PENGENALAN
PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.
Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.
Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.
Kertas ini akan mengupas peranan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyyah atau gerakan Islam dengan memperincikan keutamaan yang harus dilaksanakan demi mengekalkannya terus relevan sebagai harapan umat yang akan menjadi kenyataan.
Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja ( amal ) massa ( sya’biy ) secara berkumpulan ( jamaie ) yang tersusun ( munazzam ) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.
Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.
Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105
Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.
Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya.
Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.
Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya.
Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan ( ulama’ al sulthah ). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.
Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.
Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.
Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.
Maksud firman Allah; “Dan tidaklah Allah akan mensia –siakan iman kamu ( amalan kamu ). Sesungguhnya Allah amat pengasih lagi penyayang terhadap manusia.” – al Baqarah: 143
Lihat juga al zalzalah: 7,8 dan Aali Imran: 195
Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun ugama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jamaah dan menolak bersendirian dan terpencil.
‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan taqwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan kesabaran’.
Adapun realiti, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar idak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk.
Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang berperang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun seolah – olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh.” – al Shaff:4
Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti.
Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.
Bagaimana PAS Sebagai Sebuah Parti Politik?
Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.
Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;
Pertama, PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.
Kedua, PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.
Ketiga, dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.
Keempat, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.
Kelima, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.
Keenam, Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.
Peranan Harakah Islamiyah
Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.
Maksud tajdid;
Tajdid al din adalah satu istilah nabawy daripada hadis al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam sendiri: “Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang ( man ) akan memperbaharui ( tajdid ) untuk mereka akan agama mereka.” – Riwayat Abi Daud dan al Hakim daripada Abi Hurairah dengan isnad yang sahih.
Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah ‘man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.
Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di atas yang paling baik dan realiti ( waqiey ) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.
Apakah yang perlu ditajdidkan?
Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama;
Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.
Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.
Ketiga, membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam selepas mereka ( non muslim ) memahami hakikat risalah dan peradaban Islam dan bebas daripada ikatan - ikatan lampau yang begitu pesimis, gelap dan tidak adil terhadap Islam disebabkan sejarah pertembungan yang berterusan di antara Islam dan kekufuran.
Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.
Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah
Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.
Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.
Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.
Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.
Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.
Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.
Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan.
Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.
Empat Yang Utama
Doktor Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu;
Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al awlawiyah, fiqh al muazanah dan fiqh al maqasid.
Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.
Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.
Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud kealamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya memimpin umat.
Penutup
PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.
Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.
Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;
1 – Gerakan Islam adalah sebuah gerakan ke arah Islam yang sempurna dan menyeluruh sebagaimana dendangan dan tuntutan al Quran dan al Hadis.
2 – Gerakan Islam saling bersatu di seluruh dunia demi mencapai matlamat Islam membina khilafah Islamiyah yang unggul.
3 – Kepentingan tajdid Islami di dalam menyempurnakan proses pembinaan harakah dan pencapaian matlamat.
4 – Memahami politik Islam dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam.
5 – Memahami keutamaan kerja, pengagihan tugas dan penumpuan dan kepakaran demi kesan dan hasil yang sempurna dan menyeluruh.
No comments:
Post a Comment