Tuesday, 19 June 2012

Aqidah & Kepimpinan


Politik yang dimaksudkan dengan kepimpinan itu ialah bermuamalah dengan tabiat manusia dan melakukan sesuatu yang berkesan terhadap tingkah laku mereka serta mengarahkan mereka ke arah matlamat yang nyata dengan cara yang menjamin ketaatan, kepercayaan dan penghormatan. Perkataan akidah ditadbirkan oleh al Quran dengan iman yang menjadi dasar yang dibina di atas hukum syariat dalam segala aspeknya.

Kepimpinan dalam konteks Harakah Islamiyyah mempunyai hubungan yang erat dengan akidah. Gerakan Islam di sepanjang sejarah kegemilangannya lebih menumpukan kekuatan akidah sebagai ciri paling utama di samping ciri-ciri yang lain yang melibatkan pendokongnya dan menjadi lebih penting di peringkat pimpinan. Kerana perjuangan ke arah yang menyentuh perubahan jiwa dan sikap manusia itu mestilah dilahirkan dari akidah yang bersebati di dalam jiwa.

Peranan pimpinan amat penting dalam gerakan Islam, peranannya tidak boleh dilaksanakan dengan sempurna tanpa syakhsiah kepimpinan yang sebenarnya walaupun mempunyai kepetahan bercakap dan kemampuan ilmu. Walaupun sifat-sifat lahiriyyah itu tidak dinafikan pentingnya, seseorang pemimpin itu hendaklah menyedari betapa besar dan beratnya amanah yang dipikul, tidak boleh dilaksanakan tanpa pertolongan Allah dan bagi meminta pertolongan itu perlukan kebersihan jiwa yang lahir dari kekuatan dan kemurnian aqidah yang dibina dengan amalan-amalan yang soleh.

Firman Allah Taala:

"Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)."

"Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang." - Surah al Maidah:55-56

Persediaan Pemimpin Dalam Membentuk Syakhsiah

Peranan pemimpin dalam gerakan Islam bukannya penyebar dakyah yang hanya bergantung kepada kata-kata yang indah dan gaya yang menarik, tetapi mereka adalah pendakwah yang membentuk ummah atau pembantu ke arah itu sehingga ke peringkat menegakkan Negara Islam yang memungkinkan Islam itu dilaksana dengan syumulnya. Walaupun terdapat sifat semula jadi yang ada pada seseorang pemimpin tetapi sifat-sifat seperti itu mempunyai peranan yang terbatas. Maka mereka mestilah juga ditarbiyah ke arah kekuatan aqidah yang membina syakhsiahnya dengan sifat-sifat Islam yang wajib bagi pemimpin. Di sini saya ingin mengemukakan beberapa aspek yang mesti dilakukan dan berlaku dalam membina aqidah :
  • Ilmu
Firman Allah Taala :

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang). Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." - Surah at Taubah:122

"Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." - Surah Faathir:28

Berkata Saidina Umar Bin al Khattab R.A, "Belajarlah kamu sebelum kamu menjadi pemimpin."

Seseorang pemandu hendaklah mengenal jalan dan tempat yang dituju. Adalah tidak wajar seseorang yang tidak tahu jalan dan tempat yang dituju menjadi pemandu. Pemimpin Islam hendaklah mengenal Islam dan yakin kepadanya. Aqidah Islam Itu tidak memadai dengan membaca dan memahami rukun Iman dan Islam tetapi hendaklah mencakup segala tasawwurnya, termasuk juga memahami bahawa syariatnya seperti aqidahnya juga dalam menentukan sifat-sifat Iman, kufur, syirik dan nifaq, dapat menterjemahkan Islam itu dengan maknanya yang syumul seperti yang dinyatakan oleh al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Ilmu Islam itu hendaklah difahami dengan bahasanya agar selamat dari kekeliruan bahasa dan istilah yang lain daripada al Quran dan Sunnah Nabi S.A.W. Para sahabat R.A menerima ilmu daripada Rasulullah S.A.W walaupun mereka dalam usia yang sudah tua dan para salaf as soleh tidak mengira penat dan jauh perjalanan walaupun kerana menerima riwayat satu hadis yang ringkas daripada Rasulullah S.A.W dan mereka tidak jemu belajar walaupun sudah alim dan mempelajari perkara yang sama walaupun beberapa kali kerana dengan ilmu daripada sumbernya yang sebenar melahirkan aqidah yang menggerakkan seseorang itu untuk beramal. Dan ilmu yang tidak melalui cara yang sebenar hanyalah melahirkan ulama su' yang pandai merosakkan bukannya memimpin, jadilah seperti apa yang difirmankan oleh Allah Taala :

"Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat."
"Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir."- Surah al A'raf:175-176

Sabda Rasulullah S.A.W, "Keburukan yang berlaku pada agama itu ada 3 perkara, Orang alim yang jahat, pemimpin yang zalim dan mujtahid yang jahil" (Riwayat Imam Ad Dailami)

Ilmu menjadi ciri kepimpinan penting, kerana ia laksana cahaya yang menyuluh akal dan hati bagi makrifatullah dan segala tuntutannya, serta melaksanakan tugas dengan betul bagi mengendali segala urusan bukan sahaja dengan khalik tetapi juga dengan makhluk yang ada hubungan dengan tugas-tugas khilafah yang diamanahkan kepada manusia, iaitulah ilmu yang memberi manfaat, ilmu yang berdasarkan dinullah bagi membentuk peribadi pemimpin ummah dan membina negara, ilmu yang kerapkali disebut di dalam al Quran, di antaranya ialah firman Allah Taala :

"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka; Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab; Bagaimana Dia mendapat kuasa memerintah Kami sedang Kami lebih berhak Dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata; Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan. Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengumiaanNya), lagi meliputi ilmuNya." - Surah al Baqarah:247

Ilmu dalam konteks aqidah pula agar seseorang faham dan berfikir ke arah membentuk iman dan membuahkan amal, hendaklah mengaji dan mengkaji al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W dengan renungan dan fahaman ke arah menunjangkan aqidah dan melaksanakan tuntutannya selaras dengan fitrah kita ini. Menyedari apa yang telah ditunai dan kecuaian diri sebagai hamba Allah sehinggalah melahirkan kesedaran mengeratkan hubungan dengan Allah Taala dengan iman, semangat dan perasaan yang tidak berbelah bahagi sedikit pun. Seterusnya melahirkan jihad ke arah meninggikan kalimah Allah Taala yang menjadi aqidahnya.

Hakikat itu tidak berlaku jika seseorang itu tidak berilmu menurut salurannya yang sebenar dari Allah Yang Maha Mengetahui, termasuk juga mengetahui manusia dan segala perkara yang berhubung dengannya. Perlu diketahui bahawa ilmu yang membentuk manusia menurut alQuran dan as Sunnah melahirkan pemimpin yang beraqidah seperti Para Sahabat R.A dan orang-orang badwi di padang pasir yang telah menumbangkan kuasa-kuasa besar dunia dan mengajar mereka yang dianggap berilmu seperti ahli kitab dan orang-orang yang pernah membina tamadun dunia supaya benar-benar menjadi khalifah Allah di bumi-Nya.

Seseorang pemimpin itu hendaklah lebih mengetahui tentang mafhum Islam yang menjadi jalan dan matlamat dengan penuh iman sehingga tidak berpaling kepada segala bentuk gangguan dalam menegakkan cita-cita Islam bermula daripada mentauhidkan Allah Taala, mengumpul manusia kepada mengakuiNya, sehinggalah tegaknya kalimah Allah dan bersihnya bumi ini daripada segala kufur dan syirik dengan terlaksananya segala peraturan yang ada di dalam ajaran Islam. Perlu difahami bahawa wujudnya Islam di muka bumi ini mestilah diwujudkan hakimiyyah Allah dengan hukum Allah itu memerintah urusan hambaNya, bukanlah sekadar hamba itu beribadah dengan melakukan syiarnya sahaja.

