Monday 10 June 2013

Memahami Pergolakan Politik Dunia Islam

Fokus di atas memang mempunyai skop yang luas. Ia memerlukan pencerakinan yang menyeluruh menyentuh berbagai daerah dan negara Islam; di samping seribu satu masalah-masalahnya. Sudah pasti untuk dapat memenuhi tuntutan yang ideal bagi tajuk ini suatu yang amat sukar, kalaupun tidak hendak dikatakan mustahil.

Apa yang sempat penulis perturunkan di sini hanyalah beberapa bentuk krisis atau pergolakan yang umum sahaja secara kasar. Rencana ini akan cuba menampilkan pergolakan setempat, pergolakan serantau dan pergolakan antarabangsa yang merangkumi pelbagai masalah.

PERGOLAKAN SETEMPAT

Dalam horizon yang bersifat mikro kita wajar menyorot permasalahan yang melingkari kitaran kita sendiri. Persoalan yang paling utama tentunya yang berkaitan dengan tasawwur, atau visi dan misi yang perlu dititik-beratkan. Persoalan yang berkait dengan hala-cara berfikir, perspektif yang betul dan kaedah pemikiran yang benar dan sahih terhadap tuntutan semasa adalah penting sekali. Perkara ini sering disebut sebagai wawasan, atau wawasan pemikiran.
Masalah Wawasan
Apa yang sering menjadi punca perbalahan dalam masyarakat Islam ialah bermula dari perbezaan visi dan nilai, urutan keutamaan dan kaedah pendalilan golongan elit dan pemimpin dalam masyarakat. Individu Islam berhadapan dengan pelbagai pengaruh pemikiran dari aliran modernisme, liberalisme, pragmatisme, meterialisme, obsecurantisme, secularisme, sosialisme sampailah kepada beberapa kaedah-kaedah pemikiran baru yang disebut sebagai pemikiran literal, kreatif, positif, negatif dan sebagainya yang mencorakkan hala-cara pemikiran.

Hal ini disemarakkan lagi oleh kepentingan peribadi mahupun kepentingan kumpulan sama ada dari pelbagai bangsa, mazhab dan budaya yang menghuni negara mereka. Kerana itu mereka sering berhadapan dengan perselisihan, perbalahan dan perpecahan, apatah lagi racun serangan pemikiran yang dilancarkan oleh penjajah sejak beberapa lama telah melumpuhkan sebahagian potensi khasnya golongan cendekiawan untuk berfikir lebih matang.

Di Pakistan aliran sosialisme Benazir Bhuto masih mendapat tempat di kalangan rakyat jembel dan golongan elit tertentu; meskipun sosialisme telahpun pudar dan Benazir Bhuto telahpun tiada; bahkan reput di daerah tempat lahirnya. Golongan yang memperjuangkan Islam masih belum mampu mendominasi medan politik dan menguasai Pakistan; meskipun misi asal pengasas negara tersebut ialah hendak menegakkan negara Islam seutuhnya.

Di Somalia perkembangan politiknya semakin merealisasi kehancuran. Aliran Islam belum berkesempatan untuk muncul sebagai alternatif bagi generasi yang akan datang. Politik sekular yang pernah dipelopori Ziyad Berri menolak masyarakat ke kancah politik perkauman yang berlandaskan kepentingan kabilah. Ia meledakkan perang saudara yang membawa Somalia ke arah masa depan yang lebih gelap.

Di Algeria faham sosialisme golongan elit yang memerintah sekian lama telah membuahkan pemerintahan diktator ketenteraan yang memusnahkan benih demokrasi dan mencantas suara rakyat Muslim yang inginkan alternatif Islam; selepas ternyata Parti Jabhatul Inqaz pimpinan Abbas Madani mendapat kemenangan dalam pilihanraya. Golongan penindas tersebut menganggap bahawa aliran Islam adalah musuh dan pemusnah Algeria. Kini Algeria dilanda kemelut dalaman yang berpanjangan.
Masalah Kepimpinan
Kepimpinan adalah suatu masalah pokok dihadapi oleh umat Islam. Para leluhur dari kalangan Ansar dan Muhajirin setelah wafatnya baginda Rasul-Allah hampir-hampir berperang sesama sendiri. Umat Islam begitu sukar untuk menggalang perpaduan politik antara mereka kerana persoalan kepimpinan. Meledaknya perang antara mereka pada akhirnya adalah kerana masalah kepimpinan.

