarah atau tersembunyi secara tidak langsung.
Adapun sikap sesetengah pemuda dalam Al-Ikhwan dan beberapa jemaah dakwah ala-Ikhwan yang dilihat tidak mempunyai hubungan rapat dengan para murobbi sufi, maka itu adalah keterpinggiran fikrah peribadi mereka berbanding kaum salaf (secara bahasa) Al-Ikhwan yang hampir dengan para murobbi sufi muhaqqiqin.
Walaupun sesetengah pihak menganggap Al-Ikhwan Al-Muslimun menuju ke arah menjauhi sudut kesufian yang menjadi antara asas kekuatan mereka, namun penulis masih yakin, sudut tarbiah sufiyyah adalah kekuatan asas mereka yang perlu mereka (dan seluruh pendakwah dalam mana-mana jamaah harakiyyah) berpegang dengannya dan perlu mengambilnya daripada ahli tarbiah itu sendiri.
Sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun itulah yang pernah, malah, sentiasa menjadi kekuatan utama dalam keberkesanan manhaj tarbiah ruhiyyah dalam jemaah tersebut yang seterusnya membawa kepada suatu dakwah yang berjaya dalam segenap aspek. Kalau aspek ini terus digilap dan dipertahankan dengan terus menjalinkan hubungan suhbah dengan para murobbi sufi muhaqqiqin maka tarbiah ruhiyyah dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.
Idea memperkemaskan tarbiah ruhiyyah dengan mengambil tarbiah di bawah para ulama’ murobbi sufi dan mengajak mereka membantu jemaah-jemaah dakwah adalah suatu idea yang sedang dibincangkan juga dalam sesetengah pihak (sebahagiannya menyebut sebagai idea “sufi haraki”). Semoga Allah s.w.t. membantu usaha para ulama’ dan pendakwah Islam dalam mengajak manusia kepada jalanNya yang diredhaiNya. Amin…
Wallahu a’lam
Disusun –dengan bantuan Allah s.w.t.- oleh:
Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah
13 Jun 2009 Putrajaya, Malaysia
Rujukan:
Al-Qur’an Al-Karim
Sahih Al-Bukhari
Sahih Muslim
Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari oleh Imam As-Sakandari As-Syazili r.a.
Ihya’ Ulumiddin oleh Imam Al-Ghazali r.a.
Risalah Al-Mustarsyidin oleh Imam Al-Muhasibi r.a.
Al-Mawahib Al-Ladunniyyah oleh Imam Al-Qostollani r.a.
Tasynif Al-Asma’ oleh Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh
Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah oleh Imam Hasan Al-Banna
Risalah Al-Aqa’id oleh Imam Hasan Al-Banna
Risalah Muktamar Kelima oleh Imam Hasan Al-Banna
Risalah At-Ta’lim oleh Imam Hasan Al-Banna
At-Tafsir As-Siyasi lil Islam oleh Imam Abu Al-Hasan Ali An-Nadwi
Jaulat min Al-Fiqhain oleh Sheikh Sa’id Hawwa
Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah oleh Sheikh Sa’id Hawwa
Syahid Al-Mihrab Umar bin Al-Khattab oleh Al-Ustaz Umar At-Tilmisani
Al-Ikhwan Al-Muslimun: Ahdaath Sana’at At-Tarikh oleh Sheikhul Azhar Imam Abdul Halim Mahmud
Fi Qofilah Al-Ikhwan Al-Muslimin oleh Al-Ustaz Abbas As-Sisi
Al-Hayah Ar-Rabbaniyyah wa Al-‘Ilm oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Ummatuna Baina Qarnain oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah oleh Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
Kaifa Nad’u An-Nas oleh Muhammad Qutb
At-Tasawwuf wa Harakah Al-Islah wa At-Tajdid oleh Muhammad Sholeh bin Ahmad Al-Gharsi
Al-Ikhwan Al-Muslimun: Kubra Al-Harakat Al-Islmiyyah- Syubhat wa Rudud oleh Al-Ustaz Taufiq Al-Wa’ie
Al-Ikhwan Al-Muslimun wa As-Shufiyyah oleh Sheikh ‘Abduh Musthafa Dasuki
Hasan Al-Banna Al-Murobbi Al-Mujaddid oleh Ustaz Abdul Aziz Kahil
Halawah Al-Iman Wa Nur Al-‘Ibadah oleh Ustaz Jum’ah Amin
Zahirah Ad-Du’ah Al-Judud… Ar-Ru’yah Al-Mu’arradhah oleh Dr. Khalid Fahmi
Ar-Rajul Allazi Ahya Fikratahu bi Mautihi oleh Dr. Mamduh Al-Munir
Najm Ad-Du’ah Hasan Al-Banna oleh Dr. Taufiq Ulwan
Ibn Al-Qaryah wa Al-Kuttab
Majalah liwa' Al-Islam bil. 10 thn. 9 bertajuk Nadwah Liwa' Al-Islam: Shufiyah wa 'alaqatuha fil Islam
Al-Ikhwan Al-Muslimun: Mabda’ wa Fikrah wa Aqidah tahun 1936
Azmah Muslimi Amrika Al-Latiniyyah fi Hadith Syamil oleh Ahmad Ali As-Saifi
Al-Ikhwan wa As-Shufiyyah Maadhin ghair Musta’ad oleh Husam Tamam
Risalah Al-Ikhwan wa As-Siyasah Al-Hizbiyyah (1) Sheikh ‘Abduh Mustofa Dusuki
www.ikhwanonline.comPenulis : Ustaz Mukhlis
Sumber : http://mukhlis101.multiply.com/
No comments:
Post a Comment