Oleh itu, menjadi satu hikmah yang besar, apabila Allah menurunkan ayat yang menyatakan ilmu, jalan dan dasarnya sebagai ayat yang pertama diturunkan kepada Rasulullah S.A.W dan betapa majlis ilmu diberi keutamaan kepada angkatan pertama Para Sahabat R.A, bukan sekadar untuk maklumat semata-mata tetapi untuk kekuatan aqidah yang dilahirkan pula dengan amalan dan perjuangan yang penuh dengan pengorbanan yang menjadi bukti kekuatan aqidah kepada pemimpin-pemimpin pertama jemaah Islam.
  • Amal Dan Tazkiyah
Menuju ke arah cita-cita Islam dan melaksanakan tugas-tugas Islam seseorang itu hendaklah melakukan muhasabah ke atas diri sendiri dan menyedari sejauh mana kedudukannya dalam Islam di mana dia mendakwahkan orang lain kepadanya, dari segi iltizamnya dengan Islam dengan menginsafi firman Allah Taala :

"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?" - Surah al Baqarah:44

Dan janganlah amal yang dikerjakan itu menjadi sia-sia seperti firman Allah Taala :
"(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan". - Surah al Kahfi:104

Mereka yang sebenar-benarnya rugi ialah apabila kerugian di akhirat walapun mendapat keuntungan yang banyak di dunia ini. Keuntungan yang sebenamya ialah menurut pertimbangan di akhirat walaupun mengalami kerugian besar di dunia. Keuntungan itu hanyalah kepada orang-orang yang baik yang mengerjakan amal soleh bermula daripada dirinya sebelum daripada orang lain.

Sabda Rasulullah S.A.W, "Hamba yang paling dimurkai Allah ialah sesiapa yang pakaiannya lebih baik daripada amalannya. Bahawa pakaiannya seperti pakaian Nabi-Nabi dan amalannya amalan pembesar-pembesar angkuh" (Riwayat Imam ad Dailami)

Sabda Rasulullah S.A.W lagi, "Datang seorang lelaki pada hari Kiamat, dia dicampak ke dalam neraka tiba-tiba perutnya keluar berjela maka dia  berpusing di dalamnya seperti keldai yang berpusing pada pinggulnya. Penghuni neraka berkumpul kepadanya lalu mereka bertanya; BUkankah awak dahulu menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran? Dia menjawab; Ya, sayalah menyuruh orang kepada kebaikan tetapi saya tidak mengerjakannya dan saya juga melarang kemungkaran, tetapi saya melakukannya." (Muttafaqun 'Alaihi)

Sepatutnya seorang pemimpin Harakah Islamiyah hendaklah menjadi contoh kepada orang lain dengan amal-amal soleh yang lebih baik, kalau tidak, dia lebih layak menjadi menjadi seorang penipu umat.

Setiap orang yang melibatkan diri dengan gerakan Islam hendaklah menyedari jalan-jalan yang berdasarkan kepada fikrah semata-mata tidak mendatangkan hasil yang baik, bahkan tidak akan menjadi pegangan yang kukuh dalam masa yang panjang kalau tidak disertakan dengan amal yang ikhlas kerana Allah. Iman dan amal yang soleh merupakan dua perkara yang berlaziman dan tidak boleh berpisah, amal soleh adalah kenyataan daripada iman, dan iman pula melazimkan seseorang itu melakukan amal soleh.

Di dalam al Quran disebut berulangkali tentang iman dan amal soleh, dan boleh dikatakan bahawa amal soleh itu lahir dari iman dan taqwa yang ditadbir juga dengan aqidah, di samping itu amal soleh pula menjadi pembekal iman dan taqwa.