Masalah ini terus-menerus menjadi masalah umat di kebanyakan negara yang majoriti rakyatnya umat Islam. Bahkan ketika mereka menjadi golongan minoriti-pun masalah kepimpinan tetap menjadi masalah pokok. Dapatkah umat Islam mencari formula yang ampuh untuk menyelesaikan masalah yang telah memakan korban jiwa yang banyak dalam sejarah mereka masa lalu dan kini. Inilah suatu cabaran besar yang mereka hadapi.

Sebagai contoh, kewujudan kepimpinan yang mantap dan berwibawa, dan boleh menyatukan kumpulan-kumpulan Mujahidin di Afghanistan nampaknya belum bertemu garis noktahnya. Sejarah Afghanistan menyaksikan negara tersebut turut terjebak dalam jalur sejarah yang dilalui oleh Somalia, iaitu perkelahian antara kabilah. Apa yang ketara pengaruh kepentingan kelompok dan etnik menonjol dan ia menyemarakkan lagi api peperangan.

Persoalan yang mungkin timbul dalam kontek ini ialah apakah hakikat dan ciri kepimpinan Islam yang sebenar? Bagaimana ia dapat dilembagakan dalam negara-negara umat Islam? Bagaimana ia boleh berfungsi membawa umat ke arah masa depan yang mantap? Bagaimana ia boleh muncul dalam era tirani dan kuku besi seperti di sesetengah negara Islam? Bagaimana kepimpinan Islam yang tulen dapat dipertahankan pada masa kini?

Pendek kata ada berbagai soalan lagi yang boleh ditampilkan dalam konteks ini serta perlu dijawab dengan perancangan dan perlaksanaan.
Masalah Kemiskinan
Walaupun negara-negara umat Islam mempunyai hasil mahsul bumi yang kaya dan lumayan dengan berbagai-bagai jenis bahan galian, logam, bijih, berlian, minyak, gas asli, sumber-sumber pertanian dan sebagainya justeru kerana kedudukan strategiknya di muka bumi ini; namun rata-ratanya masih dibelenggu kemiskinan. Kafakiran terus-menerus mencerut mereka sehingga ke taraf kebuluran.

Ada negara yang dilanda kebuluran kerana kemarau panjang. Ada yang dilanda kebuluran kerana peperangan saudara. Ada pula yang papa kerana jerat hutang Bank Dunia. Ada pula berkeadaan demikian kerana kejahilan mentadbir dengan bersih dan bijaksana, maka agihan tidak dilaksanakan secara amanah dan berkesan. Tidak kurang pula yang dimiskinkan oleh kuasa imprealis dan kuasa besar setelah tadinya menikmati kekayaan hasil minyak atau pertanian; melalui perampasan aset atau pembekuannya; atas nama PBB mahupun NATO.

Sepatutnya seluruh rakyat di negara-negara Islam boleh menikmati secara seimbang dan berpatutan anugerah Allah ini, tetapi rata-ratanya masih dikongkong oleh kuasa penjajah ataupun idea penjajah. Meskipun negara-negara Islam mempunyai sumber kekayaan yang banyak, namun negara tersebut berhadapan dengan masalah tidak ada kestabilan politik, kehilangan keamanan dan hak-hak asasi manusia, di samping ketiadaan kebebasan bertindak.

Akibatnya rakyat menikmati kekayaan negara ini secara tempang kerana yang menikmati kekayaan hanya dua tiga kerat yang berkepit dibawah dokongan pemerintah yang korup dan tidak bermaruah.
Masalah Monarki dan Amalan Tidak Demokratik
Dari sudut politik pula rata-rata umat Islam tertindas di bawah sistem pemerintahan yang tidak demokratik. Ada yang menggunakan sistem monarki demi mengukuhkan kedudukannya dan kaum keluarganya terus berada di puncak kuasa. Monarki dalam bahasa Yunani disebut "monos archein", yang bermaksud "satu pemerintah" (hereditary monarchies) dan ia memang terkenal sebagai sistem pemerintahan yang tertua di dunia.

