Thursday, 13 January 2011

Memahami Perjuangan Islam

MUQADDIMAH

Perjuangan Islam bermaksud perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi

pihak-pihak yang menentangnya. Oleh kerana perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan, maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dn persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam yang dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.

Mahu tidak mahu, setiap muslim terpaksa menghadapi reality perlawanan atau perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang.

Demikianlah, sejak generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi, umat Islam telah
dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.


PERJUANGAN DAN JIHAD

Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad.

Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti
memerangi musuh.

Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu
matlamat. Al-Jihad menurut kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.
Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak risiko adalah peperangan
atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana
dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya:

Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”

Sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silam lebih merujuk kepada aspek peperangan.

Contohnya, ulama’ Mazhab Syafie memberi definisi jihad sebagai perang ke atas orang kafir untuk

memenangkan Islam. Manakala ulama’ Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan nyawa.

Imam Hassan al-Bana pula menyatakan bahawa:

“Islam mewajibkan jihad ke atas penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan di antara sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran.”

Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam mengembangkan
agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di serata pelusuk dunia. Lalu, di dalam usaha berdakwah itu,mereka menghadapi sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan Islam.

Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan, sekatan dan ancaman
dari musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja.

Bahkan ia lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap pemerintah yang tidak
melaksanakan Islam dengan saluran pilihanraya, penulisan dan sebagainya.

Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi cabaran dan
tentangan dari musuh yang merupakan sebahagian dari ujian Allah s.w.t. Cabaran dan tentangan
tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam bentuk perjuangan.

AQIDAH ASAS PERJUANGAN

Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen.

Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.

Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar -besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang disrahkan hanya kepada Allah.

Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia . Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah.

Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. selaras dengan pengertian

kalimah Islam sendiri. Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan:

“Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada.”

Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La ilaha illa Allah itu merupakan ucapan yang sebenar, jadilah orang yang mengucapkannya itu ahliNya dan tergolong dalam golonganNya (golongan Allah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuhNya dan orang-orang yang dimurkaiNya.

Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh para nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Dalam perkara ini, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”

Peranan utama para rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hambaNya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu:

• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Esa

• Menyeru supaya menjauhi taghut

Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan
mentaatinya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...