Amal soleh juga adalah perlaksanaan ilmu yang dipelajari samada melalui membaca atau mendengar dan menjadi hujah yang kuat kalau diamal dan menjadi akasnya kalau tidak diamal. Dengan beramal akan meneguhkan ilmu dan menguatkan aqidah, terkeluar dari alam teori dan khayalan semata-mata, dan melayakkan seseorang itu berada di medan jihad dan mujahadah. Meningkatkan diri, membina peribadi sebagai anggota jamaah Islam dan pemimpinnya yang sebenar.

Al Imam as Syahid Hasan Al Banna pernah menegaskan, "Bercakap itu, lain daripada khayalan, beramal lain daripada bercakap, berjihad lain daripada beramal dan jihad yang sebenar lain daripada jihad yang salah. Kita melihat, banyak orang yang boleh membaca dan berilmu, tetapi membawa ilmu itu menjadi amalan, suatu perkara yang payah dilakukan oleh ramai manusia."

Amal yang soleh juga boleh memutus pertarungan di antara dua dorongan yang wujud di dalam diri manusia, iaitu dorongan ke arah kebaikan dan dorongan ke arah kejahatan. Apabila seseorang itu beramal soleh, bermakna dia memberi kemenangan kepada kebaikan dan mengalahkan dorongan kejahatan yang ada di dalam dirinya. Misalannya : Apabila kita membaca tentang kelebihan orang-orang yang membelanjakan harta bendanya fi sabilillah, tiba-tiba lahir perasaan takut untuk mengeluarkan harta, maka lahirlah pula sifat bakhil dan kasihkan harta, serta perkara itu menjadi penghalang. Tetapi apabila kita menunaikannya secara amali bukannya sahaja kita berjaya mengatasi penghalang yang tidak baik itu, tetapi membuktikan adanya aqidah kepada apa yang dibaca tentang kelebihan membelanjakan harta fisabilillah begitulah  seterusnya dengan amal-amal yang lain.

Sesungguhnya amal itu mempunyai medan yang luas, mencakupi segala bidang kehidupan manusia kerana Islam itu meliputi seluruhnya. Tetapi hendaklah diketahui bahawa amalan yang menyuburkan hubungan dengan Allah itu mempunyai peranan yang besar dalam membina aqidah dan syakhsiah. Apabila terlaksananya ciri-ciri taqwa dan meningkat pula kepada darjat ihsan yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W, "Bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatnya, maka jika engkau tidak melihatnya maka dia melihat engkau." (Muttafaqun 'Alaihi)