Tidak semua monarki korup atau menindas kerana ada yang memanfaatkan sistem tersebut secara demokratik (elective monarchy). Tetapi yang tidak sepatutnya berlaku dalam sistem monarki ialah apabila ia digunakan untuk memenuhi tembolok nafsu dan kuasa. Sebagai contoh rejim tentera di Syria pimpinan Hafez al Assad kepada Basyar al Assad, turut mengguna-pakai sistem monarki untuk menekan kebebasan suara rakyat di negaranya.

Sejarah rejim Shah Iran, umpamanya telah melakukan kekejaman yang dahsyat terhadap rakyat Iran. Kesan pemerintahan satu parti yang mengongkong juga membelenggu mereka. Malah dalam negara-negara yang bertopengkan demokrasi-pun umat Islam tidak sebenarnya mendapat kebebasan yang menjadi hak asasi mereka. Satu demi satu akta yang membataskan serta menyempitkan kebebasan mereka diperkenalkan. Umat terus menerus menderita dalam slogan kebebasan atau kemerdekaan yang dilaungkan.
Masalah Sosial
Dari segi sosial pula maka kita dapati korupsi telah berkembang dan telah membudaya. Berpuluh juta, bahkan berbilion wang ringgit rakyat hilang kerana jenayah kolar putih. Bahkan juga kerana angkara golongan politikus yang rakus. Gejala ini bukan hanya melanda dunia Islam, malah juga melanda negara-negara bukan Islam seperti Itali, Mexico, Argentina, Thailand dan lain-lain. Banyak kerajaan yang jatuh tetapi banyak pula yang masih bercokol dengan memegang kuasa 'tanpa muka dan maruah'. Suatu contoh yang jelas ialah kes-kes yang berlaku di Bangladesh sekarang ini, Pakistan di zaman pemerintahan Ali Bhuto, Afghanistan dalam pemerintahan Raja Zahir Shah.

Selain daripada masalah ini dunia Islam juga menghadapi kegoyahan institusi keluarga. Di Malaysia meskipun mungkin tidak seteruk beberapa negara Barat sehingga perkara ini dijadikan agenda bertindak yang penting oleh pemimpin negara tertentu; namun permasalahan ini tetap mencemaskan kita. Kadar jenayah remaja, kehilangan anak gadis, rogol, buang anak, perceraian, pelacuran dan sebagainya kian meningkat.

Institusi keluarga semakin tersepit dalam budaya hidup bebas, permessiveness dan kebendaan. Adegan-adegan ranjang dan gila-gila yang dipaparkan oleh media massa bahkan gaya politik pemerintah yang mahu kekal kuasa dengan budaya tohmah dan fitnah, menyemarakkan lagi gejala ini untuk menjadi ikutan masyarakat. Wanita semakin bebas dan ingin meniru lelaki. Lelaki sendiri semakin dirayap kedayusan, kepondanan dan tidak lagi benar-benar memegang kendali keluarga.
Masalah Kemunduran Teknologi
Umat Islam memang menghadapi masalah kemunduran infrastruktur dan teknologi baik di Afrika mahupun di Asia. Mereka rata-ratanya masih bergantung kepada teknologi dan bantuan negara-negara asing yang kaya atau maju. Kemunduran ini berakibat daripada lingkaran musibah yang pada pemikiran yang singkat akan terus rebah dengan sinis bahawa keadaan seperti ini sukar diubah dan dibaiki.

Kita semua maklum penjanaan kapitalisme dan ekonomi moden bergerak atas pencapaian dan penguasaan sains dan teknologi, selain perdagangan dan pemasaran yang ampuh. Negara-negara Euro-Amerika, Australia, dan Asia Timur dapat menguasai ekonomi dan pasaran dunia kerana mereka terkehadapan dan mendominasi bidang sains dan teknologi. Manakala usaha-usaha negara Islam untuk mengubah negara mereka menjadi negara industri masih di peringkat pra-matang dan sering menghadapi gangguan oleh kuasa ekonomi yang berpengaruh.