Sehinggalah beramal dengan setiap kebaikan yang dikasihi oleh Allah dan RasulNya dan meninggalkan setiap keburukan yang dimurkai Allah dan RasulNya, bahkan tidak merasa jemu dan keberatan untuk menyerahkan apa sahaja bagi mencapai keredhaan Allah. Sesungguhnya memilih jalan bagi menyuburkan hubungan dengan Allah Taala adalah suatu perkara yang tidak boleh dianggap ringan melalui jalannya, memerlukan kekuatan rohani dan keyakinan yang kuat yang boleh dihasilkan dengan amalan, antaranya ialah :
  1. Mendirikan solat, bukan sahaja yang wajib ditunaikan, tetapi juga solat-solat sunat. Sebaik-baiknya dengan cara bersuci diri manusia ke arah menguatkan hubungan dengan Allah Taala, dengan cara yang lebih melahirkan keikhlasan terutamanya di waktu tengah malam dan sepertiganya yang akhir, kerana manusia itu seringkali dihinggapi sifat buruk yang tertanam di hati, seperti riak, ujub dan sum'ah. Kadang-kadang boleh membinasakan peribadinya dan mengsia-siakan amalannya. Sifat ini menghinggapi juga amalan yang lain.
  2. Berpuasa, bukan sahaja puasa fardu tetapi juga puasa-puasa sunat seperti yang diajar oleh sunnah Rasulullah S.A.W dengan menghasilkan tujuannya yang dikehendaki oleh firman Allah Taala.
  3. Zikrullah (mengingati Allah), yang sepatutnya tidak terputus dari ingatan manusia dalam semua keadaan dengan cara yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W, bukannya cara yang diilhamkan dari unsur-unsur yang bukan Islam. Di sana banyak doa-doa dan zikir-zikir yang ma'thurah dari Rasulullah S.A.W, Para Sahabatnya dan salafussoleh. Bukan sekadar menghafal dan menggerakkan lidah tanpa memahami tujuannya.
  4. Berbelanja pada jalan Allah, bukan sekadar zakat yang wajib tetapi juga sedekah-sedekah sunat sekadar kemampuan. Perlu difahami bahawa nilaiannya bukanlah jumlah yang disumbangkan tetapi menurut keikhlasan hati kerana Allah. Seorang miskin yang memberi beberapa sen yang amat dihajatinya kerana Allah lebih besar dan mulia di sisi Allah dari ribuan ringgit yang diberi oleh seorang jutawan yang menganggapnya satu sumbangan yang dirasakan tidak menyentuh sedikit pun perasaan hatinya dengan kadar itu. Sesungguhnya sumbangan harta itu menurut apa yang dinyatakan oleh Allah dan RasulNya, antara jalan untuk membersihkan hati.
Perlu diketahui oleh setiap Mukmin khususnya pendokong cita-cita Islam bagi mentarbiyahkan hati yang melahirkan kecintaan kepada Allah Taala yang melahirkan pengorbanan dan jihad serta sifat-sifat yang menjadi ciri mencapai pertolongan Allah. Cinta dan kasihkan Allah tidak dilahirkan melalui iman dalam pengertian ilmu semata-mata. Kalaulah ilmu semata-mata menjadi alasan maka para orientalislah menjadi orang-orang yang pertama menganut Islam dan mengasihi Allah dengan menegakkan agama-Nya dan melaksanakan perintah serta menjauhi larangannya. Kedudukan mereka menjadi penentang paling berdepan dan sejarah ahli kitab di zaman Rasulullah S.A.W jugalah menjadi iktibar kepada kita semua.

Kecintaan kepada Allah itu setelah beriman kepadaNya hendaklah dipupuk dengan memikirkan ayat-ayat-Nya yang dibaca dan ayat yang dilihat melalui kejadian alam dan nikmatnya yang tidak terhingga dan mengamati kebesarannya. Kemudian diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir dengan hati dan lidah. Bagi menyempurnakan semua itu ialah dengan memisahkan diri beberapa ketika dari urusan dunia, kekalutannya dan kemashyghulannya (kesibukannya) secara berterusan untuk menghayati betapa kebesaran Allah sehingga memandang kecil segala yang besar di bumi ini. Memandang sepi kepada segala godaannya, menganggap ringan segala tekanan dan penyeksaan, segala fitnah dan sendaan dipandang ringan. Itulah persediaan yang diajar oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi qudwah kepada kita pendakwah dan pemimpinnya.

Bermujahadah dalam beramal dan mentazkiahkan diri merupakan perkara yang amat penting dalam menghayati Islam, seperti yang dibicarakan oleh ilmu yang dinamakan tasawuf oleh kebanyakan ulama'. Sesetengahnya pula menamakannya dengan ihsan dan setengah ulama' di antaranya Ibnu Taimiyah menamakannya dengan ilmu akhlak. Hendaklah diketahui segala-galanya itu hendaklah dengan berdasarkan al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W tanpa diresapi oleh sebarang unsur yang asing dari Islam.