Umat Islam seolah-olah semakin dirantai dan semakin hilang kuasa di negara mereka sendiri. Hak milik mereka dalam negara sendiripun kerap terhakis oleh pemodal-pemodal sedunia yang semakin galak membeli dan memiliki saham ekuiti syarikat-syarikat besar dan penting. Oleh itu, kedaulatan dan kemerdekaan mereka dalam erti kata sebenamya semakin tergugat dan terhad. Namun, sebelum menyerah kalah atau pasrah akan keadaan ini, adalah menjadi tanggungjawab ke atas mereka, khasnya golongan inteligensia dalam sesebuah masyarakat untuk bersungguh-sungguh memikirkan dan mengupas keadaan yang menjerat ini.

Usaha yang dilakukan untuk memindahan teknologi sebenarnya lebih sukar dari sekadar membeli hasil teknologi atau mempamerkan teknologi orang di negara mereka. Proses ini menghadapi berbagai rintangan dan cabaran khasnya yang berkaitan dengan persenjataan canggih dan industri yang bersifat strategik.

PERGOLAKAN SERANTAU

Berbicara mengenai pergolakan serantau yang meliputi berbagai rantau umat Islam seperti rantau Melayu, Arab dan lain-lain; maka kita dapati masalah yang sering mencetuskan sengketa perbalahan dan peperangan di antara negara-negara Islam serantau ialah masalah sempadan, masalah ekonomi, pertentangan politik, trend pemerintahan; di samping percaturan politik antarabangsa. Masalah-masalah ini telah mengorbankan ribuan perajurit dan kelengkapan tentara dengan sia-sia; baik di Asia mahupun di Afrika.
Masalah Sempadan
Masalah sempadan ialah masalah yang menentukan tapak batas yang memisahkan antara negara-negara Islam berkenaan. Masalah ini telah mencetuskan perang antara Iraq dengan Iran, antara Iraq dengan Kuwait, Algeria dengan Maghribi, Libya dengan Mesir serta Pakistan dengan Bangladesh.

Beberapa masalah pernah muncul misalnya dua buah pulau negara Iran dipertelagahkan oleh beberapa buah negara Arab di Teluk Parsi, kawasan di Utara Sudan menuntut kemerdekaan dan mahu menubuhkan kerajaan sendiri, Pulau Sipadan dan Ligitan masih menjadi masalah persempadanan antara Malaysia dengan Indonesia termasuklah isu Lahad Datu di Sabah yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Sulu.

Begitulah juga jika kita melihat dalam jangkauan yang lebih luas, kita menyaksikan pertembungan antara Azerbaijan dengan Armenia dalam kes Nogorno-Karakhbah adalah kerana masalah sempadan. Demikian juga kes Bosnia-Herzegovina yang menyayat hati satu ketika dahulu, dan kes-kes yang lain.
Masalah Ekonomi
Negara-negara Islam ditadbir oleh berbagai corak sistem pemerintahan. Ada yang mengamalkan sistem Kapitalism, Sosialisme, Pragmatisme, Liberalisme, Ekonomi terpimpin dan sebagainya. Manakala masalah yang mereka hadapi berkisar sekitar falsafah ekonomi yang membentuk tuju-hala negara, sistem ekonomi, hutang luar negeri yang semakin mencekik, kemiskinan, ketiadaan modal, ketiadaan pakatan ekonomi serantau yang kuat dan mantap, ketiadaan keselarasan bidang pengeluaran antara sesama negara Islam dan sebagainya.
Masalah Pertentangan Trend Pemerintahan
Dalam konteks serantau berlaku pergeseran antara pemerintah negara-negara umat Islam, lantaran kelainan ideologi yang diikuti oleh sesuatu pemerintahan satu sama lain. Dengan demokrasi terpimpin dan NASAKOM (Nasionalis-Agama-Komunis) umpamanya, Soekarno pernah mengkritik keras Malaysia melalui politik konfrantasinya, Iraq sejak zaman Saddam Hussain sehingga kini bersikap dingin dengan Syria walaupun sama-sama Ba’thisme, Turki mencurigai Iran, Pakistan pernah bertembung dengan Bangladesh, Iraq berperang dengan Iran, selepas itu berperang pula dengan Kuwait dan Pakatan tentara PBB. Yang untung terus ialah Israel. Ia dapat meluaskan daerah kekuasaannya di bawah perlindungan kuasa Barat.
Percaturan Politik Antarabangsa
Dunia Islam memang bekas tanah jajahan kuasa Imprealis. Kuasa-kuasa mustakbirin ini telah banyak menangani rantau ini dengan rakus. Kuasa penjajah telah melukiskan peta dan sempadan negara-negara umat Islam. Kurdistan yang berpenduduk sekitar 25 juta orang dilenyapkan dalam pelbagai negara di rantau berkenaan agar nantinya menjadi 'bom jangka’ yang menghakis tenaga atau meledakkan kawasan berkenaan dengan peperangan yang berpanjangan. Sedang mereka tega Israel ditegakkan di tengah-tengah negara Arab.

PERGOLAKAN SEDUNIA

Dalam era pasca perang dingin, era yang disebut sebagai Unipolar atau "Kutub Politik Tunggal", dunia kini diperkenalkan oleh kuasa besar dengan apa yang dipanggil sebagai New World Order; di mana Amerika dan kuncu-kuncunya menganggap mereka adalah pencorak dan penentu nasib dunia masa kini. Meskipun banyak persidangan sedunia yang menghasilkan pelbagai resolusi, piagam dan perisytiharan yang berhasrat membawa kedamaian, pembangunan, kesejahteraan dan sebagainya; namun penduduk dunia terus diancam oleh berbagai kejahatan, kekejaman, pembunuhan beramai-ramai, rogol dan sebagainya.
Tata Dunia Baru (NWO - New World Order) yang Tidak Adil
Apa yang dicanangkan sebagai Tata Dunia Baru yang ingin mendaulatkan undang-undang dan piagam bangsa-bangsa hanya tinggal dakwaan dan lakonan semata-mata. Tata Dunia Baru lebih memihak kepada kepentingan negara kaya dan yang berkuasa besar. Dalam keadaan tertentu lebih memihak kepada golongan Zionis Yahudi daripada Islam dan umat Islam.
Pengaruh Kuasa Besar Dari Sudut Ketenteraan dan Ekonomi
Penglibatan mana-mana kuasa besar dalam krisis di daerah atau negara umat Islam memang tidak semestinya membawa kesan yang baik. Sejarah membuktikan mereka selalu memihak kepada golongan boneka. Mereka cenderung untuk menjayakan tujuan strategik mereka sendiri. Penglibatan tentera Amerika umpamanya di Somalia, NATO di Libya telah banyak mengorbankan kaum wanita dan anak-anak yang tidak berdosa.

Pada tahun 1991 ketika Perang Teluk "Gulf War", Turki membenarkan pasukan tentera Amerika berkubu di kawasan perbatasan Turki dengan Iraq. Walaupun dengan alasan untuk melindungi golongan minoriti Kurdi; namun pasukan yang berjumlah lima ribu orang askar terdiri daripada tentera Amerika, British dan Kanada dengan kelengkapan canggih boleh menggugat Iraq, Iran dan malah Turki sendiri bila-bila masa sahaja.

Begitu juga bagi negara-negara Islam di Asia Tengah dalam lingkungan CIS (Commonwealth of Independent States), maka sebenarnya mereka masih belum benar-benar terlepas dari pengaruh dan belenggu Rusia. Ada berbagai faktor ekonomi yang merantai umat Islam dan negara mereka dengan Rusia. Ada yang berkaitan dengan mata wang, sumber gas atau kuasa. Ada pula yang berkaitan dengan pewaris politik yang memang boneka Rusia seperti di Tajikistan dan lain-lain.

Pendek kata tentera Rusia masih berkuku di negara-negara berkenaan. Kejatuhan Komunisme tidak semestinya menjanjikan kebebasan kepada negara-negara umat Islam di Asia Tengah. Ini kerana kuasa ekonomi dan kewangan Amerika boleh mencairkan Rusia, apatah lagi pemimpin-pemimpin negara Islam yang sekular. Mereka mudah menurut sepak terajang politik Amerika atau kuasa Barat demi untuk mendapat bantuan ekonomi, pinjaman kewangan atau janji pelupusan hutang-piutang dan seribu satu macam janji atau habuan lagi.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...