Bagi mengukur pencapaian amal dan tazkiah itu, tidak seperti yang difahamkan oleh orang-orang yang tidak memahami hakikat ajaran Allah dan RasulNya dengan menunggu mimpi-mimpi atau lahirnya karamah atau kelihatan perkara-perkara yang menyalahi adat. Tetapi dengan ukuran hati yang dikurniakan oleh Allah kepada semua manusia yang menyedari keikhlasan diri masing-masing dengan cara yang ikhlas juga terhadap bai'ah dan ikrar hati dan lidah dalam beriman dan mentasdiqkan Allah dan Rasul seterusnya bersikap istiqamah dengan itu semua.
  • Mehnah (Ujian)
Firman Allah Taala :

"Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya." - Surah Yusuf:33

Firman Allah Taala :

"Dan ada sebahagian dari manusia yang berkata: Kami beriman kepada Allah; kemudian apabila ia diganggu dan disakiti pada jalan Allah, ia jadikan gangguan manusia itu seperti azab seksa Allah (lalu ia taatkan manusia). Dan jika datang pertolongan dari Tuhanmu memberi kemenangan kepadamu, mereka sudah tentu akan berkata: Kami adalah sentiasa bersama-sama kamu. (Mengapa mereka berdusta?) Bukankah Allah lebih mengetahui akan apa yang terpendam dalam hati sekalian makhluk?"- Surah al Ankabut:10

Begitulah berlakunya sejarah perjuangan Islam bahkan menjadi sunnahnya dahulu, sekarang dan akan datang. Lantaran Iman itu bukan sahaja kalimah yang yang diucap tetapi juga hakikat yang mempunyai tanggungjawab, amanah yang menjadi bebanan, jihad yang memerlukan kesabaran, maka tidaklah memadai bahawa manusia itu bercakap-cakap bahawa kami telah beriman sekadar itu sahaja tanpa diuji bagi memurnikan keimanan itu, sehingga tidak boleh dipura-purakan oleh orang-orang yang bukan ahlinya. Iman atau aqidah itu juga amanah Allah di atas muka bumi ini. Kemurnian iman mampu dibawa oleh orang-orang yang benar-benar ahlinya yang memiliki sifat-sifatnya bagi dinyatakan dengan terlaksananya kewajipan khilafah di muka bumi dan memandu manusia ke jalan Allah Taala.

Seseorang itu boleh menepuk dada mengaku ikhlas, kuat, berani, bersedia untuk mati dan sebagainya. Dan adalah menjadi suatu perkara yang baik seseorang yang beriman itu ditarbiyah bukannya dengan cakap-cakap dan kertas-kertas yang dibaca sahaja tetapi mengalaminya pada peringkat kenyataan dan ujian praktikal dan Allah Yang Maha Mengetahui untuk menguji dan mentarbiyahkan hamba-hambaNya dengan ujian untuk mengisi sifat-sifat kesabaran, kesyukuran dan pembetulan-pembetulan jiwa kepada golongan-golongan Islam dan pimpinannya sehinggalah mereka layak bagi menegakkan kalimahNya di muka bumi ini.

Itulah jawapan kepada persoalan mengapa golongan Islam ini diuji terlebih dahulu, sedangkan penegak kebatilan kelihatan bersenang-senang dan menang di peringkat awalnya? Mengapa kemenangan Islam itu diperlukan jarak masa yang begitu rupa? Persoalan yang lahir dari hati generasi perjuangan Islam di sepanjang zaman.

Iman atau aqidah yang sebenar mestilah hidup dan berkembang dengan sifat-sifat keteguhan dengan pegangannya dan ketabahan menghadapi cabaran, disertakan pengorbanan apa sahaja pangkat, kedudukannya dan harta benda bahkan tidak ada tawar menawar dan tolak ansur dalam menegakkan apa yang menjadi iman dan aqidah itu. Dan orang yang mengaku beriman dan beraqidah itu memilih jalan yang dikira paling baik bagi menyebar dan menegakkannya walaupun jiwa raga dan harta menjadi bayarannya.

Menjadi suatu hakikat yang ditentukan oleh Allah apabila golongan iman dan aqidah itu memenuhi sifat-sifatnya, maka dikurniakanlah kelebihan dan pertolongannya yang tidak terhingga sehingga membawa kemenangan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...